Belanjawan 2018

Images
  • e invoice
    Gambar fail: Calvin Oh

Invois elektronik bantu perusahaan dapat bayaran lebih pantas

SINGAPURA: Satu inisiatif untuk membangunkan rangka kerja invois elektronik (e-invois) yang sama bagi perusahaan-perusahaan di sini sedang diusahakan.

Menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim, semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya hari ini (6 Mac), inisiatif itu membolehkan pembayaran lebih pantas bagi perniagaan-perniagaan.

"Invois adalah fungsi penting bagi perniagaan - tanpa invois, mereka tidak akan menerima bayaran. Namun proses mengeluarkan invois agak leceh dan perlu dilakukan secara manual, serta terdapat kesilapan-kesilapan," menurut Dr Yaacob di Parlimen.

"E-invois boleh mengubah semua itu. Ia boleh membantu perusahaan-perusahaan mengurangkan kos, memastikan syarikat segera menerima bayaran dan mewujudkan pilihan-pilihan baru pembiayaan."

Menurut kenyataan media Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) yang dikirimkan secara berasingan hari ini, Penguasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA) akan bekerjasama dengan agensi-agensi Pemerintah yang relevan, rakan-rakan industri dan persatuan perniagaan seperti Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) untuk meninjau pelbagai piawai e-invois, sekaligus membangunkan rangka kerja yang boleh digunakan oleh perusahaan-perusahaan.

E-invois adalah penghasilan, pertukaran dan proses bagi permintaan bayaran secara automatik antara para pembekal dengan pembeli menggunakan format digital yang berstruktur.

Inisiatif itu pertama kali diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa pembentangan Belanjawan 2018 awal bulan ini. Beliau berkata rangka kerja itu boleh membantu menyokong syarikat-syarikat mempertingkat daya penghasilan dan melancarkan aliran tunai.

Memberikan perincian tentang inisiatif itu, MCI menyatakan e-invois akan menjadi titik permulaan untuk perusahaan-perusahaan yang ingin merubah segenap aspek operasi mereka kepada digital dan manfaatnya termasuk membantu mereka lebih berdaya saing dengan mengurangkan kos, mempercepatkan urus niaga, mengurangkan pertikaian dan kesilapan.

Ini berbeza dengan invois digital sedia ada dalam bentuk PDF, Microsoft Word atau yang diimbas, yang memerlukan tenaga manusia untuk memprosesnya, tambah MCI.

Menggunakan invois elektronik juga akan mendorong pembayaran dibuat tepat pada masanya. MCI merujuk kepada tinjauan yang dilakukan oleh Bank Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat 2017 Minneapolis yang menunjukkan sekitar 92 peratus e-invois dibayar tepat pada masanya berbanding 45 peratus bagi invois kertas.

Ia juga merujuk Tinjauan Pembiayaan SME SPRING Singapore pada tahun 2017 yang mendedahkan kelengahan dalam pembayaran adalah kebimbangan utama berkaitan kewangan pada tahun-tahun mendatang dan tiga daripada lima perusahaan kecil dan sederhana (SME) berdepan masalah bayaran lambat oleh para pelanggan mereka.

Dengan adanya e-invois, firma-firma juga boleh meneliti putaran pembayaran mereka dengan lebih tepat. Ini bermakna pengurusan keluar masuk wang, kemampanan dan pertumbuhan juga lebih baik, menurut MCI.

Salah sebuah syarikat yang meraih manfaat daripada e-invois adalah Alps Group, iaitu pembekal tisu yang dibuat daripada buluh.

Syarikat SME itu pada awalnya menggunakan sistem rekod manual yang kerap menimbulkan isu kekurangan atau terlebih stok dan ini menyebabkan salah seorang pengasasnya, Angela Sim, mengeluh bahawa Alps Group tidak berani menerima lebih ramai pelanggan kerana mereka menjangkakan lebih banyak masalah jika firma itu terus berkembang, menurut beliau dalam satu wawancara bersama MCI pada tahun lalu.

Hanya setelah syarikat itu menggunakan sistem pengurusan tempahan dan inventori, PracBiz, isu tersebut mula berkurangan.

Ini kerana sistem itu secara automatik mengeluarkan invois yang selaras dengan stok sedia ada apabila tempahan dibuat, mengemas kini inventori dan menjejak bayaran-bayaran tertunggak.

Sistem itu juga digunakan oleh para pembekalnya, NTUC FairPrice. Ini memudahkan lagi syarikat itu mengetahui jumlah stok dan tempahan, tambah Alps Group.

Menurut MCI, rangka kerja ideal bagi inisiatif tersebut perlu memenuhi keperluan domestik, di samping mewujudkan peluang di peringkat antarabangsa dan perinciannya akan dikongsi apabila ia siap pada hujung tahun ini.

- CNA/NK/sm

Top