Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan bantu pasangan timang cahaya mata, kata Josephine Teo

Pasangan yang merancang menimang cahaya mata akan menerima lebih banyak sokongan Pemerintah tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak sokongan bantu pasangan timang cahaya mata, kata Josephine Teo

Gambar fail rawatan IVF. (Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 01 Mar 2018 05:32PM Dikemas Kini : 01 Mar 2018 05:34PM

SINGAPURA: Pasangan yang merancang menimang cahaya mata akan menerima lebih banyak sokongan Pemerintah tidak lama lagi.

Ini termasuk mereka yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan zuriat, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri Josephine Teo hari ini (1 Mac).

Semasa membahaskan peruntukan belanjawan bagi Pejabat Perdana Menteri, beliau berkata Pemerintah akan menaikkan had pembiayaan bersama bagi pasangan yang layak menjalani rawatan kesuburan di hospital-hospital awam, seperti persenyawaan in vitro (IVF), antara $1,000 dengan $1,400.

Mulai 1 April, hadnya akan dinaikkan dari $6,300 sebelum ini kepada $7,700 bagi tiga rawatan baru. Bantuan itu juga akan dinaikkan dari $1,200 sebelum ini kepada $2,200 bagi tiga kitar beku.

Pasangan yang sekarang layak menerima pembiayaan bersama sehingga 75 peratus kos rawatan tersebut.

Selain itu, mereka boleh mengeluarkan sehingga $15,000 daripada Medisave bagi prosedur-prosedur bantuan kehamilan, tertakluk kepada had pengeluaran setiap rawatan.

Untuk memberikan "lebih banyak jaminan" kepada bakal ibu bapa atau ibu bapa yang mempunyai bayi, MediShield Hayat akan diperluas untuk melindungi kesulitan yang dihadapi semasa mengandung dan komplikasi yang ada kaitan dengan proses bersalin, tambah beliau.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan berkongsi lebih banyak perincian tidak lama lagi.

Buat masa ini, semua bayi menerima geran Medisave sebanyak $4,000 yang boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat sehingga mencecah usia 21 tahun.

Ibu bapa juga boleh memanfaatkan Medisave mereka untuk membantu membayar yuran bersalin dan jagaan sebelum bersalin.

Di bawah Pakej Bersalin Medisave, mereka boleh menggunakan sehingga $900 bagi jagaan sebelum bersalin, antara $700 dengan $1,250 bagi perbelanjaan perubatan yang ada kaitan dengan bersalin, bergantung kepada jenis prosedurnya dan $450 bagi setiap hari pesakit dirawat di hospital.

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan