Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat utama bagi warga tua disepadukan di bawah 1 kementerian

Satu kementerian kini akan menyelia khidmat-khidmat berkaitan kesihatan dan sosial bagi warga tua.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Feb 2018 11:09PM Dikemas Kini : 20 Feb 2018 12:38AM

SINGAPURA: Satu kementerian kini akan menyelia khidmat-khidmat berkaitan kesihatan dan sosial bagi warga tua.

Ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertingkat dan menyepadukan penyampaian khidmat, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa pembentangan Belanjawan Negara 2018 hari ini (19 Feb).

Beliau berkata program-program jagaan sosial yang sebelum ini dikendalikan oleh Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga (MSF) akan dipindahkan di bawah Kementerian Kesihatan (MOH) mulai 1 April.

Program-program sosial itu termasuk yang dibawah Rangkaian Kelompok Warga Tua MSF. Ini termasuk Pusat-Pusat Kegiatan Warga Tua (SAC), Sokongan Kelompok dan program-program lain seperti khidmat mendampingi warga tua.

Menurut laman Pusat Khidmat Keluarga Fei Yue, Rangkaian Kelompok Warga Tua itu membolehkan pihak berkuasa mendampingi dan memberikan sokongan lebih baik kepada warga tua, yang memerlukan di setiap bandar HDB serta membantu mereka terus didampingi dan menerima lebih banyak jagaan yang diselaraskan.

Buat masa ini, MSF mengerahkan para pengendali seperti pertubuhan-pertubuhan kebajikan sukarela untuk menjalankan program-program di bawah rangkaian tersebut.

Encik Heng berkata, langkah untuk mempunyai hanya satu kementerian yang menguruskan program kesihatan dan sosial bagi warga tua juga membolehkan khidmat-khidmat sedemikian "dirancang dan dikendalikan secara menyeluruh".

Beliau menambah Agensi Jagaan Bersepadu (AIC) itu ditetapkan sebagai agensi pelaksanaan pusat yang akan menyelaras khidmat bagi warga tua dan penjaga mereka.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), MSF berkata ia akan tetap menyelia rumah-rumah jagaan warga tua dan rumah tumpangan, yang sejajar dengan peranan utamanya, iaitu menjaga rakyat Singapura berpendapatan rendah dan berkeperluan.

Menurutnya, pemindahan itu menyusuli latihan awal yang dijalankan pada tahun 2013, di mana penyeliaan khidmat-khidmat jagaan sosial bagi warga tua yang lemah, termasuk rumah jagaan siang hari, jagaan peribadi di rumah dan makanan yang dihantar ke rumah, dipindahkan ke Kementerian Kesihatan.

PELUASAN PROGRAM PERINTIS BAGI WARGA TUA

Encik Heng juga berkata Pemerintah akan memperluas ke seluruh negara program perintis yang menyepadukan pelbagai agensi pemerintah serta rakan-rakan masyarakat untuk menggalak warga tua kekal aktif, menghubungkan warga tua dengan rakan-rakan baru dan juga jagaan bagi warga tua yang lemah dan memerlukan.

Program itu akan diluaskan secara berperingkat meliputi seluruh negara menjelang tahun 2020, menurut kenyataan media kedua-dua agensi.

Rangkaian Masyarakat bagi Warga Tua (CNS) diumumkan semasa Belanjawan 2016 dan sebagai permulaan, ia dirintis di tiga kawasan - Tampines, Marine Parade dan Chua Chu Kang.

Menurut MSF sekitar 70 Jawatankuasa Penduduk (RC) sudah dikerahkan sebagai sebahagian daripada CNS untuk kerap mengadakan kegiatan-kegiatan pencegahan kesihatan dan penuaan aktif. Hasilnya, lebih 70,000 warga tua sudahpun meraih manfaat daripada program tersebut.

Ia menambah kerja-kerja sudahpun dimulakan untuk memperluas program tersebut ke tempat-tempat lain seperti East Coast, Ang Mo Kio dan Jurong.

Menurut Encik Heng, Pejabat Generasi Perintis (PGO) akan disepadukan dengan AIC untuk menyokong peluasan rangkaian tersebut ke seluruh negara. PGO akan menjadi sayap AIC dalam melaksanakan program itu di seluruh negara.

PGO pada awalnya ditubuhkan pada tahun 2014 untuk mendampingi Generasi Perintis Singapura dan menjelaskan kepada mereka tentang dasar-dasar Pemerintah seperti Pakej Generasi Perintis dan MediShield Hayat.

Selain itu, ia juga akan mendampingi semua warga tua berusia 65 tahun ke atas.

"Untuk mencerminkan peranannya yang sudah dipertingkat, PGO akan diberi nama baru iaitu Pejabat Generasi Warga Emas," kata Encik Heng.

"Duta-duta kita yang memakai kemeja-T yang biasa dilihat akan terus mengetuk pintu rumah (warga tua), cuma sekarang mereka akan dikenali sebagai Generasi Warga Emas atau Duta SG."

TOKOKAN DUA DANA BERKAITAN WARGA TUA

Encik Heng juga membentangkan tentang suntikan dana untuk menyokong warga tua supaya menua dengan lebih yakin dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata Amanah Masyarakat Warga Emas (CST) akan diberikan tokokan dana sebayak $300 juta.

CST akan memadankan jumlah tersebut berdasarkan sumbangan sedolar bagi setiap dolar yang didermakan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan sukarela yang layak (VWO), yang menyediakan jagaan jangka panjang bagi warga tua.

CST sudahpun memadankan derma sekitar $500 juta yang dikumpulkan oleh lebih 80 VWO dalam tempoh enam tahun lalu.

Encik Heng berkata CST juga akan diluaskan untuk memadankan derma yang dikumpulkan bagi program-program penuaan aktif. Ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong lebih banyak inisiatif.

Selain itu, Pemerintah juga akan menyediakan tokokan sebanyak $100 juta ke dalam Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Tua (SMF), yang menyediakan subsidi bagi peralatan dan barangan bantuan.

"Lagi $150 juta akan dibelanjakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang bagi pengangkutan hingga ke jagaan warga tua yang diberi subsidi serta pusat-pusat dialisis," kata Encik Heng.

"Kami akan menyemak semula SMF pada beberapa tahun mendatang bagi memastikan subsidinya kekal tertumpu."

Selain mempertingkat sokongan bagi warga tua, Encik Heng juga menyentuh tetang penyampaian khidmat sosial kepada kumpulan-kumpulan lain.

Sehubungan itu beliau berkata, peranan dan keupayaan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) akan diperkukuh untuk menyelaras usaha-usaha agensi Pemerintah, VWO dan rakan-rakan masyarakat dengan lebih baik.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan