Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2018: Golongan mana yang raih paling banyak manfaat dari geran PHG?

Dengan syarat geran perumahan berhampiran yang disemak semula diumumkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam kenyataan Belanjawan Isnin lalu (19 Feb), bakal pembeli rumah kini mempunyai pilihan yang lebih luas untuk mendapatkan rumah idaman mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2018: Golongan mana yang raih paling banyak manfaat dari geran PHG?

Gambar fail: OOI BOON KEONG/TODAY

Diterbitkan : 24 Feb 2018 01:57PM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 02:02PM

SINGAPURA: Dengan syarat geran perumahan berhampiran yang disemak semula diumumkan Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam kenyataan Belanjawan Isnin lalu (19 Feb), bakal pembeli rumah kini mempunyai pilihan yang lebih luas untuk mendapatkan rumah idaman mereka.

Sebelum ini, definisi tinggal 'dekat' dengan anak yang sudah berkahwin ataupun dengan ibu bapa adalah kawasan dalam bandar yang sama atau dalam lingkungan 2km. Ini bagaimanapun disemak kepada dalam lingkungan 4km mulai petang Isnin 19 Feb.

Kriteria yang disemak semula itu juga diperuntukkan bagi Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berkahwin(MCPS) dan Skim Keutamaan Warga Tua bagi flat-flat baru, bermula dengan tawaran flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) dan Penjualan Baki Flat (SBF) HDB pada Mei 2018.

SIAPA YANG MENDAPAT MANFAAT PALING BANYAK?

Para penganalisis dan pakar industri menarik perhatian bahawa mereka yang ingin membeli rumah di estet-estet matang dan bandar-bandar baru mungkin meraih paling banyak manfaat daripada Geran Rumah Berhampiran (PHG) yang dipertingkat dan kriteria yang disemak semula.

“Geran tersebut akan memberi manfaat terutama sekali kepada mereka dengan ibu bapa yang menetap di estet-estet matang kerana harga biasanya lebih tinggi di kawasan-kawasan tersebut dan geran berkenaan akan dapat membantu mengurangkan kos,” kata pegawai eksekutif utama PropNex Realty, Encik Lim Yong Hock.

Pengasas bersama HugProperty, Encik Ku Swee Yong juga menarik perhatian bahawa mereka yang ingin menetap di bandar-bandar baru ataupun yang bakal dibina seperti Bidadari, Tampines North dan Tengah juga dijangka meraih manfaat.

“Misalnya Bidadari,” katanya. “Kunci rumah akan diberi tahun depan, para pemilik tinggal di sana selama lima tahun dan selepas itu ia menjadi sebuah flat jualan semua. Di Bidadari, tidak terdapat banyak flat HDB dalam lingkungan 2km dan sesetengah daripadanya terletak di kawasan yang agak terpencil.

“Jadi sekiranya anda mahu lebih banyak keluarga untuk tinggal berhampiran satu sama lain, lingkungan itu harus diperluaskan,” jelasnya.

Para penganalisis yakin bahawa akan terdapat lebih banyak permintaan bagi flat jualan semula pada masa hadapan.

“Dengan harga flat jualan semula HDB kekal stabil sejak 2015, PHG yang dipertingkat akan menaikkan lagi tahap kemampuan mereka yang ingin membeli rumah jualan semula,” kata Encik Hari dari PropertyGuru.

“Dengan bekalan rumah baru di estet-estet matang yang terhad, PHG yang dipertingkat boleh membawa kepada lebih banyak permintaan bagi rumah jualan semula di daerah-daerah yang lebih lama, terutama sekali keluarga muda yang memerlukan bantuan ibu bapa untuk menjaga anak mereka.”

Golongan bujang juga dapat meraih manfaat, tambah Encik Hari yang menjelaskan bahawa mereka yang ingin membeli flat BTO kini hanya dibenarkan membeli flat fleksi dua bilik. “Mereka yang ingin tinggal berhampiran dengan ibu bapa mereka yang sudah tua, terutama sekali sekiranya mereka penjaga utama, kini mempunyai lebih banyak pilihan termampu di bawah semakan semula ini.” 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan