Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2017: Pekerja dapat lebih banyak bantuan bagi kembangkan kemahiran

Sedang syarikat-syarikat berinovasi dan ke arah digital, para pekerja negara ini tidak boleh ketinggalan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2017 06:37PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 10:39PM

SINGAPURA: Sedang syarikat-syarikat berinovasi dan ke arah digital, para pekerja negara ini tidak boleh ketinggalan, dan Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam ucapan Belanjawan beliau hari ini (20 Feb) melakarkan cara-cara bagi membantu orang ramai mendapatkan dan menggunakan kemahiran. Ini demi menyesuaikan diri dengan sekitaran yang berubah.

Dalam pada itu, bagi mempertingkatkan latihan dan membuat ia lebih mudah diakses para pekerja, Encik Heng berkata kursus-kursus ringkas, bermodul akan ditawarkan dan penggunaan pembelajaran elektronik akan diperkembangkan.

Beliau menarik perhatian bahawa universiti-universiti, politeknik-politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sudah mula menawarkan kursus-kursus sebegitu.

Dari segi pendanaan, SkillsFuture akan terus menjadi sumber utama bagi rakyat Singapura menyertai kursus-kursus yang sah, katanya.

Selain itu, para anggota kesatuan boleh mendapat subsidi bagi kursus-kursus tertentu melalui Dana NTUC-Pendidikan dan Latihan, dan Pemerintah sudah memperuntukkan S$150 juta untuk memadankan pendermaan kepada dana itu, katanya.

Selain memperolehi kemahiran baru, para pekerja juga mesti menggunakan kemahiran-kemahiran itu dan ia memerlukan para majikan, persatuan dan dewan perdagangan (TAC), kesatuan-kesatuan dan Pemerintah bekerjasama, tambah Encik Heng.

Beliau berkata para pekerja yang mahir akan dipadankan dengan pekerjaan di mana mereka boleh memanfaatkan sebaiknya kemahiran mereka, dan Pemerintah akan membuat Portal National Jobs Bank menjadi lebih berguna bagi mereka yang mencari pekerjaan dan juga majikan-majikan.

Ia juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat penempatan yang privet bagi menjalankan khidmat-khidmat pemadanan pekerjaan dengan lebih baik bagi para karyawan.

Encik Heng juga menggesa para majikan, TAC dan kesatuan-kesatuan supaya memainkan peranan yang lebih aktif dalam latihan berstruktur bagi para pekerja.

JALINKAN RANGKAIAN GLOBAL

Encik Heng juga mendedahkan penubuhan Perikatan Inovasi Sejagat (GIA) bagi rakyat Singapura mendapat pengalaman di luar negara, menjalinkan rangkaian-rangkaian dan bekerjasama dengan rakan sejawat di bandar inovatif yang lain, dan akan ada tiga program dalam inisiatif itu.

Rancangan-rancangan GIA adalah sebahagian daripada saranan-saranan Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) yang diumumkan awal bulan ini.

Pertama sekali, Akademi Pereka Baru akan membantu para pelajar pengajian tinggi menjalinkan perhubungan dan keupayaan di luar negara, dengan mengasaskan program Kolej Luar Negara Universiti Nasional Singapura (NUS) yang menghubungkan para pelajar dengan syarikat-syarikat baru di luar negara, kata Encik Heng.

Kedua, Pencetus Inovasi akan ditubuhkan di beberapa pasaran luar negara yang dipilih.

Ini akan memberi peluang bagi para usahawan dan pemilik perniagaan berhubung dengan mentor, pelabur dan penyedia perkhidmatan, tambah Encik Heng.

Ketiga, akan ada Pusat Menghubungkan Syarikat Tempatan dan Antarabangsa - di mana syarikat inovatif asing boleh berhubung dengan rakan di Singapura untuk berinovasi bersama-sama, menguji produk baru di sini dan dikembangkan ke rantau, kata Encik Heng.

Encik Heng juga mendedahkan Inisiatif Pembangunan Kepimpinan SkillsFuture, yang akan terus menyokong syarikat-syarikat mempersiapkan para pemimpin Singapura dengan mengembangkan program-program pembangunan kepimpinan termasuk menghantar individu berpotensi ke kursus-kursus khas dan tugasan luar negara.

Program itu akan menyasarkan untuk membangunkan 800 pemimpin berpotensi sepanjang tiga tahun, kata Encik Heng, sambil menambah Pemerintah akan memperuntukkan lebih S$100 juta bagi GIA dan Inisiatif Pembangunan Kepimpinan. 

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan