Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF perkukuh khidmat sosial, mudahkan proses mohon skim bantuan

MSF mahu memudahkan proses permohonan bagi mendapatkan skim-skim bantuan daripada pelbagai agensi untuk individu dan keluarga yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
MSF perkukuh khidmat sosial, mudahkan proses mohon skim bantuan

SSO di Punggol. (Gambar: Wendy Wong)

Diterbitkan : 07 Mar 2018 07:44PM Dikemas Kini : 07 Mar 2018 07:47PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) hari ini (7 Mac) mengumumkan pelbagai inisiatif dari peringkat akar umbi untuk memperkukuh khidmat sosial secara bertahap-tahap pada tahun-tahun mendatang.

Sebagai permulaan, ia mahu memudahkan proses permohonan bagi mendapatkan skim-skim bantuan daripada pelbagai agensi untuk individu dan keluarga yang memerlukan.

Menteri MSF, Desmond Lee, berkata: "Seberapa mungkin, mereka tidak perlu lagi menyerahkan dokumen yang sama, mengulangi penerangan tentang keadaan mereka atau mengisi berbilang borang permohonan yang meminta maklumat yang sama. Ini akan membantu mengurangkan beban yang seringkali dilalui individu dan keluarga bergaji rendah yang mahu mendapatkan bantuan. Mereka ini mungkin sedang berdepan kesedihan atau terdesak.

"Contohnya, jika seseorang klien yang menetap di rumah sewa dan menerima bantuan ComCare daripada SSO (Pejabat Khidmatan Sosial) dan kami mendapati beliau tidak mampu menanggung bayaran sewa rumah, SSO akan berkongsi penilaiannya dengan HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) untuk menimbangkan sama ada sewanya boleh dikurangkan," tambah beliau.

Selain itu, mulai separuh kedua 2018, para penuntut Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dari keluarga berpendapatan rendah yang menerima bantuan ComCare juga akan dinilai sama ada mereka layak mendapatkan dermasiswa daripada Majlis Pembangunan Masyarakat, Dermasiswa Jawatankuasa Perundingan Rakyat atau Kementerian Pendidikan (MOE), tanpa perlu membuat permohonan berasingan.

MSF dan MOE akan bekerjasama untuk melanjutkan inisiatif tersebut kepada para pelajar di sekolah-sekolah aliran utama, politeknik dan universiti awam.

Satu lagi contoh, adalah bagi para ibu atau ibu bapa tunggal yang bekerja atau sedang mencari kerja dan menerima bantuan ComCare. Mereka secara automatik akan dinilai sama ada layak mendapatkan subsidi tambahan bagi jagaan kanak-kanak dan bantuan kewangan tambahan apabila mendaftarkan anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak. Ini akan dimulakan pada hujung 2018, bermula dengan SSO dan pusat jagaan kanak-kanak di beberapa bandar HDB.

"Kami akan terus meninjau lebih banyak cara untuk mengurangkan beban ke atas individu dan keluarga yang memerlukan, menerusi penyepaduan skim-skim bantuan," kata Encik Lee.

"Dalam pada itu, kami juga berhati-hati supaya tidak melakukannya membuta tuli, agar kami tidaklah dengan cara tidak sengaja menghakis semangat mereka untuk berdikari atau mewujudkan jurang di mana beberapa laluan bantuan disemak pada waktu yang sama."

MSF juga mahu melengkapi para pegawai barisan hadapan dalam Pemerintah dan agensi masyarakat dengan pengetahuan serta maklumat asas menjangkaui apa yang sedia dalam pertubuhan masing-masing - supaya mereka boleh merujuk individu kepada skim-skim bantuan sosial lain yang memenuhi keperluan mereka.

Menurut Encik Lee: "Ia bermula dengan SSO, HDB dan pejabat PA di kelab-kelab masyarakat tempatan, yang menjadi lokasi biasa dikunjungi penduduk memerlukan. Seterusnya, kami akan meluaskannya, melibatkan para pekerja sosial perubatan dan kaunselor sekolah."

Contohnya, mulai suku ketiga 2018, para klien ComCare di 24 SSO merata negara boleh mendapatkan khidmat bagi orang kurang upaya, seperti yang ditawarkan oleh Special Needs Trust Company (SNTC) dan SG Enable.

Menjelang hujung tahun ini, MSF, MOE dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) selesai melakar protokol rujukan, maka sekolah-sekolah akan mengetahui bila dan bagaimana untuk merujuk para pelajar memerlukan serta keluarga mereka kepada SSO dan FSC.

Encik Lee juga mengiktiraf kemungkinan adanya kes-kes rumit berbilang keperluan dan yang melibatkan beberapa agensi. Oleh itu SSO akan mengerahkan seorang pengendali kes yang menyelaras agensi-agensi Pemerintah serta Pertubuhan Kebajikan Sukarela (VWO) untuk melakar pelan tindakan sama bagi klien. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan