Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kos kendali sistem air S'pura dari 2000 - 2015 naik lebih seganda

Pada tahun 2000, harganya separuh bilion dolar untuk mengendalikan sistem air Singapura. Namun menjelang 2015, jumlah itu naik kepada $1.3 bilion.

Anggaran Waktu Membaca:
Kos kendali sistem air S'pura dari 2000 - 2015 naik lebih seganda

Loji AirBaru di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 24 Feb 2017 08:08AM Dikemas Kini : 24 Feb 2017 08:10AM

SINGAPURA: Pada tahun 2000, harganya separuh bilion dolar untuk mengendalikan sistem air Singapura. Namun menjelang 2015, jumlah itu naik kepada $1.3 bilion.

Demikian menurut agensi air negara PUB semalam (23 Feb).

Sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap PUB berkata jumlah itu termasuk perawatan air, pengendalian takungan air, penghasilan AirBaru, penyahgaraman, pengumpulan dan perawatan air yang sudah digunakan serta penyenggaraan rangkaian paip air di seluruh negara.

Dalam kenyataan Belanjawan tahun ini, Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan harga air akan dinaikkan 30 peratus dalam dua peringkat sepanjang dua tahun mendatang. Ini adalah kali pertama sejak 17 tahun pemerintah menyemak semula harga air.

Dalam ucapannya, Encik Heng berkata harga air perlu mencerminkan kos yang kian meningkat berkaitan pembekalan air.

Menurut PUB, ini termasuk kos-kos seperti kimia, bahan dan tenaga manusia.

Sedang Singapura membangunkan dan mengendalikan sistem pembekalan airnya dalam sekitaran bandar, cara-cara pembangunan yang lebih mahal juga diperlukan, tambahnya.

"Misalnya, memasang rangkaian paip di daerah yang sudah dibangunkan memerlukan cara yang lebih mahal berbanding cara konvensional," menurut PUB.

Lagipun, sejak kali terakhir harga air disemak pada tahun 2000, ia perlu menangani kos sumber air yang kian meningkat dan cara-cara pembangunan yang lebih mahal.

Pelaburan-pelaburan besar juga disalurkan untuk prasarana air.

Menurut PUB, pihaknya melaburkan sebanyak $7 bilion dalam prasarana air dari tahun 2000 hingga 2015.

Namun bagi lima tahun mendatang, dari 2017 hingga 2021, pelaburannya sekitar $4 bilion.

"Ini bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat dan untuk memperkukuh daya bingkas sistem air, lebih-lebih lagi bagi mengharungi cabaran-cabaran akibat perubahan iklim," tambah PUB.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan