Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GST naik dari 7% kepada 9%; tarikh kuat kuasa sebenar belum ditentukan

Spekulasi tentang sama ada cukai barangan dan khidmat (GST) akan dinaikkan disahkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat, semasa pembentangan Belanjawan Negara yang disampaikan di Parlimen hari ini (19 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
GST naik dari 7% kepada 9%; tarikh kuat kuasa sebenar belum ditentukan

Gambar fail. (Gambar: Ernest Chua/TODAY)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 07:17PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 07:59PM

SINGAPURA: Spekulasi tentang sama ada cukai barangan dan khidmat (GST) akan dinaikkan disahkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat, semasa pembentangan Belanjawan Negara yang disampaikan di Parlimen hari ini (19 Feb).

Ia akan dinaikkan dari tujuh peratus sekarang kepada sembilan peratus. Tarikh kuat kuasa belum ditetapkan, tetapi ia akan berlaku antara tahun 2021 dengan 2025.

Encik Heng berkata tempoh permulaan sebenar bagi kenaikan GST itu bergantung kepada "keadaan ekonomi, berapa banyak perbelanjaan negara dan sejauh mana kukuhnya cukai-cukai sedia ada".

"Namun saya menjangkakan bahawa kita perlu melaksanakannya lebih awal berbanding kemudian."

Oleh itu, Encik Heng berkata kenaikan GST akan dilaksanakan "secara berperingkat". Ini bermakna Pemerintah akan terus menyerap GST ke atas pendidikan dan jagaan kesihatan yang sudahpun menerima subsidi serta mempertingkat skim Baucar GST tetap apabila kenaikan itu dilaksanakan.

Skim Baucar GST yang dipertingkat itu akan menyediakan lebih banyak bantuan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan warga tua, tambah beliau.

Pemerintah juga akan melaksanakan sebuah pakej mengimbangi kenaikan tersebut bagi satu tempoh tertentu, untuk membantu rakyat Singapura menyesuaikan diri dengan kenaikan GST.

Keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan akan menerima lebih banyak sokongan, menurut Encik Heng, dengan maklumat terperinci diberikan setelah tarikh kenaikan GST ditetapkan.

RANCANG LEBIH AWAL, BERTANGGUNGJAWAB

Keputusan untuk menaikkan GST dibuat untuk membantu membiayai perbelajaan dalam sektor seperti jagaan kesihatan, keselamatan dan perbelanjaan sosial lain, jelas Encik Heng. Beliau menambah kenaikan itu akan dibuat secara berulang, memberikan manfaat kepada rakyat Singapura dan generasi sedia ada secara langsung.

Perbelanjaan jagaan kesihatan, misalnya, sudahpun meningkat sepanjang beberapa tahun lalu, dengan Pemerintah membelanjakan S$3.9 bilion pada Tahun Kewangan (FY) 2011 dan jumlah itu melonjak kepada S$10.2 bilion pada FY2018, menurut Encik Heng.

Bagi 10 tahun mendatang, penduduk yang semakin menua dan penyakit-penyakit kronik yang bertambah, bermakna perlunya meningkatkan keupayaan dalam jagaan kesihatan bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat. Ini selain melabur dalam teknologi-teknologi baru perubatan untuk mempertingkat mutu jagaan.

Ia akan membawa kepada perbelanjaan yang lebih tinggi dalam sektor pendidikan pada 10 tahun mendatang, kata beliau.

Hari ini, purata subsidi tahunan Pemerintah bagi jagaan kesihatan yang diterima oleh seseorang warga tua adalah lebih enam kali ganda berbanding seseorang yang lebih muda atau tambahan sekitar $4,500.

Selain itu, menjelang tahun 2030, jumlah warga tua akan meningkat sekitar 450,000 kepada 900,000, menurut Encik Heng.

Sebahagian daripada pelaburan yang sudah dirancang dalam bidang itu termasuk membina lagi enam hospital besar dan hospital masyarakat, empat poliklinik baru dan lebih banyak pusat jagaan warga tua dalam tempoh lima tahun mendatang, kata Encik Heng.

"Secara keseluruhannya, kami menjangka purata perbelanjaan tahunan dalam jagaan kesihatan naik dari 2.2 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) hari ini kepada hampir tiga peratus GDP dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ini adalah kenaikan hampir 0.8 peratus GDP atau sekitar $3.6 bilion dalam nilai dolar hari ini," menurut Encik Heng.

Encik Heng juga berkata perbelanjaan dalam projek-projek prasarana sudah bertambah dari S$8.5 bilion pada FY2011 kepada S$20 bilion pada FY2018 dan ia akan terus meningkat.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, beliau berkata Singapura perlu membelanjakan lebih banyak untuk membangunkan prasarana-prasarana baru seperti memanjangkan rangkaian kereta api sehingga lebih 100 kilometer, menyuntik kesegaran kepada prasarana lama serta membina Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, Pelabuhan Tuas dan rangkaian Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura.

Beberapa daerah berasingan di negara ini juga akan dibangunkan semula. Ini termasuk Daerah Jurong Lake, Daerah Digital Punggol dan Woodlands North Coast, tambah Encik Heng.

Beliau juga memberi gambaran serupa bagi perbelanjaan dalam keselamatan negara, termasuk serangan-serangan online dan radikal serta pelaburan dalam pendidikan.

Dari segi keselamatan negara, ia termasuk perbelanjaan sekitar $12.8 bilion pada FY2018 dan bagi pendidikan prasekolah pula sebanyak $1.7 bilion setiap tahun menjelang 2022, tambah beliau.

Encik Heng berkata: "Cara bertanggungjawab untuk membiayainya adalah menerusi cukai supaya setiap generasi membayar bahagian masing-masing. Kita tidak seharusnya meminjam bagi perbelanjaan berulang kerana ini akan meletakkan beban ke atas generasi akan datang."

MENGAPA TIDAK GUNA SIMPANAN RIZAB?

Encik Heng juga menjawab persoalan yang mungkin bermain di minda masyarakat: Mengapa tidak menggunakan rizab negara?

Encik Heng berkata Pemerintah sudah melakukannya menerusi rangka kerja Pulangan Pelaburan Bersih (NIR), yang diperkenalkan pada tahun 2008.

Ini bermula dengan rizab yang dikendalikan oleh GIC dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan kemudian Temasek pada tahun 2015.

Sepanjang tempoh 10 tahun lalu sejak ia dilaksanakan, sumbangan NIR melebihi seganda. Dari $7 bilion pada FY2009, kepada anggaran $15.9 bilion pada FY2018. Kini ia merupakan penyumbang paling besar kepada pendapatan Singapura - melebihi mana-mana cukai, kata beliau.

Encik Heng berkata Singapura sekarang membelanjakan sehingga 50 peratus daripada pulangan pelaburan bersih yang dijangkakan dan bakinya dimasukkan ke dalam rizab.

"Jika sebaliknya, kita menggunakan 100 peratus pulangan tersebut, jumlah utama rizab tidak akan bertambah dan NIRC sebagai sebahagian daripada GDP akan terus merosot sedang ekonomi kita tumbuh," kata Encik Heng.

"Kesannya bukan kecil dan belanjawan kita sekarang bergantung kepada NIRC sebagai sumber utama pendapatan kita."

Jika Pemerintah membelanjakan lebih daripada pulangan pelaburan, ini akan menghakis wang simpanan negara dan lambat-laun rizab akan menjana pendapatan yang lebih kecil pada tahun-tahun mendatang sehingga akhirnya rizab menjadi kering, jelas Encik Heng.

"Ini bukan cara Singapura," ujar beliau. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan