MFA: Koswe punyai kapasiti yang mencukupi, tidak akan digantikan
Koswe yang menghubungkan Malaysia dan Singapura mempunyai kapasiti yang mencukupi dan tidak boleh digantikan begitu saja, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.
SINGAPURA: Koswe yang menghubungkan Malaysia dan Singapura mempunyai kapasiti yang mencukupi dan tidak boleh digantikan begitu saja, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.
Menurut Dr Balakrishnan, kedua-dua pemerintah sudahpun memuktamadkan kajian yang dijalankan secara bersama dan membuat unjuran yang sewajarnya sebelum membuat kesimpulan itu.
"Koswe sebenarnya mempunyai kapasiti yang mencukupi. Menggantikan Koswe bukan huraiannya," tegas Dr Balakrishnan semasa Parlimen membahaskan peruntukan bagi kementeriannya hari ini (7 Apr).
Sebaliknya, kedua-dua pihak mesti saling bekerjasama untuk mengurangkan kesesakan di Koswe.
"Penting untuk kita terus mempertingkatkan tahap keselamatan dan keberkesanan operasi pusat pemeriksaan menerusi langkah-langkah yang memanfaatkan penggunaan teknologi dan memperbaiki prasarana di pusat-pusat pemeriksaan."
Dr Balakrishnan juga menyokong Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam yang turut menekankan bahawa Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan dilengkapi dengan sistem berautomasi di kaunter-kaunter pelepasan imigresen bagi para penunggang motosikal di pusat-pusat pemeriksaan darat.
Dr Balakrishnan juga memberi amaran bahawa usaha untuk mempercepatkan proses pelepasan kastam mesti dilakukan sambil mengira pertimbangan keselamatan yang lain.
"Kita mempunyai tanggungjawab kepada seluruh rakyat Singapura bagi memastikan agar pemeriksaan dijalankan dengan ketat dan menyeluruh. Kerajaan Malaysia juga mesti mempertingkat langkah-langkah keselamatan negara it," kata Dr Balakrishnan.
Beliau menambah kedua-dua pemerintah kini sedang bekerjasama untuk terus mempertingkatkan tahap ketersambungan antara kedua-dua negara.
Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura dan RTS Johor Bahru-Singapura juga sudah menunjukkan kemajuan, dedah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.