Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan untuk pelajar; nilai Edusave dinaikkan kepada S$230-290

Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan buat para pelajar, khususnya mereka dari keluarga berpendapatan rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan untuk pelajar; nilai Edusave dinaikkan kepada S$230-290

Gambar fail.

Diterbitkan : 19 Feb 2018 10:45PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 10:50PM

SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan buat para pelajar, khususnya mereka dari keluarga berpendapatan rendah.

Ini akan dilakukan dengan jumlah sumbangan tahunan Edusave dinaikkan dan kriteria kelayakan pendapatan bagi dermasiswa akan dikemas kini.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat menggariskan skim-skim tersebut semasa pembentangan Belanjawan Negara tahun ini, dengan kos keseluruhan hampir $200 juta setahun.

"Pendidikan membantu anak-anak kita menyedari potensi penuh mereka," kata beliau.

"Kami akan melabur banyak untuk setiap kanak-kanak, bagi memastikan setiap orang tidak kira latar belakang, mempunyai akses kepada pendidikan bermutu."

Untuk mencapainya, Encik Heng menggariskan tiga cara Pemerintah akan mempertingkat sokongannya dalam sektor pendidikan.

Pertama, sumbangan tahunan Edusave oleh Pemerintah akan dinaikkan, dari $200 hingga $230 bagi setiap pelajar sekolah rendah dan dari $240 hingga $290 bagi setiap pelajar sekolah menengah. Ini akan berkuat kuasa mulai Januari 2019.

Untuk memperluas sokongan kepada para pelajar dari keluaraga berpendapatan rendah hingga pertengahan, Encik Heng juga mengumumkan bahawa Pemerintah akan mengemas kini kriteria kelayakan pendapatan bagi Dermasiswa Merit Edusave dan Dermasiswa Sekolah Bebas.

Dermasiswa Merit Edusave dianugerahkan kepada pelajar rakyat Singapura yang tergolong dalam kalangan 25 peratus teratas dari segi prestasi akademik dalam peringkat dan kursus yang diambil serta mereka dari keluarga yang pendapatannya tidak melebihi kriteria yang ditetapkan.

Buat masa ini, kriteria kelayakan pendapatan bagi Dermasiswa Merit Edusave adalah $6,000 pendapatan kasar bulanan keluarga atau $1,500 pendapatan kasar per kapita keluarga sebulan. Encik Heng mengumumkan bahawa mulai tahun ini, kriteria itu masing-masing akan dinaikkan kepada $6,900 dan $1,725.

Pemerintah juga akan menambah sokongan khusus buat para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Encik Heng mengumumkan bahawa Skim Bantuan Kewangan MOE akan dipertingkat, dengan menaikkan kuantum dermasiswa tahunan bagi para penuntut pra-universiti dari $750 kepada $900.

Kriteria kelayakan pendapatan itu juga akan dikemas kini, tambah beliau.

Lebih banyak makanan juga akan dibiayai untuk para pelajar sekolah menengah di bawah Program Makanan Sekolah.

Para pelajar di sekolah-sekolah pendidikan khas juga akan meraih manfaat daripada peningkatan-peningkatan tersebut, tambah Encik Heng. Lebih banyak perincian akan disediakan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan.

Encik Heng juga menggariskan inisiatif-inisiatif baru untuk menyokong rakyat Singapura dalam mempersiap keperluan kewangan mereka.

Satu kurikulum pendidikan kewangan baru akan dirintis di politeknik-politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), kata Encik Heng. Ini untuk memberikan golongan belia asas agar lebih celik kewangan.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan