Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2017: Seperti Naazreen Elias, lebih mudah bagi pekerja lain ceburi bidang baru

Setelah lapan tahun bertugas sebagai teknisyen audiologi, Cik Naazreen Elias, 32 tahun, mengorak langkah berani menceburi dengan menceburi bidang kerjaya baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah lapan tahun bertugas sebagai teknisyen audiologi, Cik Naazreen Elias, 32 tahun, mengorak langkah berani menceburi dengan menceburi bidang kerjaya baru.

Beliau kini bertugas sebagai ahli fisioterapi di Hospital Masyarakat St Andrews setelah tamat pengajiannya dalam jurusan Fisioterapi di Politeknik Nanyang tahun lepas.

Peralihan yang dibuatnya empat tahun lalu itu didorong oleh keinginan beliau untuk lebih berinteraksi dengan para pesakit, dan melihat setiap kemajuan mereka.

“Pertama kali mereka datang ke sini, mereka tidak boleh berjalan. Jadi saya boleh membantu mereka pulih dalam dua, tiga minggu menerusi kegiatan-kegiatan senaman untuk kekuatan mereka.

“Saya sangat berpuas hati kerana dapat melihat para pesakit membuat kemajuan dari segi kekuatan mereka,” ujar Cik Naazreen.

RIBUAN PEKERJA SUDAH BERALIH KE SEKTOR BERBEZA

Cik Naazreen adalah di kalangan ribuan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang berjaya membuat peralihan ke sektor yang berbeza menerusi Program Penukaran Kerjaya (PCP).

Program itu bertujuan membantu para pekerja pertengahan kerjaya mencuba pekerjaan baru dalam bidang yang berbeza.

Diperkenalkan pada 2007, program itu kini meliputi 20 bidang seperti Aeroangkasa, Marin dan Pengangkutan Awam.

Namun menerusi Belanjawan tahun ini, PCP serta beberapa program lain di bawah inisiatif ‘Suai-Maju’ akan diperkukuhkan lagi, dengan tambahan pada sokongan gaji dan latihan.

Ini bertujuan mendorong lebih ramai pekerja seperti Cik Naazreen untuk berpindah ke industri yang sedang berkembang serta mempertingkatkan kemahiran masing-masing, selaras dengan perubahan ekonomi semasa.

GAJI LEBIH KECIL ANTARA PENGHAMBAT ALIH KERJAYA

Langkah itu amat dialu-alukan oleh badan latihan dan pembelajaran berterusan, Mendaki SENSE, yang melihat faktor gaji sebagai antara penghambat utama bagi golongan PMET untuk beralih kerjaya.

"Satu kebimbangan dari golongan PMET ini adalah mereka apabila mereka menukar sektor, mereka tidak dapat gaji yang lumayan dan perlu bermula dari tahap bawah.

"Tetapi dengan program Suai Maju ini, sokongan yang lebih daripada pemerintah untuk mereka mendapat gaji yang agak baik, mereka tidak perlu khuatir lagi untuk bermula dari bawah," kata Pengarah Eksekutif Mendaki SENSE, Encik Heikal Yusope.

Pembentangan Belanjawan pada Isnin lalu turut memperkenalkan sebuah program baru dipanggil Inisiatif 'Bekerja Sambil Berlatih'.

Tujuannya adalah untuk memberikan para pekerja pendedahan kepada industri-industri yang sedang berkembang, tanpa perlu menjadi pekerja tetap di sesebuah syarikat.

Ia agak berbeza dengan Program Latihan dan Penempatan di mana para peserta akan diberikan latihan dan juga pekerjaan tetap.

LEBIH TERTUMPU KEPADA PMET

Encik Heikal melihatnya sebagai satu peluang baik untuk menimba pengalaman baru, selain memberikan tempoh percubaan bagi mereka yang belum pasti.

Namun beliau menambah, ia bukan bagi golongan yang mahukan kestabilan.

"Untuk para pekerja yang sudah berumahtangga atau ada banyak tanggungan, program seperti yang dinyatakan tadi mungkin tidak begitu sesuai bagi mereka."

Beliau menambah para pekerja perlu pertimbangkan dahulu sama ada mereka lebih inginkan pengalaman atau pekerjaan tetap sebelum memilih program yang sesuai dengan keperluan mereka.

"Mereka mungkin boleh melihat program-program seperti 'Latihan dan Penempatan' yang dapat memberikan mereka gaji yang agak lumayan dan tidak payahlah bermula dari bawah,"ujar Encik Heikal lagi.

Secara keseluruhannya, Mendaki SENSE melihat langkah-langkah bantuan bagi para pekerja dalam Belanjawan kali ini sebagai lebih tertumpu kepada golongan PMET.

Ia berharap lebih banyak program atau inisiatif baru juga dapat dianjurkan bagi para pekerja berkemahiran rendah, bagi mempersiapkan mereka untuk fasa ekonomi seterusnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan