Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan untuk firma berinovasi, manfaatkan keupayaan kajian

Beberapa langkah termasuk perubahan cukai dan pembangunan wadah baru bagi penyumberan awam diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan untuk firma berinovasi, manfaatkan keupayaan kajian

Nur Afiqah Mohammad Yusof, lulusan TP di makmal R&D bersama Dr Amy Khor. (Gambar: Loke Kok Fai)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 10:50PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 10:55PM

SINGAPURA: Beberapa langkah termasuk perubahan cukai dan pembangunan wadah baru bagi penyumberan awam diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2018.

Ini untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada firma-firma supaya mereka boleh berinovasi.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam pembentangan Belanjawan Negara di Parlimen hari ini (19 Feb) juga mendedahkan inisiatif-inisiatif baru bernilai $600 juta di samping peluasan Program Robotik Nasional (NRP), yang bertujuan memanfaatkan keupayaan kajian nasional Singapura.

BANTU FIRMA BERINOVASI

Lebih banyak sokongan juga akan diberikan kepada firma-firma untuk berinovasi dalam keseluruhan rantaian nilai.

Pertama, untuk membantu perniagaan-perniagaan membeli dan menggunakan huraian-huraian baru, geran-geran sedia ada yang menyokong penggunaan teknologi-teknologi yang sudah diuji dan ada dalam pasaran, akan diselaraskan di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG).

PSG akan menyediakan dana sokongan sehingga tujuh peratus kos kelayakan.

Perniagaan-perniagaan boleh memohon untuk mendapatkan geran baru itu menerusi Portal Geran Perniagaan (BGP), yang akan menyediakan senarai peralatan yang disokong dan huraian-huraian teknologi yang relevan bagi sektor masing-masing, mulai April tahun ini.

Pemotongan cukai ke atas pembayaran lesen bagi penggunaan komersil hak milik intelektual (IP) juga akan dinaikkan kepada 200 peratus dan dihadkan pada $100,000 pembayaran lesen setiap tahun.

Langkah ini diambil memandangkan tempoh skim Kredit Daya Penghasilan dan Inovasi (PIC) akan tamat, dan ini mengembalikan pemotongan cukai ke atas pembayaran lesen kepada 100 peratus bagi Tahun Penilaian 2019 dan setersusnya, kata Encik Heng.

Had itu akan memastikan perniagaan-perniagaan kecil juga meraih manfaat lebih banyak daripada langkah ini.

Seterusnya, untuk menyokong perniagaan-perniagaan membangunkan inovasi sendiri, pemotongan cukai bagi yuran pendaftaran IP akan digandakan kepada 200 peratus. Ini akan dihadkan pada $100,000 yuran pendaftaran IP setahun.

Pemotongan cukai bagi kos kelayakan untuk kajian dan pengembangan (R&D) yang dijalankan di Singapura juga akan dinaikkan kepada 250 peratus dari 150 peratus. Perubahan itu akan berkuat kuasa dari Tahun Penilaian 2019 hingga Tahun Penilaian 2025.

Akhir sekali, untuk membantu perniagaan-perniagaan mendapatkan rakan niaga bagi bekerjasama mewujudkan huraian-huraian, satu wadah maya penyumberan awam yang diberi nama Platform Inovasi Terbuka akan dirintis tahun ini.

Ia akan menjadi wadah untuk syarikat-syarikat menyenaraikan cabaran-cabaran yang boleh ditangani dengan huraian digital, kata Encik Heng.

Syarikat-syarkat itu kemudian akan dipadankan dengan firma infokom dan teknologi (ICT) serta institut-institut kajian untuk membangunkan bersama huraian-huraian.

MANFAATKAN USAHA KAJIAN NASIONAL

Lebih banyak yang akan dilakukan untuk memanfaatkan keupayaan kajian nasional Singapura demi mempertingkat daya saing ekonomi negara.

Contohnya, sekurang-kurangnya $100 juta akan disuntik ke dalam kerjasama antara Yayasan Kajian Nasional (NRF) dengan Temasek.

Dipanggil Alat Pengkomersilan Hak Milik Intelektual NRF-Temasek, ia bertujuan "menyatukan rangkaian-rangkaian pelaburan global Temasek dan rakan-rakan NRF dengan masyarakat R&D Singapura" untuk "membangunkan syarikat-syarikat yang menggunakan IP dari kajian yang dibiayai dana awam", kata Encik Heng.

Pemerintah akan melaburkan $50 juta ke dalam kerjasama itu, dengan lagi separuh dana ditanggung oleh Temasek.

Program Transformasi Penerbangan (ATP) dan Program Transformasi Maritim (MTP) juga akan dilancarkan tahun ini untuk memperkukuh status Singapura sebagai hab udara dan laut.

Pemerintah akan menyuntik dana sehingga $500 juta untuk kedua-dua program, dengan padanan pelaburan tambahan dijangka daripada rakan-rakan industri.

Menerusi program-program itu, lapangan terbang dan pelabuhan Singapura akan menjadi wadah untuk syarikat-syarikat membangunkan, menguji dan menggunakan teknologi-teknologi baru, kata Encik Heng.

Huraian-huraian yang diwujudkan boleh segera digunakan dalam industri-industri lain di Singapura, malah juga dieksport ke luar negara, tambah beliau.

Selain itu Program Robotik Nasional, yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2016, akan diluaskan untuk menggalak penggunaan robotik yang meluas dalam sektor sekitaran bandar, khususnya dalam sektor binaan.

"Kita sudah membangunkan pangkalan kajian dan pengetahuan yang kukuh di universiti-universiti dan institut A*STAR, yang menyediakan asas kukuh bagi ekonomi inovatif," kata Encik Heng, yang menambah perbelanjaan sektor awam R&D kekal pada satu peratus GDP tahunan bagi mengekalkan daya saingnya.

"Kita menawarkan banyak program supaya usaha-usaha kajian sektor awam boleh digunakan secara komersil dan kita akan membangunkannya," tambah beliau.

Menggalak inovasi yang menyeluruh dalam ekonomi, disebut oleh Encik Heng semasa pembentangan Belanjawan 2018 sebagai salah satu daripada tiga pengupaya utama yang menjadi teras bagi semua Perancangan Perubahan Industri (ITM) dan mesti diperkukuh.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan