Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS suntik S$10 juta bagi kampus baru Madrasah Al Arabiah, dijadual siap 2020

Kampus baru Madrasah Al Arabiah Al Islamiah akan mula dibangunkan pada suku kedua tahun ini dan beroperasi menjelang tahun 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS suntik S$10 juta bagi kampus baru Madrasah Al Arabiah, dijadual siap 2020

Bangunan Madrasah Al Arabiah yang digunakan sekarang. (Gambar: Emillia Amin)

SINGAPURA: Kampus baru Madrasah Al Arabiah Al Islamiah akan mula dibangunkan pada suku kedua tahun ini dan beroperasi menjelang tahun 2020.

Ini diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim di Parlimen hari ini (8 Mac).

Menurut Dr Yaacob, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melancarkan projek pembinaan kampus baru itu pada hujung bulan ini dan ia akan menyuntik dana $10 juta dolar bagi projek tersebut.

Dr Yaacob turut berkongsi bahawa reka bentuk kampus baru Madrasah Al Arabiah yang berdaya mampan dan mesra alam itu nanti melengkapi ciri-ciri seni bina Islam dan nusantara.

"Saya menyeru masyarakat supaya memberikan sokongan kepada usaha mengumpulkan dana bagi madrasah ini bagi memastikan kampus tersebut boleh memulakan operasinya menjelang tahun 2020," kata Dr Yaacob.

Kampus baru Madrasah Al Arabiah Al Islamiah akan dilengkapi dengan dua makmal Sains, menurut laporan BERITAMediacorp pada tahun 2016. Buat masa ini madrasah itu hanya mempunyai satu makmal sains.

Menurut Madrasah Al Arabiah yang tahun ini berusia 90 tahun, kelengkapan baru tersebut sejajar dengan matlamatnya untuk membentuk kurikulum akademik dan agama Islam yang menyeluruh.

Sebelum ini mudir Madrasah Al Arabiah Al Islamiah Herman Cher Ma'in memberitahu BERITAMediacorp: "Dengan adanya dua makmal sains, kami boleh melengkapi kurikulum sains kami dengan lebih baik lagi dan pelajar boleh memilih pelajaran sains yang mereka minati seperti fizik, kimia dan kaji hayat. Dengan adanya makmal sains yang moden itu, pelajar boleh menjalankan eksperimen dan berfikir seperti seorang saintis."

Para pelajar juga boleh memanfaatkan dua program sains. Yang pertama program Dirasat Deeniyyah, menggunakan kaedah bersepadu di antara sains-sains Islam iaitu Fiqh, Sirah dan Hadith.

Manakala yang kedua adalah program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM.

Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah. (Gambar fail: Facebook/Madrasah Al-Arabiah)

Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah. (Gambar fail: Facebook/Madrasah Al-Arabiah)

Diasaskan sejak awal 1930an, Madrasah Al-Arabiah berharap agar satu hari nanti ia dapat diletakkan sebaris dengan institusi-institusi seperti Raffles, Hwa Chong dan St Joseph, namun disertai nilai tambah keseimbangan rohani dalam diri pelajar-pelajarnya.

3 CARA BANGUNKAN KURIKULUM, PERTAJAM KEMAHIRAN GURU

Dr Yaacob turut menekankan, sedang prasarana madrasah diperkukuh, pembangunan kurikulum serta latihan para guru juga diberi tumpuan. Ini dilaksanakan menerusi tiga cara.

Pertama, kata Dr Yaacob, insentif kewangan yang disokong Pemerintah bagi para guru yang mengajar mata pelajaran sekular di madrasah.

Sejauh ini, lebih 170 guru sudahpun meraih manfaat daripada insentif tersebut. Selain itu, lebih daripada 500 pelajar pula menerima Anugerah Pelajar Madrasah pada bulan lalu bagi mengiktiraf prestasi cemerlang mereka dalam pendidikan.

Kedua, Dr Yaacob mendedahkan Madrasah Aljunied Al-Islamiah akan mula menawarkan program International Baccalaureate (IB) kepada kohort 27 pelajar pada 2019.

Oleh itu, para pemimpin sekolah, penyelaras International Baccalaureate serta para guru gigih melengkapi diri dengan kemahiran-kemahiran dan kelayakan yang diperlukan.

Ketiga, MUIS sudahpun bekerjasama dengan madrasah-madrasah untuk memperkukuh pembangunan menyeluruh para pelajar. Ini bagi memastikan mereka terdedah kepada bidang-bidang lain seperti kesukarelawanan dalam kalangan belia, projek khidmat masyarakat serta pendidikan luar darjah.

"Kami mahu mereka belajar menjangkaui bilik darjah, berinteraksi dan menyumbang kepada masyarakat Singapura," ujar Dr Yaacob. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan