Skip to main content

Iklan

Iklan

Lebih sokongan bagi pekerja, keluarga bergaji rendah, pelajar berkeperluan khas, badan amal

"Aspirasi" pemerintah adalah supaya semua sektor ekonomi mempunyai sesuatu bentuk gaji progresif, kata DPM Heng Swee Keat.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih sokongan bagi pekerja, keluarga bergaji rendah, pelajar berkeperluan khas, badan amal

DPM Heng Swee Keat bentangkan Belanjawan 2021 pada 16 Feb 2021.

Diterbitkan : 16 Feb 2021 09:26PM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 03:24PM

SINGAPURA: Langkah-langkah untuk mengukuhkan "kontrak sosial" dan menyokong rakyat Singapura yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19 diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini (16 Feb).

"Untuk mengukuhkan kontrak sosial kita, kita mesti bekerjasama untuk menangani cabaran-cabaran yang dilalui oleh anggota masyarakat yang lebih terjejas," kata Encik Heng semasa membentangkan Belanjawan 2021, sambil merujuk kepada para pekerja dan keluarga berpendapatan rendah, kanak-kanak berkeperluan khas dan kumpulan-kumpulan yang memerlukan lebih banyak sokongan.

PEKERJA BERGAJI RENDAH, LANJUT USIA

"Aspirasi" pemerintah adalah supaya semua sektor ekonomi mempunyai sesuatu bentuk gaji progresif, kata Encik Heng, sambil memperincikan sokongan belanjawan bagi para pekerja berpendapatan rendah.

Buat masa ini, para pekerja berpendapatan rendah meraih manfaat daripada Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja, Model Gaji Progresif dan Jagaan Kerja, kata Encik Heng.

Kumpulan kerja perikatan tiga pihak yang ditubuhkan pada Oktober 2020 untuk meneroka cara-cara menaikkan gaji dan prospek para pekerja berpendapatan rendah sedang "meraih kemajuan" dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memberikan perinciannya tidak lama lagi, tambah Encik Heng.

Para pekerja lanjut usia juga mungkin memerlukan lebih banyak sokongan, tambah beliau.

Peruntukan belanjawan bagi Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia dan Geran Pengambilan Bekerja Semula Secara Sambilan akan dinaikkan lebih S$200 juta untuk menyokong lebih banyak syarikat mengambil langkah awal menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan semula pekerja, kata DPM Heng.

Merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 2019 bahawa usia persaraan akan dinaikkan kepada 63 tahun manakala usia pengambilan semula pekerja dinaikkan kepada 68 tahun pada tahun 2022, Encik Heng menambah kadar pengambilan bagi kedua-dua geran, yang diperkenalkan dalam Belanjawan pada Februari 2020, "menjangkaui jangkaan".

Pemerintah dan gerakan buruh akan melaksanakan usia baru persaraan dan pengambilan semula pekerja setahun lebih awal, iaitu pada tahun ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada perniagaan-perniagaan kita kerana menyokong para pekerja mereka yang mahu terus bekerja," kata Encik Heng.

CABARAN DAPATKAN PEKERJAAN

Golongan kurang upaya juga mungkin berdepan "cabaran lebih besar" untuk mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan, ujar beliau.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 29 Januari lalu mengumumkan bahawa bersama dengan SG Enable, ia menyasarkan untuk mewujudkan 1,200 peluang kerja bagi orang-orang kurang upaya pada 2021.

Ini termasuk peluang pekerjaan, program pelatih dan menajamkan kemahiran di bawah tiga jenis program.

"Ini meneruskan pelbagai inisiatif untuk mempertingkatkan peluang pekerjaan bagi orang kurang upaya (PWD), seperti 'Open Door Programme' dan Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya," kata Encik Heng.

KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH

Untuk memberikan "sokongan menyeluruh" kepada lebih banyak keluarga berpendapatan rendah, belanjawan kali ini menyediakan sumber-sumber untuk MSF memperluaskan lagi ComLink untuk membantu 14,000 keluarga dengan anak-anak dalam tempoh dua tahun mendatang," umum Encik Heng.

Diperkenalkan pada 2019, ComLink sekarang menyokong sekitar 1,000 keluarga yang beranak pinak dan menetap di flat sewa.

Sambil menambah bahawa MSF sudah menunjukkan "kemajuan yang baik", Encik Heng berkata: "Dengan menggerakkan aset-aset masyarakat serta menggembleng usaha kesukarelawanan tempatan, ComLink menyediakan wadah dan sokongan untuk keluarga-keluarga mencapai kemajuan yang lebih baik.

"MSF juga memastikan ComLink diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif lain seperti UPLIFT dan KIDSTART untuk menyediakan sokongan dengan lancar dan menyeluruh kepada keluarga-keluarga."

Perinciannya akan dikongsi oleh MSF dalam Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS).

KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Kumpulan ketiga yang pemerintah perlu memberikan "tumpuan khas" adalah kanak-kanak berkeperluan khas, kata DPM Heng.

"Kanak-kanak bawah usia tujuh tahun dengan keperluan pembangunan boleh meraih manfaat daripada pendekatan berbeza-beza untuk membantu mereka belajar dengan lebih baik," tambah beliau.

Pemerintah akan menimbangkan untuk merintis Program Sokongan Inklusif, kata DPM lagi.

"Program perintis ini menyepadukan persediaan bagi campur tangan awal dan khidmat pendidikan awal kanak-kanak bagi kanak-kanak yang memerlukan sokongan awal sehingga tahap pertengahan."

Ramai kanak-kanak ini sudahpun belajar di prasekolah dan program ini akan membantu mereka untuk didampingi dengan lebih bermakna di samping kanak-kanak lain," kata Encik Heng, sambil menambah ia akan memanfaatkan semua kanak-kanak dan membantu mereka untuk membangunkan kemahiran sosial dan bersikap lebih inklusif.

Pemerintah akan terus mengenal pasti dan menyasarkan kumpulan-kumpulan yang mungkin memerlukan sokongan tambahan, termasuk kumpulan-kumpulan baru pekerja dalam bidang-bidang yang mudah terjejas, tambah beliau.

Ia juga akan terus meneliti cara-cara untuk mempertingkatkan keselamatan pekerjaan dan memperkukuhkan simpanan persaraan yang mencukupi bagi mereka yang bekerja sendiri," kata Encik Heng.

"Pemerintah sedang bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan kita dan pelbagai agensi berhubung usaha-usaha, termasuk usaha mendampingi lebih ramai orang yang bekerja sendiri."

RAKAN MASYARAKAT, BADAN KEBAJIKAN, AGENSI KHIDMAT SOSIAL

COVID-19 menjejas rakyat Singapura dengan cara yang nyata dan tidak ketara, kata Encik Heng.

"Meskipun langkah-langkah jarak selamat, khususnya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan, membolehkan kita untuk membendung virus itu daripada menular, ia juga menimbulkan rasa kesunyian dan terasing dalam kalangan kumpulan tertentu," tambah beliau.

Rakan-rakan masyarakat, badan-badan kebajikan dan agensi khidmat sosial sudah mempergiatkan sokongan mereka tetapi sektor itu berdepan cabaran-cabaran baru," kata Encik Heng.

Sedang derma-derma yang disalurkan menerusi platform-platform tertentu dan bagi tujuan tertentu seperti pandemik ini meningkat, derma-derma dan aliran pendapatan bagi banyak badan kebajikan secara amnya merosot, tambah beliau.

"Sebahagian badan kebajikan malah terpaksa menggunakan dana simpanan mereka untuk terus beroperasi. Ini menjejas bantuan-bantuan yang disalurkan kepada mereka yang memerlukan," kata beliau, sambil menggalak individu-individu dan syarikat-syarikat supaya "melakukan lebih lagi" bagi sektor kebajikan jika boleh.

Sebanyak S$20 juta akan diperuntukkan bagi geran baru Change for Charity, kata Encik Heng.

"Terdapat potensi untuk perniagaan-perniagaan melakukan lebih banyak lagi untuk memudahkan perbuatan menderma secara spontan, contohnya, dengan menggalak pelanggan mereka menghulurkan derma semasa berurus niaga," tambah beliau.

Geran itu akan memadankan derma Tabung Masyarakat yang dijana menerusi inisiatif itu dan juga membiayai bersama kos-kos pembangunan sekali sahaja yang diperlukan untuk menyepadukan atau mempertingkatkan fungsi derma di platform-platform pembayaran, kata Encik Heng.

Untuk menggalak rakyat Singapura menyumbang semula kepada masyarakat dan menyokong sektor kebajikan dalam tempoh krisis ini, pemotongan cukai sebanyak 250 peratus kepada mereka yang menghulurkan derma kepada badan-badan kebajikan berstatus Institusi Bertaraf Awam (IPC) akan dilanjutkan lagi dua tahun sehingga hujung 2023, kata Encik Heng.

Sebelum ini, tempohnya dijadual berakhir pada hujung 2021.

Sokongan tambahan daripada Pemerintah kepada Program Mengumpul Dana yang Dipertingkat Lembaga Tote juga akan dilanjutkan lagi setahun, tambah beliau.

Ini bermakna, badan-badan kebajikan boleh membuat permohonan untuk menerima pemadanan sedolar bagi setiap dolar yang disumbangkan bagi derma yang layak, dinaikkan daripada projek-projek dalam tahun kewangan 2021, sehingga maksimum S$250,000 bagi setiap pemohon.

Ini juga termasuk derma-derma yang dikumpulkan menerusi platform-platform yang diluluskan, kata Encik Heng.

Tempoh pemadanan 'SHARE as One' Tabung Masyarakat juga akan dilanjutkan kepada tahun kewangan 2023, tambah Encik Heng.

Skim itu menyediakan pemadanan sedolar bagi setiap dolar yang disumbangkan bagi derma-derma baru dan tambahan menerusi program SHARE, yang membolehkan syarikat-syarikat, para pekerja serta individu untuk komited menghulurkan derma secara kerap, kata Encik Heng.

GALAK SEMANGAT KESUKARELAWANAN

Pemerintah juga mahu terus memupuk semangat kesukarelawanan dan perniagaan-perniagaan boleh memainkan "peranan penting" memulakan perjalanan pekerja mereka sebagai sukarelawan," kata Encik Heng.

Skim Perniagaan dan Institusi Bertaraf Awam akan dilanjutkan lagi dua tahun sehingga hujung 2023, kata DPM Heng, menggalak perniagaan-perniagaan supaya bekerjasama dengan institusi-institusi untuk membawa kesan lebih besar bagi "memenuhi keperluan rencam" masyarakat.

"Meskipun terdapat tekanan-tekanan yang dilalui rakyat Singapura pada waktu ini, kita terus mendengar banyak kisah-kisah menyentuh hati mengenai rakyat yang tampil melakukan sesuatu untuk merubah keadaan," kata Encik Heng, sambil menambah beliau berharap perbuatan baik budi seperti itu akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk tampil.

"Selain daripada usaha-usaha di peringkat nasional, usaha-usaha masyarakat, pertubuhan sukarela, rakan-rakan korporat dan individu membolehkan kita memenuhi pelbagai keperluan kumpulan-kumpulan berbeza yang memerlukan sokongan, lebih-lebih lagi sokongan tahap akhir."

Untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada inisiatif-inisiatif inovatif di peringkat masyarakat yang menangani keperluan masyarakat, Pemerintah akan memadankan tiga dolar bagi setiap dolar yang dikumpulkan bagi Dana Jagaan dan Inovasi Majlis Pembangunan Masyarakat, kata Encik Heng.

Sebanyak S$50 juta diperuntukkan bagi geran tersebut, tambah Encik Heng dan perinciannya akan dikongsi oleh CDC tidak lama lagi.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan