Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2017: Lebih banyak perbelanjaan sosial perlu demi bantu keluarga, pekerja

Lebih banyak perbelanjaan sosial perlu dikeluarkan oleh Pemerintah demi membantu keluarga-keluarga dan golongan pekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak perbelanjaan sosial perlu dikeluarkan oleh Pemerintah demi membantu keluarga-keluarga dan golongan pekerja.

Usia minimum bagi Kredit SkillsFuture juga diharap dapat dikurangkan lagi bagi membantu golongan pekerja bersiap demi mengharungi iklim ekonomi yang lemah sekarang.

Demikian antara luahan sebilangan pemimpin masyarakat, yang mereka harap akan diambil kira Pemerintah dalam Belanjawan 2017, yang akan dibentangkan minggu depan.

ISU PENDAPATAN, KESELAMATAN PEKERJAAN JADI TANDA TANYA

Ekonomi Singapura masih dibayangi pasaran sejagat yang lemah serta keadaan geopolitik yang tidak menentu.

Isu pendapatan serta keselamatan pekerjaan terus menjadi tanda tanya.  Sebilangan penduduk mengharapkan Belanjawan kali ini dapat menyentuh keprihatinan itu. 

Pengawal keselamatan, Zulkifli Said, 60 tahun, berkata: "Pemerintah harus beri kita, rakyat Singapura ini, lebih peluang bekerja dengan tangga gaji yang adil."

Perkembangan teknologi yang pesat, walaupun membawa seribu satu peluang, masih menjadi kekhuatiran ramai pekerja.  Maka itu, gerakan SkillsFuture yang bertujuan melengkapkan rakyat dengan kemahiran semasa, diharap dapat terus memberikan sokongan, lebih-lebih lagi dalam bentuk kewangan. 

Cik Noormala Salleh berkata: "Mereka perlu tambah. Kredit S$500 tak cukup sebenarnya. Satu kursus saja harganya mahal."

Tahun lepas, sekitar 380,000 rakyat tempatan mengikuti program-program SkillsFuture - meningkat lebih 30,000 berbanding tahun sebelumnya.

BILANGAN PELATIH DI MENDAKI SENSE MENINGKAT

Di Mendaki SENSE sendiri, bilangan pelatih yang berdaftar dalam suku ketiga tahun lepas meningkat 40 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2015.

Namun untuk menggalak lebih ramai golongan muda menjalani latihan, Pengarah Eksekutif Mendaki SENSE, Mohd Heikal Yusope, berharap usia minimum bagi para penerima kredit SkillsFuture dapat diturunkan dalam Belanjawan kali ini.

"Sekarang in kredit SkillsFuture diberikan kepada pelatih-pelatih, 25 tahun dan ke atas. Jadi apa jadi kepada pelatih-pelatih yang mungkin agak muda, 21 tahun atau lebih muda daripada itu.

"Mereka, saya fikir, ingin meningkatkan kemahiran mereka dan mungkin yuran atau kos belanja untuk kursus-kursus ini agak mahal. Jadi itu dapat menghambat mereka daripada terus mempertingkatkan diri mereka."

Bagi Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, beliau berharap perbelanjaan sosial akan terus meningkat bagi menangani keprihatinan golongan pekerja dan keluarga.

"Bagaimana kita boleh mempertingkatkan kemahiran para pekerja bergaji rendah agar boleh mempertingkatkan diri mereka untuk mendapat gaji lebih tinggi?

"Dan juga tidak dilupakan keluarga-keluarga yang mungkin perlu menjaga kanak-kanak dan keluarga yang mungkin kurang kemampuan yang mempunyai kurang upaya umpamanya, bagaimana kita boleh menolong mereka."

Encik Saktiandi percaya Pemerintah akan mengambil pendekatan inklusif dan berhemah bagi Belanjawan 2017 dengan tumpuan ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan