Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng Swee Keat selar pendirian WP tentang kenaikan GST

 Heng Swee Keat menyelar Anggota Parlimen Pritam Singh kerana mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" berhubung kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Anggaran Waktu Membaca:
Heng Swee Keat selar pendirian WP tentang kenaikan GST

Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan di parlimen.

Diterbitkan : 02 Mar 2018 12:10AM Dikemas Kini : 02 Mar 2018 12:19AM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat menyelar Anggota Parlimen Pritam Singh kerana mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" berhubung kenaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan tidak "berpendirian teguh".

Beliau menambah meskipun mudah untuk bersandarkan kepada "pilihan-pilihan yang mengutamakan kepentingan politik peribadi" dan seolah-olah mereka akan menghuraikan cabaran jangka panjang negara, pendekatan ini tambah beliau "tidak jujur dan tidak bertanggungjawab".

Encik Heng berkata demikian dalam ucapannya bagi menggulung perbahasan Belanjawan selama dua setengah hari.

Pada hari Selasa (27 Feb), Penolong Setiausaha Parti Pekerja (WP) Pritam Singh memberitahu Parlimen bahawa partinya tidak dapat menyokong kenaikan GST tanpa mengetahui lebih banyak perincian seperti berapa banyak pendapatan tambahan yang akan diperolehi Pemerintah daripada GST yang diumumkan bagi khidmat-khidmat import.

Beliau juga berkata jumlah perbelanjaan yang dijangkakan "kurang jelas" semasa Pemerintah menaikkan GST pada masa akan datang.

Memberikan perinciannya dalam ucapan bagi menggulung Belanjawan, Encik Heng menganggarkan GST ke atas khidmat-khidmat yang diimport akan menghasilkan pendapatan tambahan sekitar $90 juta setahun namun jumlah ini tidak "besar" kerana ia lebih kepada "langkah untuk mengekalkan jumlah pendapatan sekarang daripada terhakis daripada lebih banyak urus niaga yang berpindah online".

Encik Heng juga memberikan respons terhadap saranan Encik Singh tentang penggunaan pendapatan daripada penjualan tanah dan menaikkan had Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih Pemerintah (NIRC).

"Kami sengaja memperkenalkan peraturan ke atas penjualan tanah dan had 50 peratus NIRC supaya kita tidak tergoda untuk mengeluarkan lebih banyak wang daripada rizab bagi membiayai perbelanjaan sekarang atau menggunakan wang pokok," kata beliau.

Encik Heng berkata pilihan-pilihan yang disarankan oleh Encik Singh adalah "gangguan", dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sama seperti yang diungkapkan oleh Encik Low Thia Khiang semalam (28 Feb) untuk menyifatkan keputusan Pemerintah berhubung pengumuman kenaikan GST pada masa akan datang dalam ucapan Belanjawan tahun ini.

"Mana mungkin Encik Pritam Singh serius," kata Encik Heng.

"Mana-mana individu yang memandang serius (perkara ini) akan mengetahui tiada satu pun cadangan itu yang menjadi alternatif berdaya maju kepada kenaikan GST. Ia adalah satu gangguan. Encik Low Thia Khiang meminta kami supaya jangan terganggu, Namun Encik Pritam Singh memilih untuk tidak menyokong kenaikan GST dengan mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' daripada berpendirian teguh.

"Mudah untuk kita bersandar kepada pilihan-pilihan yang mengutamakan kepentingan politik peribadi seolah-olah mereka akan menghuraikan cabaran jangka panjang negara dan pendekatan ini "tidak jujur dan tidak bertanggungjawab".

Encik Heng berkata jika Pemerintah melakukan seperti itu, rakyat Singapura generasi masa akan datang mungkin "dengan mudah dibelenggu masalah defisit serius".

Disebabkan itu, katanya, Singapura akan terlibat dalam perbicangan yang jauh berbeza tentang masa depannya.

Beliau berkata tiada seorang pun AP pembangkang yang berucap semasa perbahasan belanjawan meminta Pemerintah supaya mengurangkan perbelanjaan bagi perkara-perkara tertentu dalam Belanjawan Negara tahun ini. Sebaliknya menggesa Pemerintah untuk melakukan lebih banyak untuk membantu warga tua dan mengurangkan ketidaksamaan.

"Saya rasa Parti Pekerja perlu jujur dengan rakyat. Adakah WP mahu Pemerintah menaikkan perbelanjaan jagaan kesihatan dan sosial? Jika ya, apakah saranan WP untuk menampung kenaikan itu?"

Encik Heng juga memberikan respons terhadap ucapan Encik Loh di mana beliau mempersoalkan sama ada kenaikan GST boleh diumumkan pada waktu yang berasingan dan bukan sebagai sebahagian daripada Belanjawan tahun ini. Encik Low juga berkata isu kenaikan GST boleh dibahaskan semasa rapat pilihan raya pada masa akan datang.

"Saya bingung kerana beliau menyifatkan perbahasan GST sebagai satu gangguan dan beliau memilih untuk membahaskannya di rapat-rapat pilihan raya," kata Encik Heng.

"Para AP WP sudahpun dipilih menyertai Parlimen. Anda sedang duduk di Parlimen. Parlimen adalah tempatnya untuk membahaskan isu-isu serius yang menjejas masa depan negara.

"Jadi saya berharap para AP Parti Pekerja, yang menggunakan cogan kata Parlimen Dunia Pertama, bukanlah setakat menggunakan cogan kata pilihan raya yang menarik namun tiada niat untuk menjalankan tanggungjawab anda di Parlimen dengan serius," tambah beliau.

"Saya berharap apabila tiba pilihan raya, Parti Pekerja tidak akan menggunakan isu GST untuk memengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu jangka panjang yang kita lalui.

"Ini adalah cabaran-cabaran jangka panjang yang serius yang perlu kita tangani dan bukan mengambil kesempatan menjadikannya sebagai percaturan politik. Kita bertanggungjawab kepada rakyat Singapura untuk melakukan perkara yang betul." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan