Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPPMS alu-alukan inisiatif dalam Belanjawan 2018 sebagai mampu bantu SME

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) melahirkan rasa gembira bahawa Belanjawan 2018 memperuntukkan lebih banyak sokongan untuk syarikat kecil dan sederhana (SME). Ini demi mempersiapkan SME bagi masa depan dalam latar ekonomi yang kian berubah.

Anggaran Waktu Membaca:
DPPMS alu-alukan inisiatif dalam Belanjawan 2018 sebagai mampu bantu SME

(Gambar: Singapore Malay Chamber of Commerce & Industry (SMCCI)/ Facebook)

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) melahirkan rasa gembira bahawa Belanjawan 2018 memperuntukkan lebih banyak sokongan untuk syarikat kecil dan sederhana (SME). Ini demi mempersiapkan SME bagi masa depan dalam latar ekonomi yang kian berubah.

Demikian reaksi DPPMS dalam satu kenyataan, berhubung Belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan hari ini (19 Feb).

Ia khususnya merujuk kepada Skim Kredit Gaji yang dilanjutkan selama tiga tahun di samping rebat Cukai Pendapatan Korporat (CIT).

Menurut DPPMS, langkah-langkah ini dapat membantu SME untuk menangani kos yang kian tinggi, memberi tumpuan untuk mempertingkat kemahiran tenaga kerja dan mengalih sumber-sumber mereka kepada bidang-bidang perniagaan yang lebih kritikal.

"Lanjutan ini seharusnya dialu-alukan oleh para peniaga terutama sekali SME yang kini berdepan dengan kos pengurusan lebih tinggi. Ini juga membantu peniaga-peniaga kecil yang masih cuba untuk bangkit kembali daripada kemerosotan ekonomi pada awal 2017, sebelum ekonomi kembali tumbuh," kata Encik Anis Mohamed, Pengarah Kreatif Syarikat PictureMatters Pte Ltd.

DPPMS juga menyentuh tentang inisiatif lain termasuk penggabungan geran-geran yang sedia ada kepada satu sistem geran, iaitu Geran Huraian Daya Penghasilan. Di samping itu, geran-geran IE dan SPRING Singapore juga disepadukan menjadi Geran Pembangunan Perusahaan (EDG).

"Penyepaduan ini akan memudahkan lagi persatuan dan dewan perdagangan (TAC) untuk menguruskan permohonan geran kerana sebelum ini, terdapat terlalu banyak maklumat yang sedia ada," kata Encik Azrulnizam Shah, Pengarah Eksekutif DPPMS.

Geran-geran ini dijangka dapat menggalak penggunaan huraian digital.

Berhubung langkah pemerintah yang menyalurkan S$145 juta ke dalam skim Pemaju Kemahiran Teknologi (TeSA) yang diperluaskan ke dalam lebih banyak sektor pula, Ketua Pembelajaran dan Pembangunan Pemangkin Pertumbuhan Encik Kelvin Loon berkata langkah ini "membolehkan pertubuhan-pertubuhan bersikap lebih terbuka terhadap penggunaan teknologi dan terus mengubah suai model perniagaan mereka yang sekarang, menggalak inovasi, dan menawarkan perkhidmatan baru selain membangun keupayaan rakyat supaya kembali berdaya saing".

Sejajar dengan strategi DPPMS untuk menggalak SME menebar sayap ke luar negara, ia mengalu-alukan langkap pemerintah yang mempertingkat Cukai Berganda untuk Skim Penyerantauan (DTDI) yang dapat membantu usaha DPPMS sendiri untuk menganjurkan program penyerantauan yang lebih menyeluruh.

"Dengan adanya geran-geran dan program-program baru, ia menekankan lagi seruan pemerintah supaya peniaga-peniaga meluaskan perniagaan mereka merentas sempadan dan menjalinkan kerjasama untuk menjalankan inovasi serta bersaing dalam pasaran global dan digital," kata Pengarah Kumpulan Cayman Group Holding Encik Dainial Sani Lim.

Bagaimanapun, kenaikan 2 peratus GST yang disarankan menjelang 2021-2025 dijangka mempunyai kesan bagi para aggota DPPMS, terutama sekali bagi mereka dalam sektor Runcit dan sektor makanan dan minuman (F&B).

Oleh itu, penting bagi peniaga-peniaga untuk mempersiapkan diri lebih awal bagi perubahan cukai. Encik Abdul Kadir dari syarikat OS Bagus Foodstuff mengongsi pandangan yang sama dan berkata, "Masa yang diberi pemerintah kepada peniaga-peniaga seperti saya memeberi kami masa mencukupi untuk membuat persiapan sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) naik. Kenaikan itu tidak dapat dielakkan tetapi saya percaya banyak syarikat boleh membuat penyesuaian sewajarnya".

Secara keseluruhannya, menurut DPPMS, Belanjawan 2018 menunjukkan sokongan kuat kepada SME untuk terus menyesuaikan diri dan berkembang di tengah-tengah latar perniagaan yang lebih dinamik.

DPPMS menambah, ia dan syarikat-syarikat akan terus bekerjasama untuk memanfaatkan segala inisiatif pemerintah untuk berdaya saing dan kekal relevan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan