Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perincian Skim Permulaan Baru Memiliki Rumah didedahkan bagi bantu penyewa flat

Perincian mengenai Skim Permulaan Baru Memiliki Rumah, yang bermatlamat untuk membantu keluarga yang menetap di flat-flat sewa memiliki flat mereka sendiri, didedahkan di Parlimen hari ini (11 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Apr 2016 07:05PM Dikemas Kini : 11 Apr 2016 09:24PM

SINGAPURA: Perincian mengenai Skim Permulaan Baru Memiliki Rumah, yang bermatlamat untuk membantu keluarga yang menetap di flat-flat sewa memiliki flat mereka sendiri, didedahkan di Parlimen hari ini (11 Apr).

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong memberitahu Parlimen bahawa kementeriannya MND akan memperkenalkan skim tersebut menjelang hujung tahun ini.

Semasa bercakap di Parlimen bagi membahaskan peruntukan belanjawan bagi kementeriannya, Encik Wong berkata skim itu disasarkan kepada keluarga-keluarga yang mempunyai anak yang sedang bersekolah.

Di bawah skim itu, keluarga yang layak boleh membeli flat Flexi dua bilik. Flat-flat itu akan ditawarkan dengan tempoh pajakan antara 45 dengan 65 tahun, bagi memastikan harganya kekal dalam kemampuan dan Tempoh Penginapan Minimum adalah selama 20 tahun bagi menjamin kediaman yang lebih stabil untuk kanak-kanak.

Mereka yang membuat permohonan bagi skim tersebut akan diberi satu lagi pinjaman konsesi dari HDB, tanpa mengira pinjaman sebelum itu. Simpanan CPF pembeli flat akan digunakan sebagai bayaran pendahuluan serta bayaran gadai janji.

Keluarga yang layak juga akan mendapat Geran Permulaan Baru Memiliki Rumah sehingga S$35,000 yang akan dikira mengikut kadar (pro-rata) pajakan flat yang dibeli.

MELAYAKKAN DIRI BAGI SKIM

Skim yang diumumkan buat pertama kali di Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu itu akan menyepadukan bantuan sokongan dengan tanggungjawab peribadi dan sokongan sosial, kata Encik Wong.

Bagi melayakkan diri bagi skim tersebut dan menerima geran penuh, para keluarga perlu menunjukkan komitmen untuk terus kekal bekerja, menguruskan kewangan mereka dengan baik dan memastikan agar anak-anak mereka tidak tercicir dan terus bersekolah.

Bergantung kepada usaha mereka, geran itu akan diberikan secara bertahap-tahap. Sebanyak $20,000 akan diberikan apabila mereka menerima kunci flat dan bakinya akan diberikan setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun.

Bagi keluarga yang mengalami kesukaran selepas menyertai skim tersebut, MND akan menimbangkan keadaan seseorang individu dan usaha mereka dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Sumber : CNA/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan