Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi S'pura mungkin kuncup 12.4% jika tiada sokongan Belanjawan COVID-19

Tanpa langkah-langkah sokongan yang dilaksanakan Pemerintah untuk mengurangkan kesan pandemik COVID-19, ekonomi negara mungkin menguncup dua kali ganda pada 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Feb 2021 03:24PM Dikemas Kini : 12 Feb 2021 07:36AM

SINGAPURA: Tanpa langkah-langkah sokongan yang dilaksanakan Pemerintah untuk mengurangkan kesan pandemik COVID-19, ekonomi negara mungkin menguncup dua kali ganda pada 2020.

Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (11 Feb).

Penilaian sementara mengenai kesan langkah-langkah utama Belanjawan COVID-19 mendapati ekonomi Singapura mungkin menguncup 12.4peratus atau lebih daripada itu pada tahun lalu.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura merosot 5.8 peratus pada 2020, menurut unjuran awal.

Menggunakan model simulasi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menganggarkan pembiayaan kelima-lima Belanjawan yang dibentangkan tahun lalu, yang bernilai sekitar S$100 bilion, merangsang pertumbuhan GDP sebanyak 5.5 peratus.

Pelonggaran dasar kewangan pula merangsang lagi 1.1 peratus - mengurangkan 6.6 peratusan mata daripada kemerosotan GDP.

"Langkah-langkah sokongan COVID-19 mewujudkan perbezaan ketara dalam memastikan rakyat kita selamat dan dapat terus bekerja," kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini di Shangri-La Rasa Sentosa Resort & Spa, di mana beliau berucap kepada kakitangan hotel dan beberapa penerima skim Belanjawan COVID-19.

"Kita dapat mengelakkan kehilangan pekerjaan dan mengimbangi kesan kejutan ekonomi. Lebih banyak bantuan dihulurkan untuk menyokong keluarga-keluarga yang memerlukan, yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan ketidaksamarataan.

"Analisis sementara ini memberangsangkan, memandangkan ia menunjukkan bahawa skim-skim yang diperkenalkan dapat meraih hasil yang disasarkan."

Langkah-langkah Belanjawan, termasuk Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), mungkin membantu menyelamatkan atau mewujudkan purata sekitar 155,000 pekerjaan pada 2020 dan 2021, menurut MOF.

Antara April hingga Disember tahun lalu, sebanyak S$22.6 bilion dalam bentuk sokongan gaji diagihkan kepada para pekerja rakyat Singapura menerusi firma-firma di bawah JSS.

Agihan itu membentuk sekitar 80 peratus daripada geran untuk perniagaan-perniagaan pada 2020.

Pemerintah juga memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu mewujudkan pekerjaan dan memadankan para pemohon kerja dengan peluang-peluang kerja serta latihan.

Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited menempatkan hampir 76,000 pemohon kerja tempatan dalam sektor-sektor yang mencatat pertumbuhan dengan pesat seperti ICT, jagaan kesihatan dan pengilangan, menurut MOF.

Kadar pengambilan bagi Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI), yang diperkenalkan sekitar hujung tahun lalu, turut menggalakkan, menurut MOF lagi.

JGI menyokong firma-firma yang mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru dengan membayar sebahagian gaji pekerja baru selama setahun.

Pada September dan Oktober lalu, 110,000 pemohon kerja digajikan di bawah skim itu oleh 26,000 majikan.

Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat menerima geran S$27.4 bilion untuk terus bertahan.

Firma-firma kecil dan firma-firma dalam sektor yang paling terjejas akibat pandemik menerima lebih banyak sokongan, menurut MOF.

Syarikat-syarikat Singapura juga meraih manfaat daripada skim-skim pembiayaan dana, dengan sekitar 20,000 firma mendapat pinjaman bernilai lebih S$17 bilion dari Mac hingga Disember tahun lalu.

BANTUAN SOSIAL

Belanjawan 2020 itu juga memperuntukkan S$10 bilion dalam bentuk pengaliran tunai dan skim bantuan sosial bagi rakyat Singapura dan keluarga-keluarga di sini.

Keluarga-keluarga rakyat Singapura menerima purata sekitar S$2,000 setiap seorang daripada langkah-langkah COVID-19 seperti Pakej Jagaan dan Bantuan, pelepasan pendapatan bagi mereka yang bekerja sendiri dan geran-geran bagi mereka yang kehilangan mata pencarian disebabkan oleh kesan COVID-19.

Pakej itu termasuk agihan wang tunai seperti bayaran Perpaduan, bayaran khas Daya Kerja bagi pekerja berpendapatan rendah dan tokokan kad PAssion bagi warga tua.

Keluarga-keluarga berpendapatan rendah menerima sokongan lebih tinggi, sekali gus merapatkan jurang pendapatan ke paras terendah dalam tempoh dua dekad, menurut MOF. Pekali Gini merosot kepada 0.375 pada 2020.

"Meskipun COVID-19 melebarkan jurang ketidaksamarataan di merata dunia, langkah-langkah Belanjawan 2020 sudah membantu merapatkan jurang itu di SIngapura," menurut MOF.

MOF menganggarkan setiap anggota keluarga penduduk Singapura yang menetap di flat-flat HDB satu dan dua bilik menerima S$3,400 atau hampir empat kali ganda berbanding mereka yang menetap di rumah-rumah privet (S$900).

Menjelang pembentangan Belanjawan 2021, yang akan disampaikan oleh Encik Heng pada Selasa (16 Feb), beliau berkata ramalan global masih serba tidak menentu dan pemulihan ekonomi Singapura dijangka tidak sama rata bagi semua sektor.

"Kita mesti terus berwaspada sedang usaha untuk memulihkan (ekonomi) kekal tidak menentu. Kita juga akan terus menyesuaikan sokongan kita bagi memastikan mereka yang paling memerlukan akan terus mendapat bantuan, termasuk para pekerja dalam sektor paling teruk terjejas," kata Encik Heng, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi dan Menteri Kewangan.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan