Skip to main content

Iklan

Iklan

20% kursus politeknik dihentikan dalam tempoh 2-3 tahun mendatang

Para pelajar boleh diambil masuk ke politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berdasarkan bakat mereka dalam bidang-bidang melepasi keputusan peperiksaan.

Anggaran Waktu Membaca:
20% kursus politeknik dihentikan dalam tempoh 2-3 tahun mendatang

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 05 Mar 2018 07:02PM Dikemas Kini : 05 Mar 2018 11:35PM

SINGAPURA: Para pelajar boleh diambil masuk ke politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berdasarkan bakat mereka dalam bidang-bidang melepasi keputusan peperiksaan.

Ia antara beberapa laluan masuk yang bakal diluaskan, seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung hari ini (5 Mac).

Beliau menambah, berikutan perubahan industri, kursus politeknik akan dikurangkan sebanyak seperlima dalam masa dua tahun mendatang.

Salah seorang pelajar ITE Kolej Timur, Shahera Iryani memohon memasuki kursus kejururawatan melalui Pengambilan Masuk Awal ITE (EAE).

Di bawah EAE, pelajar diambil masuk berdasarkan minat dan bakat.

Bagi bekas anggota Briged St John yang menjalani program sambil belajar di hospital itu, kursus kejururawatan menjadi pilihan semula jadi.

"Guru-guru saya memberitahu saya tentang proses EAE dan saya mempunyai minat dalam (bidang) kejururawatan sejak menengah dua di dalam sekolah menengah. Keluarga saya dan rakan-rakan saya menyokong keputusan saya untuk memasuki kursus kejururawatan dan saya mahu menolong serta merawat pesakit-pesakit di hospital," katanya.

Sekarang ini, lebih-kurang 30 peratus hingga 50 peratus pelajar dalam kursus tertentu boleh masuk melalui EAE.

Namun bermula Januari depan, had tersebut akan ditiadakan - ertinya sebuah kursus boleh mengambil masuk semua pelajarnya melalui jalur berkenaan.

Bagaimanapun, ITE akan tetap menghadkan jumlah keseluruhan pengambilan masuk pelajar melalui EAE kepada 15 peratus.

"ITE akan lakukan semakan pada sistem pengambilan masuk pelajar, untuk bergantung lebih pada menilai bakat pelajar melalui temuduga dan portfolio mereka," kata Encik Ong.

Syarat kemasukan bagi Program Asas Politeknik (PFP) juga akan dilonggarkan.

Buat masa ini, pelajar aliran Normal Akademik yang mendapat 11 mata dan ke bawah bagi GCE Peringkat 'N', boleh memasuki program setahun jika tidak mahu mengambil peperiksaan Peringkat 'O'.

Dengan perubahan tersebut, pelajar yang meraih 12 mata juga boleh layak. Ini akan menampung tambahan sekitar 300 pelajar lagi yang berharap dapat mengambil kursus diploma.

Encik Ong berkata bahawa kumpulan perintis program berkenaan yang tamat kursus tahun lalu rata-rata mengatasi prestasi rakan sebaya mereka.

Ia hasil minat para pelajar tersebut dalam laluan politeknik.

PROGRAM KEMASUKAN BERSAMA TURUT DILUASKAN

Turut diluaskan adalah Program Kemasukan Bersama.

Buat masa ini, pelajar kejuruteraan boleh memilih mengikuti program meluas sehingga dua penggal, berbanding perlu mengambil kursus khusus serta-merta.

Ini akan diluaskan kepada kursus Maklumat dan Teknologi Digital di semua politeknik. Ia membentuk 30 peratus kemasukan bagi kursus itu mulai April depan.

Serentak dengan peralihan kepada usaha membangun kemahiran asas, Kementerian Pendidikan akan tidak lagi menawarkan kursus-kursus yang terlalu khusus.

Buat masa ini, terdapat sekitar 230 kursus politeknik. Namun, demi memenuhi keperluan industri yang pesat berubah-ubah, tambah Encik Ong, 20 peratus kursus akan dihentikan atau digabungkan dalam masa dua hingga tiga tahun.

Perubahan itu, menurut Encik Ong tidak akan menyebabkan kemerosotan dalam pengambilan pelajar politeknik.

Sumber : CNA/RL/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan