Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahli farmasi, jururawat pakar dibenar beri preskripsi ubat kepada pesakit mulai Julai

Ahli farmasi berpengalaman dan jururawat dengan kepakaran lanjutan daripada sektor jagaan kesihatan awam akan dilatih bagi memberikan preskripsi ubat-ubatan dan mengarahkan ujian dijalankan ke atas pesakit, tanpa memerlukan tandatangan tambahan seorang doktor.

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli farmasi, jururawat pakar dibenar beri preskripsi ubat kepada pesakit mulai Julai

Gambar fail Amy Khor di parlimen.

Diterbitkan : 08 Mar 2018 12:10AM Dikemas Kini : 08 Mar 2018 12:18AM

SINGAPURA: Ahli farmasi berpengalaman dan jururawat dengan kepakaran lanjutan daripada sektor jagaan kesihatan awam akan dilatih bagi memberikan preskripsi ubat-ubatan dan mengarahkan ujian dijalankan ke atas pesakit, tanpa memerlukan tandatangan tambahan seorang doktor.

Ini sebahagian daripada langkah bagi "meningkatkan akses kepada jagaan bermutu", menurut Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Dr Amy Khor pada Rabu (7 Mac).

"Pada masa akan datang, kami akan menyemak peraturan kami dan melaksanakan perlindungan bagi membolehkan jururawat dan ahli farmasi berpengalaman dan layak, dalam sektor jagaan kesihatan, untuk memberikan ubat-ubatan secara sah melalui proses pemberian secara kerjasama," katanya semasa membahaskan Jawatankuasa Peruntukan bagi kementeriannya.

Mereka akan melakukan demikian di bawah pemantauan doktor, katanya.

Sambil menjelaskan bagaimana langkah itu akan memberikan bantuan, beliau memberi contoh Encik Tan yang berusia 77 tahun, yang mengalami barah prostat dan dihantar ke pasukan jagaan paliatif di rumah tumpangan selepas dibenarkan pulang.

KAKITANGAN LAYAK AKAN HADIRI KURSUS

Bagi memastikan khidmat memberi ubat yang dihulurkan oleh jururawat dan ahli farmasi selamat dan berkesan, MOH akan melaksanakan dua langkah perlindungan.

Hanya kakitangan yang sudah menamatkan Program Memberi Preskripsi Ubat Secara Kolaboratif yang dianjurkan Universiti Nasional Singapura dibenarkan menjalankan tugasan itu.

Kumpulan pertama seramai 38 orang dipilih untuk menjalani latihan, yang dianggotai 19 ahli farmasi dan 19 jururawat dengan kepakaran lanjutan dari National Healthcare Group (NHG), Sistem Kesihatan Universiti Nasional dan SingHealth, menurut jurucakap MOH.

Ahli farmasi dan jururawat pengamal lanjutan tersebut memiliki pengalaman minimum lima tahun, di mana tiga daripadanya adalah dalam bidang masing-masing.

Program berkenaan akan dijalankan bagi tempoh tiga bulan dan kursus yang pertama kali diadakan akan bermula 19 Mac.

Sebagai langkah perlindungan kedua, institusi jagaan kesihatan yang menawarkan khidmat sedemikian harus menubuhkan "Jawatankuasa Pentauliahan" yang akan mengesahkan dan meluluskan jururawat dan ahli farmasi dan Jawatankuasa Semakan Khidmat untuk memantau, mengaudit dan menyemak khidmat ini bagi memastikan mutu dan keselamatan dikekalkan, dedah MOH.

JURURAWAT, AHLI FARMASI LAYAK HANYA BOLEH BERIKAN UBAT TERTENTU

Tambahan itu, kakitangan yang layak hanya boleh memberikan ubat daripada senarai yang ditemui dalam Perjanjian Memberi Preskripsi Ubat Secara Kolaboratif.

Jururawat dan ahli farmasi akan bekerjasama dengan doktor mereka bagi menentukan rangka kerja, yang termasuk jenis pesakit dan kondisi perubatan yang boleh ditangani, senarai ubat yang boleh diberikan dan ujian yang boleh dijalankan mereka.

Sebagai contoh, jururawat pengamal lanjutan yang menangani pesakit kencing manis boleh menjalankan ujian darah bagi memantau paras glukos dalam darah. Manakala ahli farmasi yang menangani pesakit yang mengambil ubat pencair darah, boleh mengarahkan ujian darah dijalankan bagi menilai respons pesakit terhadap terapi yang mencegah darah menjadi pepejal.

Pesakit akan berjumpa dengan doktor itu bagi pemeriksaan susulan pada jarak tempoh ditetapkan atau terdapat perubahan bagi kondisi perubatan.

Dalam memberi respons kepada pertanyaan media, MOH menyatakan pasukan tersebut akan dipertanggungjawabkan bagi khidmat yang diberikan, selagi jururawat dan ahli farmasi mengikuti pelan rawatan yang dipersetujui dengan doktor yang turut bekerjasama.

Institusi tersebut juga menyerahkan permohonan kepada MOH bagi lesen untuk menawarkan khidmat memberi ubat-ubatan secara kerjasama. Sebaik saja diluluskan, kakitangan yang layak boleh memulakan khidmat memberi ubat secara kerjasama dengan doktor mereka. Khidmat pengamal secara kolaboratif yang pertama dijangka bermula pada Julai ini.

Memberi ubat secara kerjasama bertujuan meningkatkan akses pesakit kepada jagaan kesihatan khususnya dalam masyarakat, sambil memperkasakan ahli farmasi kanan dan jururawat kepakaran lanjutan terpilih bagi menjalankan peranan lebih besar, dan meningkatkan daya penghasilan, menurut MOH.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan