Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Had guna Medisave bagi penyakit kronik, vaksin, pemeriksaan kesihatan dinaikkan S$100

Had jumlah yang boleh dikeluarkan daripada Medisave setiap tahun bagi penyakit kronik, pemvaksinan dan pemeriksaan kesihatan akan dinaikkan dari S$400 kepada S$500 bermula bulan Jun tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Mar 2018 11:21PM Dikemas Kini : 07 Mar 2018 11:40PM

SINGAPURA: Had jumlah yang boleh dikeluarkan daripada Medisave setiap tahun bagi penyakit kronik, pemvaksinan dan pemeriksaan kesihatan akan dinaikkan dari S$400 kepada S$500 bermula bulan Jun tahun ini.

Ini menurut Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Chee Hong Tat pada Rabu (7 Mac).

Had baru tersebut akan dilaksanakan untuk rawatan pesakit luar bagi 19 penyakit di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik (CDMP) seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan demensia.

Had baru itu juga dapat dimanfaatkan bagi pemvaksinan - termasuk vaksin
pneumokokal dan hepatitis B, dan Papillomavirus Manusia bagi kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa - serta pemeriksaan seperti mammogram dan skop bagi kolon.

Mulai bulan Jun, CDMP juga akan merangkumkan penyakit jantung iskemia.

Seorang jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH) berkata sekitar 10 peratus pihak yang menuntut CDMP mempunyai tiga atau lebih penyakit kronik.

Had S$400 sedia ada mencukupi bagi empat daripada lima pesakit bersubsidi yang menggunakan Medisave bagi rawatan CDMP mereka tahun lalu, menurutnya.

Meskipun begitu, MOH sudah menyemak hadnya bagi memastikan ia mencukupi bagi membantu pesakit yang menangani kos yang harus dibiayai sendiri, dengan meningkatnya jumlah penyakit CDMP sejak beberapa tahun lalu, kata jurucakap berkenaan.

Program tersebut bermula pada tahun 2006, yang meliputi hanya lima penyakit kronik. Sejak tiga tahun lalu, sekitar separuh daripada 440,000 pesakit CDMP berusia melebihi 65 tahun, menurut MOH.

Jumlah yang dikeluarkan secara purata juga hampir sama bagi mereka yang berusia melebihi dan kurang 65 tahun, kata jurucakap itu. Bahagian mereka yang menggunakan sekurang-kurangnya S$400 di bawah had sedia ada juga hampir sama bagi kedua-dua golongan.

USIA KELAYAKAN LEBIH RENDAH BAGI FLEXI-MEDISAVE

Had usia kelayakan bagi Flexi-Medisave juga akan diturunkan dari 65 kepada 60 tahun, menurut Encik Chee.

Skim tersebut menyediakan tambahan S$200 - tidak termasuk jumlah S$400 yang dikeluarkan, yang dijangka meningkat kepada S$500 - bagi golongan lanjut usia bagi rawatan perubatan pesakit luar di klinik pakar di hospital awam, pusat pakar kebangsaan dan poliklinik; dan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) yang turut menyertai.

PELUASAN CDMP DAN CHAS

Bagi mendorong mereka dengan tanda awal kencing manis mendapatkan nasihat awal, keadaan perubatan akan disertakan di bawah CDMP dan CHAS bermula bulan Jun tahun ini. MOH juga akan memperluaskan CDMP bagi merangkumi peralatan berkaitan kencing manis seperti suntikan insulin serta lanset dan jalur ujian, kata Encik Chee.

MOH mendedahkan sekitar 430,000 rakyat Singapura berusia antara 18 hingga 69 tahun dianggarkan mengalami tanda awal kencing manis. Anggaran ini termasuk mereka yang kini mungkin tidak sedar akan kondisi itu, dan mereka yang mungkin tidak membuat pemeriksaan susulan dengan penyedia jagaan kesihatan bagi kondisi mereka.

Individu dengan tanda-awal kencing manis mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kencing manis Jenis 2, menurut MOH.

Diagnosis awal dan perubahan gaya hidup seperti mengekalkan diet sihat dan kegiatan fizikal secara kerap dan pemeriksaan susulan dengan penyedia jagaan kesihatan boleh mencegah atau melambatkan penyakit kencing manis Jenis 2 bagi mereka dengan tanda awal kencing manis.

Pemerintah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menggalak rakyat Singapura menilai risiko mereka mengalami tanda awal kencing manis, dan kencing manis. MOH juga meningkatkan subsidi pemerintah bagi program 'Screen for Life' sejak bulan September tahun lalu.

Setakat sehingga bulan Februari tahun ini, hampir 30,000 rakyat Singapura sudah meraih manfaat daripada subsidi pemeriksaan yang ditingkatkan.

Sehubungan itu, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) melancarkan alat Penilaian Risiko Kencing Manis bagi mendorong orang dewasa berusia antara 18 hingga 39 tahun menilai risiko sedia ada mereka bagi kencing manis yang tiada diagnosis.

Setakat sehingga bulan Februari tahun ini, alat tersebut sudahpun digunakan sekitar 116,000 kali oleh kumpulan sasaran itu. Sekitar 18 peratus individu dinilai mempunyai risiko lebih tinggi mengalami kencing manis. 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan