Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2018: Bersama-sama membina masa hadapan yang cerah

Belanjawan 2018 akan menyediakan sokongan yang lebih kukuh kepada syarikat-syarikat perusahaan dan para pekerja tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Feb 2018 10:40PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 10:45PM

SINGAPURA: Belanjawan 2018 akan menyediakan sokongan yang lebih kukuh kepada syarikat-syarikat perusahaan dan para pekerja tempatan.

Ini penting bagi membantu mereka mengharungi pelbagai cabaran jangka pendek, selain mempersiapkan mereka untuk merebut peluang masa hadapan.

Untuk membantu firma-firma dan pekerja menangani cabaran masa terdekat ini, Skim Kredit Gaji akan dilanjutkan selama tiga tahun lagi dan rebat Cukai Pendapatan Korporat juga akan dipertingkat dan diperluaskan. Kadar Levi Pekerja Asing bagi sektor Limbungan Kapal dan Proses Marin juga akan dilanjutkan selama setahun lagi. Para pekerja akan disokong melalui inisiatif Suai Maju bagi membantu mereka untuk menajamkan kemahiran dan menyertai sektor-sektor yang berpotensi mencatat pertumbuhan.

EKONOMI YANG BERINOVASI DAN BERSEMANGAT

Belanjawan 2018 akan mengukuhkan tiga pelancar yang akan membentuk asas bagi Perancangan Perubahan Industri (ITM). Ini akan mengukuhkan jalinan usaha sama di dalam dan luar negara. Skim-skim utama bagi setiap pelancar adalah:

- Menggalakkan budaya berinovasi secara meluas dalam negara, dengan sokongan diberikan kepada syarikat-syarikat perusahaan untuk

- Membeli dan menggunakan huraian-huraian baru melalui Geran Meningkatkan Daya Penghasilan dan mempertingkat potongan cukai bagi bayaran lesen hak intelektual (IP) kepada pihak-pihak yang tidak berkaitan.

- Membangunkan inovasi melalui potongan cukai yang dipertingkat bagi yuran pendaftaran IP dan kajian dan pengembangan (R&D) tempatan dan

- Mencari rakan-rakan bagi menghasilkan huraian-huraian melalui Platform Inovasi Terbuka. Program-program R&D seperti Program Transformasi Penerbangan dan Program Transformasi Marin juga akan dilancarkan.

Membina keupayaan, dengan sokongan yang lebih tersusun dihulurkan melalui Geran Pembangunan Perusahaan (EDG), sambil mengubah suai skim Pengecualian Cukai Pemula dan Pengecualian Cukai Separa. Pemacu Kemahiran Teknologi (PACT) juga akan dipertingkat bagi membantu lebih ramai pekerja menimba kemahiran digital.

Mengukuhkan kerjasama di kalangan syarikat tempatan, pelbagai skim sokongan kerjasama akan disepadukan dengan Program PACT. Pejabat Prasarana akan dibangunkan bagi menghimpunkan dan menyatukan rakan-rakan tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan, membiayai dan melaksanakan projek-projek prasarana di Asia.

BANDAR KEDIAMAN YANG SELESA, BIJAK DAN HIJAU

Pemerintah akan mengusahakan beberapa projek bagi menepati visi Singapura sebagai sebuah Negara Bijak. Bagi mempersiapkan Singapura untuk memenuhi cabaran perubahan iklim, Pemerintah akan memperkenalkan cukai karbon S$5 bagi setiap tan gas rumah hijau ke atas kemudahan-kemudahan yang mengeluarkan 25,000 tan atau lebih gas sedemikian dalam tempoh setahun, dengan cukai pertama dikuatkuasakan dari 2019 hingga 2023. Dana akan diperuntukkan bagi membantu syarikat-syarikat menggunakan tenaga dengan lebih cekap lagi. Keluarga-keluarga yang layak dan menetap di flat-flat HDB akan menerima sokongan tambahan dalam bentuk Baucar GST - U-Save yang dinaikkan kepada S$20 dari 2019 hingga 2021 bagi membantu mereka melalui proses peralihan ini.

MASYARAKAT YANG PRIHATIN DAN BERSEPADU

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pemerintah bersama-sama dengan rakyat membangunkan sebuah masyarakat yang prihatin dan bersepadu di Singapura. Belanjawan 2018 akan mengukuhkan gerakan SG Cares melalui tiga cara:

Pertama, dengan memberikan lebih banyak sokongan kepada individu dan keluarga mempersiapkan diri untuk masa hadapan dan menjaga satu sama lain.

Kedua, dengan mengukuhkan kerjasama antara Pemerintah dan masyarakat dalam menjaga warga tua dan golongan yang memerlukan.

Ketiga, memupuk sikap murah hati di kalangan rakyat Singapura agar ini dapat membantu membentuk sebuah masyarakat yang penyayang.

Pemerintah juga akan meningkatkan sumbangan tahunan Edusave. Selain itu, kriteria kelayakan pendapatan bagi dermasiswa juga akan dikemas kini, di samping lebih banyak sokongan diberikan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah. Lebih banyak sokongan bagi perancangan kewangan juga akan dihulurkan. Para pemohon flat jualan semula akan dapat memanfaatkan Geran Rumah Berhampiran. Para keluarga, khususnya mereka yang daripada golongan berpendapatan rendah, akan menerima bantuan bagi perbelanjaan mereka melalui rebat S&CC.

Rangka kerja levi pembantu rumah asing juga akan diubah suai, sementara kadar levi konsesi akan dikekalkan bagi keluarga yang memerlukan jagaan sedemikian.

Rangkaian Masyarakat bagi Warga Tua akan diperluaskan, yang bertujuan untuk mendampingi lebih ramai warga emas.

Bagi mempertingkatkan integrasi, kesihatan dan khidmat yang ada kaitan dengan sosial bagi warga tua akan disatukan di bawah Kementerian Kesihatan.

Pemerintah juga akan membuat tokokan kepada Amanah Masyarakat Warga Emas dan Dana Mobiliti dan Pengupayaan warga Emas. Seiring dengan usaha itu bagi menggalak sikap murah hati, potongan cukai bagi derma yang dihulurkan kepada Institusi Bertaraf Awam juga akan diperluaskan. Sokongan kepada Majlis Pembangunan Masayarakat (CDC) juga akan dipertingkat.

MASA HADAPAN DENGAN BELANJAWAN YANG BERKELANJUTAN DAN TERJAMIN

Kedudukan kewangan Pemerintah mantap bagi keseluruhan dekad ini. Sedang keperluan kita sebagai sebuah masyarakat terus berkembang, begitu juga perbelanjaan yang diramal meningkat, khususnya dalam bidang-bidang seperti jagaan kesihatan, prasarana, keselamatan dan pendidikan. Dengan itu, penting untuk Singapura terus mengukuhkan kedudukan kewangannya dan menguruskan perbelanjaan dengan lebih berhemat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan