Skip to main content

Iklan

Iklan

Kadar cukai petrol naik sehingga 15 sen seliter

Kadar cukai petrol akan dinaikkan sebanyak 15 sen bagi setiap liter untuk petrol premium bermula Selasa (16 Feb), menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar cukai petrol naik sehingga 15 sen seliter

Stesen minyak di Singapura pada 16 Feb 2021. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 09:19PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 09:25PM

SINGAPURA: Kadar cukai petrol akan dinaikkan sebanyak 15 sen bagi setiap liter untuk petrol premium bermula Selasa (16 Feb), menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Kadar cukai petrol bagi petrol jenis pertengahan juga akan dinaikkan sebanyak 10 sen, umum beliau.

Kali terakhir cukai petrol dinaikkan adalah pada 2015 dengan kadar bagi petrol gred premium dan petrol gred pertengahan masing-masing dinaikkan S$0.20 dan S$0.15 bagi setiap liter.

"Cukai berdasarkan penggunaan membantu membentuk tingkah laku pengguna ke arah penggunaan petrol atau alternatif yang lebih mesra alam," kata beliau dalam Belanjawan 2021.

Bagi memudahkan peralihannya untuk rakyat Singapura, terutama sekali bagi mereka yang banyak bergantung kepada kenderaan mereka untuk menyara kehidupan mereka, Encik Heng juga mengumumkan pelbagai rebat cukai jalan raya.

Semua motosikal yang menggunakan petrol akan menerima rebat cukai jalan raya sebanyak 60 peratus bagi tempoh setahun, menurut beliau.

Pemilik motosikal lebih kecil sehingga 400cc akan menerima sama ada S$50 atau S$80 dalam bentuk wang tunai bergantung kepada kapasiti enjin.

Bagi pemandu teksi dan khidmat kereta sewa privet aktif yang menggunakan kenderaan petrol dan hibrid petrol, belanjawan ini memberikan rebat cukai petrol sebanyak S$360 yang akan diberikan sepanjang empat bulan, kata Encik Heng.

Ia tambahan kepada rebat cukai jalan raya sebanyak 15 peratus selama setahun bagi semua teksi dan khidmat kereta sewa privet yang menggunakan petrol.

Kenderaan muatan dan bas yang menggunakan petrol akan menerima rebat cukai setahun sebanyak 100 peratus, dan kereta yang menggunakan petrol akan menerima rebat setahun cukai jalan raya sebanyak 15 peratus, tambahnya.

Semua rebat cukai jalan raya akan dilaksanakan bermula 1 Ogos 2021, dan akan diteruskan setahun sehingga 31 Julai 2022.

Rebat tambahan cukai petrol bagi motosikal, teksi dan kereta sewa privet akan diperkenalkan menjelang pertengahan 2021, dengan lebih banyak butiran akan dikeluarkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada bulan April, jelas Encik Heng.

Rebat cukai jalan raya dan rebat tambahan cukai petrol akan diberikan secara automatik kepada mereka yang layak, dan tidak memerlukan sebarang permohonan, menurut LTA dalam kenyataan media berasingan pada Selasa.

Keseluruhannya, semua langkah cukai jalan raya akan mengimbangi sekitar setahun kenaikan cukai petrol bagi teksi dan motosikal dan sekitar dua tahun bagi kenderaan dan kereta komersil, kata beliau.

Dengan rebat cukai jalan raya sebanyak 15 peratus bagi kereta, bayaran cukai jalan raya minimum bagi kereta petrol dan hibirid petrol di luar waktu sibuk masing-masing akan dikurangkan dari S$50 kepada S$43 dan dari S$70 kepada S$60 antara 1 Ogos dengan 31 Julai 2022, menurut LTA dalam kenyataan medianya.

Cukai jalan raya yang perlu dibayar bagi kereta petrol dan hibrid petrol akan dikurangkan dari S$280 kepada S$238. Dengan rebat cukai jalan raya 60 peratus bagi motosikal, cukai jalan raya yang perlu dibayar bagi motosikal petrol dan motosikal hibrid petrol akan dikurangkan dari S$280 kepada S$112.

Sebahagian besar pendapatan yang dijangkakan daripada perubahan cukai petrol pada tahun mendatang akan diberikan melalui potongan ini, yang dianggarkan bernilai S$113 juta, kata Encik Heng.

"Perubahan iklim adalah benar dan nyata. Kita mesti bertindak sekarang. Perubahan pada tingkah laku memerlukan masa."

Pandemik COVID-19 memberi peluang kepada Singapura untuk merubah tabiat kerja dan perjalanan sedang aturan bekerja dari rumah menjadi lebih biasa, tambahnya.

"Kita mesti kekalkan peralihan tingkah laku ini. Masyarakat yang kurang bergantung kepada penggunaan kereta akan terus menjadi matlamat utama kita. Pengangkutan awam adalah, ternyata, mod pengangkutan paling bersih dan menjimatkan tenaga," kata Encik Heng.

Pemerintah akan membelanjakan lebih S$60 bilion dalam masa 10 tahun akan datang bagi memperluaskan dan memperbaharui rangkaian laluan kereta api Singapura, tambah beliau.

"Keseluruhannya, langkah-langkah ini akan bergerak ke arah membentuk semula perjalanan pengangkutan kita, ke arah pengangkutan yang lebih bersih." 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan