Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2017: Sokongan untuk keluarga, keselamatan pekerjaan antara keprihatinan utama warga S'pura

Sokongan bagi keluarga, keselamatan pekerjaan dan prospek pekerjaan antara keprihatinan utama rakyat Singapura yang memberikan maklum balas mereka kepada portal maklum balas Pemerintah, REACH, menjelang Belanjawan 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2017: Sokongan untuk keluarga, keselamatan pekerjaan antara keprihatinan utama warga S'pura

(Gambar fail: Sebuah keluarga di Singapura bermain layang-layang. (Gambar: Goh Chiew Tong)

Diterbitkan : 13 Feb 2017 02:13PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 11:44AM

SINGAPURA: Sokongan bagi keluarga, keselamatan pekerjaan dan prospek pekerjaan antara keprihatinan utama rakyat Singapura yang memberikan maklum balas mereka kepada portal maklum balas Pemerintah, REACH, menjelang Belanjawan 2017.

Keprihatian utama mereka adalah sokongan untuk keluarga, dengan ramai responden meminta Pemerintah memperkenalkan lebih banyak insentif keibubapaan, menggalak keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, serta menjadikan perumahan lebih dimampui, menurut REACH dalam satu kenyataan media hari ini (13 Feb).

"Ramai yang prihatin dengan kos sara hidup yang tinggi di Singapura dan ada yang berkata ini menghambat sesetengah warga muda Singapura daripada mempunyai keluarga besar atau membina keluarga," menurut REACH.

Idea-idea bagi insentif keibubapaan termasuk meningkatkan jumlah cuti ibu dan bapa, bonus bayi dan cuti jagaan kanak-kanak, dan menggalak lebih banyak syarikat memperkenalkan aturan jadual kerja yang fleksibel. Seorang responden menyarankan agar wanita diberikan tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) selepas bersalin.

Bilangan individu yang "ketara" merayu agar lebih banyak bantuan kewangan diberikan kepada keluarga bergaji rendah dan warga tua dari segi subsidi jagaan kesihatan, rebat api air dan cukai serta bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih tinggi.

Subsidi bagi barangan dapur dan keperluan harian juga boleh diberikan, kata sesetengah responden.

"Yang lain menggesa Pemerintah supaya jangan lupakan golongan kelas pertengahan yang tersepit dan merayu agar bantuan diberikan kepada golongan ini," menurut REACH.

LEBIH BANYAK SOKONGAN BAGI PEKERJA LEBIH TUA, LANJUT USIA

Di tengah-tengah ekonomi lebih lembap, ramai responden meluahkan kebimbangan mereka tentang keselamatan pekerjaan. Para pekerja berusia 45 tahun dan ke atas meminta agar lebih banyak sokongan diberikan kepada pekerja warga tua untuk membantu mereka mempertingkatkan kemahiran mereka dan kekal dapat diambil bekerja.

"Pekerja lebih tua mengiktiraf perlunya untuk mereka mempertingkat diri dan menyeru agar lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan disediakan untuk membantu mereka terus kekal relevan. Sesetengah mereka menarik perhatian bahawa mereka masih sihat dan masih berupaya untuk bekerja, namun ada majikan yang lebih cenderung mengambil pekerja asing yang lebih muda," menurut REACH.

Meskipun ramai memuji inisiatif SkillsFuture, mereka menyarankan agar ia terus diperhalusi seperti meningkatkan jumlah kredit, dan agar kepelbagaian dan mutu kursus-kursusnya dipertingkatkan.

Ada pula yang menyeru agar Pemerintah mewajibkan firma-firma menghantar kakitangan mereka menjalani latihan untuk sejumlah jam setiap tahun, dan memastikan syarikat-syarikat latihan menjalankan latihan yang relevan dan betul.

MEMBERANGSANGKAN MELIHAT LEBIH RAMAI TAMPIL MEMBERI PANDANGAN

Hampir 8,000 maklum balas - melonjak daripada 3,600 tahun lalu - diterima dalam sesi pra-Belanjawan tahunan yang dijalankan dari 5 Disember tahun lalu hingga 13 Januari tahun ini menerusi wadah-wadah online REACH dan sesi-sesi pendampingan secara individu, menurut portal maklum balas itu.

Encik Sam Tan, pengerusi REACH dan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pejabat Perdana Menteri, berkata adalah memberangsangkan untuk melihat lebih ramai warga Singapura tampil ke hadapan memberikan maklum balas.

"Kami mendengar keprihatinan-keprihatinan rakyat Singapura tentang menyokong keluarga, serta daya kerja, mempertingkatkan kemahiran dan keselamatan pekerjaan.

"Dalam Belanjawan 2016, Pemerintah mengumumkan skim-skim seperti Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Kanak-Kanak dan KidSTART untuk lebih membantu keluarga-keluarga muda.

"Untuk para pekerja, kami ada SkillsFuture, Suai Maju, dan TechSkills Accelerator dan lain lagi untuk membantu mereka kekal relevan dalam ekonomi yang pantas berubah," katanya.

"Berdasarkan apa yang dicapai sejauh ini, Pemerintah akan memperhebat usaha dan melihat bagaimana kami boleh terus membantu dan menyokong warga Singapura dalam bidang-bidang berbeza ini," tambah beliau.

Belanjawan 2017 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Isnin depan (20 Feb) pada 3.30 petang. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan