Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bukan pekerja sahaja, pelajar juga perlu raih kemahiran baru untuk harungi cabaran ekonomi digital

Demikian nasihat Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim hari ini (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemahiran baru yang diperlukan bagi ekonomi digital harus diterapkan seawal mungkin.

Bermakna, bukan saja para pekerja tetapi golongan pelajar juga perlu meraih kemahiran baru supaya dapat mengharungi cabaran-cabaran teknologi yang "tidak dapat dielak".

Demikian nasihat Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim hari ini (15 Mac).

Semasa satu rancangan pos-Belanjawan bersama stesen radio Warna Mediacorp, Dr Yaacob mengupas beberapa isu seperti bantuan prasekolah, pembangunan para asatizah tempatan dan cabaran ekonomi digital.

Isu-isu ini, menurut Dr Yaacob, jika dapat diatasi dengan meraihkan peluang yang disediakan pemerintah, berpotensi untuk memajukan masyarakat Melayu/Islam di sini.

PERTINGKATKAN DIRI KERANA CABARAN TIDAK DAPAT DIELAK

Antara isu yang menjadi kebimbangan masyarakat adalah mengenai kestabilan pekerjaan mereka dan bagaimana teknologi baru dalam landskap ekonomi digital, mampu menggugat kedudukan itu.

Dr Yaacob menjelaskan bahawa masyarakat perlu mengambil langkah pertama dalam mempertingkatkan diri kerana cabaran-cabaran ini tidak dapat dielakkan.

Beliau memberikan contoh, bagaimana seseorang itu dapat mengatasi cabaran seperti kewujudan robot dalam pekerjaan mereka, dengan mempertingkatkan diri supaya dapat mengubah peranan dalam pekerjaan mereka.

Ditemui BERITAMediacorp selepas rancangan radio itu, Dr Yaacob menekankan bahawa seseorang pekerja juga harus melengkapi diri agar dapat mengendalikan robot dalam rutin kerja mereka dan bukan melihat teknologi sebagai satu cabaran.

"Saya rasa yang pertama kita tidak boleh elakkan dengan kegunaan teknologi ini mungkin mengubah suai cara kita bekerja. Yang penting adalah kita terus mengubah suai diri kita, dapatkan kemahiran-kemahiran yang baru.

"Saya rasa ini salah satu langkah yang penting yang harus dilakukan oleh pelajar kita dan juga pekerja kita, yang boleh menolong kita menerajui kerja kita dengan baik," ujar beliau.

Bagi membantu setiap anggota masyarakat dalam perkara ini, Dr Yaacob berkata banyak inisiatif tersedia akan diperluas.

Antaranya adalah program SME Go Digital dan Program Pemacu Kemahiran Teknologi (TeSA) yang bertujuan untuk membantu para peniaga dan pekerja mempertingkatkan prestasi masing-masing.

BELANJAWAN BANTU SETIAP LAPISAN MASYARAKAT

Dalam pada itu, Dr Yaacob juga menekankan bahawa Belanjawan tahun ini dilakarkan bukan untuk membantu ekonomi negara saja tetapi juga menyokong para keluarga.

Ini dilakukan melalui subsidi-subsidi perumahan dan pendidikan prasekolah.

"Saya rasa ini satu Belanjawan yang baik untuk mempersiapkan negara kita dengan perubahan yang akan berlaku dan pada masa yang sama juga untuk menentukan bahawa mereka tidak berasa ketinggalan, yang apa kita boleh lakukan untuk golongan dewasa dan sebagainya akan berterusan untuk menentukan bahawa seluruh negara maju ke hadapan sebagai satu negara," tambah Dr Yaacob. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan