Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2017: Rebat S&CC dilanjutkan dan dinaikkan bagi Tahun Kewangan 2017, sekitar 880,000 keluarga dijangka raih manfaat

Pemerintah akan menyediakan sokongan tambahan bernilai lebih S$850 juta pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2017 04:31PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 10:36PM

SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan sokongan tambahan bernilai lebih S$850 juta pada tahun ini bagi membantu keluarga-keluarga menampung perbelanjaan mereka, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Dalam kenyataan Belanjawan yang disampaikan beliau hari ini (20 Feb), Encik Heng turut menggariskan beberapa langkah untuk mencapai matlamat tersebut.

PENINGKATAN TETAP PADA REBAT U-SAVE

Bagi membantu para keluarga mengimbangi kenaikan harga air, Encik Heng mengumumkan peningkatan tetap pada rebat Baucar GST- Utilities-Save (U-Save) bagi keluarga-keluarga yang layak menerimanya.

Salah satu daripada tiga komponen di bawah skim Baucar GST, U-Save akan membolehkan para penduduk yang menetap di flat satu dan dua bilik HDB untuk mengimbangi bil api air sekitar tiga hingga empat bulan, manakala mereka yang tinggal di flat tiga dan empat bilik HDB secara purata boleh mengimbangi sekitar satu hingga dua bulan bil tersebut.

Peningkatan itu adalah dari S$40 hingga S$120. Sebagai contoh, keluarga yang menetap di flat satu dan dua bilik akan menerima rebat U-Save bernilai S$380 setiap tahun berbanding S$260, sementara keluarga yang tinggal di flat tiga dan empat bilik akan masing-masing menerima S$340 dan S$300 setiap tahun, berbanding S$240 dan S$220 sekarang.

"Rebat U-Save akan mengurangkan kesan kenaikan harga air," kata Encik Heng.

"Meskipun kami menawarkan bantuan ini, kita tidak boleh mengabaikan betapa pentingnya air dan kita mesti berhemah dalam penggunaannya."

Encik Heng berkata dengan mengambil kira rebat yang lebih tinggi, 75 peratus keluarga yang menetap di flat-flat HDB akan menyaksikan secara purata kenaikan kurang S$12 pada perbelanjaan air bulanan mereka.

Secara purata, keluarga yang menetap di flat satu dan dua bilik tidak akan menyaksikan kenaikan pada perbelanjaan air.

Sekitar 880,000 keluarga yang menetap di flat-flat HDB akan meraih manfaat daripada skim tersebut.

Pemerintah akan membelanjakan tambahan S$71 juta setiap tahun.

BAUCAR GST SEKALI SAJA - BAYARAN KHAS TUNAI

Bagi membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah menampung perbelanjaan mereka, Encik Heng juga mengumumkan Baucar GST - Bayaran Khas Tunai sekali saja sehingga S$200 bagi para penerima yang layak. Ini adalah tambahan kepada Baucar GST - Tunai.

Secara keseluruhannya, rakyat Singapura yang layak boleh menerima sehingga S$500 dalam bentuk wang tunai bagi 2017, tambah Encik Heng.

Bayaran sekali saja ini menelan belanja sekitar S$280 dan akan memanfaatkan lebih 1.3 juta rakyat Singapura.

LANJUTAN DAN PENINGKATAN PADA REBAT S&CC, REBAT CUKAI PENDAPATAN PERIBADI

Encik Heng menambah rebat perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) akan dilanjutkan dan dinaikkan 0.5 bulan bagi Tahun Kewangan 2017.

Keluarga yang layak akan menerima 1.5 hingga 3.5 bulan rebat S&CC pada tahun ini.

Para keluarga yang menetap di flat satu dan dua bilik akan menerima rebat 3.5 bulan, sementara keluarga yang tinggal di flat tiga dan empat bilik akan menerima rebat 2.5 bulan.

Ini akan menelan belanja S$120 juta dan sekitar 880,000 keluarga yang menetap di flat-flat HDB dijangka akan memanfaatkannya.

Bagi membantu keluarga-keluarga tempatan mengurangkan cukai mereka bagi tahun ini, Pemerintah akan menawarkan rebat Cukai Pendapatan Peribadi sebanyak 20 peratus bagi cukai yang mesti dibayar bagi YA2017. Jumlah itu dihadkan kepada S$500, tambah Encik Heng.

Pemerintah akan membelanjakan S$385 untuk menampungnya.

TOKOKAN KEPADA DANA

Bagi menyokong peningkatan pada U-Save dan bayaran Baucar GST pada masa akan datang, Pemerintah akan menokok S$1.5 bilion kepada Dana Baucar GST, kata Encik Heng.

Medifung akan ditokok sebanyak S$500 juta dan menurut Encik Heng, tokokan terakhir adalah pada Tahun Kewangan 2013 dan sejak itu penggunaan Medifund secara purata meningkat sebanyak 9 peratus dari Tahun Kewangan 2013 hingga 2015.

Ini menjadikan saiz dana tersebut sebanyak S$4.5 bilion.

Dana ComCare yang menyokong keluarga dan individu yang memerlukan juga akan ditokok sebanyak S$200 juta. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan