Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 isu ini mungkin jadi tumpuan Belanjawan 2018

Apabila Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan 2018 hari ini (19 Feb), tumpuannya adalah bagi jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
5 isu ini mungkin jadi tumpuan Belanjawan 2018

Latar langit Marina Bay di Singapura. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 19 Feb 2018 03:22PM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 03:25PM

SINGAPURA: Apabila Menteri Kewangan Singapura Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan 2018 hari ini (19 Feb), tumpuannya adalah bagi jangka panjang.

Salah satu sebabnya adalah Belanjawan tahun ini akan "memanfaatkan ekonomi sekarang yang lebih kukuh buat pertama kalinya", menurut ahli ekonomi dari UOB Francis Tan.

Berbanding dua Belanjawan pertama sepanjang penggal Pemerintah sekarang, ekonomi tumbuh dengan pesat pada tahun lalu dirangsang oleh prestasi cemerlang dalam sektor pengilangan.

Data rasmi yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan ekonomi tumbuh 3.6 peratus pada tahun 2017, menjangkaui anggaran awal dan ramalan pertumbuhan yang disemak semula oleh Pemerintah.

Dengan ekonomi yang mengukuh, Encik Heng dijangka menumpukan perhatian beliau kepada matlamat jangka panjang dari segi penyusunan semula serta perubahan ekonomi.

Selain itu, antara yang menjadi tumpuan utama dalam pembentangan Belanjawan hari ini adalah memastikan kedudukan kewangan Singapura berada di paras yang baik, sedang perbelanjaan Pemerintah dijangka melebihi pendapatan yang dijana.

"Saya melihat Belanjawan tahun ini akan terus menumpukan perhatian kepada perubahan ekonomi dalam pembangunan keupayaan, inovasi dan menebarkan sayap ke peringkat antarabangsa serta menangani jurang dan isu keserasian kemahiran dengan lebih mendalam dan terperinci," kata Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan, Liang Eng Hwa.

"Dari segi sosial, saya menjangkakan Menteri Kewangan akan memberi tumpuan kepada jagaan kesihatan dan warga tua. Selain itu, apa yang akan diberi tumpuan adalah kewangan kita," tambah Encik Liang, yang juga AP GRC Bukit Timah.

Berikut adalah lima isu yang akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2018:

1) BENTANG KEPERLUAN PERBELANJAAN S'PURA

Menjelang Belanjawan 2018, Pemerintah sudah memberi gambaran bahawa lebih banyak perbelanjaan diperlukan untuk menampung bidang-bidang seperti jagaan kesihatan dan prasarana dan ini tidak dapat dielakkan sedang penduduk Singapura semakin menua.

Menjelang tahun 2030, satu daripada empat rakyat Singapura akan berusia 65 tahun ke atas.

Sebelum itu, penduduk yang semakin menua akan berdepan "persimpangan demografi kritikal" tahun ini, apabila jumlah penduduk yang berusia 65 tahun ke atas sama dengan jumlah mereka yang berusia 15 tahun ke bawah, kata Encik Tan.

Disebabkan cabaran-cabaran demografi tersebut, salah satu kesan utamanya adalah perlunya lebih banyak perbelanjaan sosial dan juga bagi sektor jagaan kesihatan pada tahun-tahun mendatang, menurut ahli ekonomi itu.

Penduduk yang kian menua juga bermakna perancangan masa depan dari segi prasarana perlu dilaksanakan. Ini untuk mempertingkat keselesaan hidup di Singapura, kata Encik Heng dalam wawancara bersama Mediacorp sebelum ini.

Sementara itu projek-projek prasarana bernilai jutaan dolar, termasuk Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan pelabuhan besar Tuas, penting untuk mengekalkan daya saing Singapura, tambah beliau.

Di tengah-tengah ancaman pengganas, keselamatan tanah air juga menjadi "tumpuan utama" dalam Belanjawan hari ini.

Ini kerana ia adalah "isu penting yang memerlukan pelaburan sumber", kata Encik Heng dalam wawancara pada bulan lalu.

2) KENAIKAN CUKAI: BUKAN SOAL 'JIKA', TAPI 'BILA'

Menimbangkan keperluan perbelanjaan yang semakin tinggi, spekulasi tentang semakan semula kadar cukai menjadi tajuk perbualan utama sejak beberapa bulan kebelakangan ini, khususnya setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata kenaikan cukai adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Sesetengah ahli ekonomi dan pakar cukai menjangkakan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2018, memandangkan kadarnya di Singapura kekal rendah berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Bentuk kenaikan cukai yang lain yang mungkin dipertimbangkan termasuk cukai e-niaga, cukai seperti yang dikenakan ke atas tembakau, arak dan judi serta cukai harta.

Sekalipun begitu, akan ada kesan merugikan ke atas setiap daripadanya.

Contohnya, ramai ahli ekonomi menyifatkan kadar GST yang lebih tinggi sebagai cukai "regresif" yang akan menjejas keluarga berpendapatan rendah, sementara sebahagian yang lain seperti ahli ekonomi Nomura, Brian Tan, bimbang kenaikan GST seolah-olah "mengambil risiko" yang akan menjejas kebangkitan ekonomi yang lebih bercorak meluas.

Secara keseluruhannya, Ketua Kajian dan Strategi Perbendaharaan OCBC Selena Ling berkata Belanjawan 2018 mungkin mengambil pendekatan "bertolak ansur".

"Menteri Kewangan sebelum ini menyuarakan perlunya memastikan sistem cukai adil dan progresif bagi semua orang dari pelbagai kumpulan pendapatan," menurut beliau.

"Sistem cukai yang mampan adalah sistem yang memberi ganjaran kepada usaha-usaha individu dan perusahaan dan kemampanan fiskal pula tentang mencari keseimbangan antara generasi sedia ada dengan masa akan datang."

3) BERHEMAT URUS WANG

Lantaran itu, prinsip dasar Pemerintah untuk bijak mengendalikan perbelanjaan mungkin akan diberi penekanan.

Tahun lalu, pengurangan sebanyak dua peratus dikuatkuasakan ke atas had Belanjawan bagi semua kementerian dan badan-badan pemerintah sebagai sebahagian usaha untuk mengawal perbelanjaan.

Pada masa akan datang, Pemerintah perlu "menerapkan sikap berhemat" bagi memastikan kedudukan kewangan yang mampan dan bertanggungjawab, kata Encik Liang yang berharap Encik Heng akan memberi "penjelasan berhubung kedudukan kewangan (Singapura) antara jangka pertengahan dengan panjang" di tengah-tengah perbelanjaan yang kian meningkat.

Namun bagi Tahun Kewangan 2017, terdapat berita baik dalam bentuk lebihan Belanjawan yang dirangsang oleh pertumbuhan kukuh ekonomi, kata Encik Tan dari UOB.

Ahli ekonomi itu menganggarkan keseluruhan lebihan belanjawan sebanyak S$3.1 bilion, yang bermakna 0.7 peratus daripada GDP negara berbanding anggaran Pemerintah sebanyak S$1.9 bilion.

4) UBAH PERNIAGAAN DENGAN BANTU INDUSTRI

Firma-firma boleh menjangkakan Belanjawan yang menyokong perniagaan dengan lebih banyak sokongan dari segi inovasi, digital dan menembusi pasaran luar negara.

Para pakar menjangkakan lebih banyak langkah untuk memperkukuh Perancangan Perubahan Industri (ITM) serta menambah cukai insentif bagi kajian dan pengembangan (R&D) untuk mengisi kekosongan apabila tarikh skim Kredit Daya Penghasilan dan Inovasi (PIC) luput.

5) TAJAMKAN KEMAHIRAN PEKERJA, PERTINGKAT DAYA PENGHASILAN

Memastikan rakyat Singapura terus mempunyai pekerjaan di tengah-tengah landskap ekonomi yang pesat berubah juga menjadi salah satu agenda.

Untuk memperhalusi pelbagai dasar yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu, Encik Liang menjangkakan peningkatan diumumkan bagi skim-skim, seperti Program Penukaran Profesional di bawah Tenaga Kerja Singapura.

Encik Tan berkata perlu juga terdapat usaha-usaha berterusan untuk mempertingkat keseluruhan daya penghasilan buruh. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan