Skip to main content

Iklan

Iklan

Heng Swee Keat: Kenaikan GST dibuat demi 'tujuan sangat penting'

Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata bahawa rakyat Singapura perlu memahami kenaikan cukai itu perlu dan dikenakan bagi "tujuan yang sangat penting" - iaitu untuk menampung keperluan perbelanjaan negara ini yang semakin meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Heng Swee Keat: Kenaikan GST dibuat demi 'tujuan sangat penting'

Menteri Kewangan Heng Swee Keat di siaran langsung Ask the Finance Minister 2018.

Diterbitkan : 22 Feb 2018 12:39AM Dikemas Kini : 22 Feb 2018 12:43AM

SINGAPURA: Meskipun beliau maklum tentang keprihatinan berhubung rancangan untuk menaikkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST), Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata bahawa rakyat Singapura perlu memahami kenaikan cukai itu perlu dan dikenakan bagi "tujuan yang sangat penting" - iaitu untuk menampung keperluan perbelanjaan negara ini yang semakin meningkat.

Beliau berkata demikian semalam (21 Feb) selepas forum pos Belanjawan yang diadakan di Mediacorp. Belanjawan Singapura dibentangkan pada Isnin (19 Feb).

Semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan, Encik Heng menyifatkannya sebagai sebuah "rancangan kewangan yang strategik dan bersepadu bagi melakarkan masa depan Singapura". Dengan tumpuan kepada cabaran-cabaran jangka panjang, Belanjawan yang menyeluruh itu termasuk langkah-langkah yang disasarkan kepada ekonomi, masyarakat, sekitaran dan memastikan kemampanan fiskal negara ini.

Kenaikan GST sebanyak 7 hingga 9 peratus yang dijangka mula dilaksanakan antara tahun 2021 hingga 2025, adalah topik yang hangat dibicarakan oleh rakyat Singapura yang berpeluang bertanyakan soalan-soalan tentang Belanjawan kepada Encik Heng dalam forum tersebut.

Kebanyakan daripada mereka mengemukakan keprihatinan tentang kos kehidupan yang mungkin meningkat dalam sektor seperti jagaan kanak-kanak dan sama ada akan terdapat kenaikan gaji untuk membantu rakyat Singapura mengatasinya.

Apabila ditanya bagaimana beliau akan meringankan keprihatinan-keprihatinan yang dirasakan kebanyakan rakyat biasa Singapura, Encik Heng berkata: "Saya menghargai keprihatinan mereka tetapi penting (bagi mereka) untuk memahami kenapa kami perlu berbuat sedemikian."

"Saya sudah cuba menjelaskan seberapa mungkin tentang apakah corak perbelanjaan yang kian meningkat," kata beliau, merujuk kepada kenyataan Belanjawan yang disampaikan kelmarin. Ia jelas Encik Heng, memberi perhatian besar kepada keperluan perbelanjaan yang semakin bertambah dalam sektor-sektor seperti jagaan kesihatan, keselamatan dalam negeri dan prasarana.

"Kami harus mencari sumber-sumber pendapatan yang baru, lantas itulah yang kami orak," katanya. "Penting untuk beringat bahawa kami melakukan demikian bagi tujuan yang sangat penting."

Salah seorang peserta forum bertanya sama ada Singapura mempunyai sumber-sumber hasil mahsul alternatif selain menaikkan cukai. Menjawab, Encik Heng menarik perhatian bahawa rangka Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) buat masa ini adalah penyumbang hasil mahsul terbesar bagi pemerintah. Ia lebih besar berbanding sebarang cukai, termasuk GST dan cukai korporat serta hasil pendapatan peribadi.

Sepanjang 10 tahun yang lalu, sumbangan tersebut berlipat kali ganda dari S$7 bilion pada FY2009, kepada anggaran S$15.9 bilion pada FY2018.

Singapura pertama kali memperkenalkan rangka NIR pada 2008. Ia bermula dengan simpanan yang dikendalikan oleh GIC dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sebelum Temasek Holdings menyertainya pada 2015. Di bawah rangka tersebut, pemerintah boleh menggunakan sehingga separuh daripada pulangan pelaburan jangka panjang yang dianggarkan dapat dijana.

"Saya harus katakan bahawa sebagai Menteri Kewangan, saya rasa berterima kasih kerana leluhur kita meninggalkan ini untuk kita," kata Encik Heng. "Sangat penting bagi kita untuk beringat tentang bagaimana kita mahu menggunakan wang itu, (kita perlu) memastikan bahawa kita juga menjaga anak-anak kita.

"Sedang ekonomi kita berkembang, saya harap simpanan kita turut sama-sama berkembang dan dengan itu, golongan muda kita mendapat jaminan yang kita terima daripada leluhur kita."

Menjawab soalan Mediacorp sama ada lebihan Belanjawan yang lebih daripada yang jangkaan bagi tahun kewangan 2017, menyebabkan kenaikan cukai sukar untuk dijelaskan, Encik Heng berkata: "Ia tentu sekali menyebabkan kerja menjelaskannya lebih sukar, tetapi sangat penting untuk kita semua fahami bahawa lebihan yang diraih tahun lalu mungkin tidak dapat diraih berulang-kali.

Singapura menjangkakan lebihan sebanyak S$9.6 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac ini. Ia hasil sumbangan-sumbangan lembaga berkanun yang "luar biasa", khususnya daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan kutipan cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Encik Heng menekankan bahawa sumbangan besar daripada MAS datang daripada pulangan pelaburan yang lebih tinggi dan nilai tukaran mata wang yang positif bagi FY2017, bukan kerana "faktor struktur".

Oleh itu, rancangan jangka panjang harus didasarkan kepada "lebih banyak faktor struktur" seperti menaikkan keperluan berbelanja.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan