Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2021: S$24 bilion untuk ubah perniagaan, pekerja sepanjang 3 tahun akan datang

Pemerintah melakarkan pelan S$24 bilion bagi membantu syarikat dan pekerja menyesuaikan diri dengan dunia pasca COVID-19, dan ini termasuk menambah geran dan melanjutkan inisiatif latihan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2021 06:00PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 11:43PM

SINGAPURA: Pemerintah melakarkan pelan S$24 bilion bagi membantu syarikat dan pekerja menyesuaikan diri dengan dunia pasca COVID-19, dan ini termasuk menambah geran dan melanjutkan inisiatif latihan.

Dalam ucapannya semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada Selasa (16 Feb), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan senarai peningkatan kepada program pendanaan bersama yang ditawarkan kepada syarikat.

Ini termasuk program Skim Pembiayaan Perusahaan - Program Berkongsi Risiko Hutang yang disasarkan kepada syarikat pemula, yang mana Pemerintah menampung sehingga 70 peratus risiko terhadap pinjaman dari institusi-institusi kewangan yang terlibat. Had kuantum pinjamannya akan dinaikkan dari S$5 juta kepada S$8 juta.

Sejumlah S$1 bilion juga akan diperuntukkan bagi melanjutkan skim yang memberi tumpuan kepada perniagaan sedia ada seperti Geran Huraian Daya Hasil dan Geran Pembangunan Perusahaan sehingga hujung Mac 2022, serta melancarkan skim-skim baru seperti inisiatif CTO (Ketua Pegawai Teknologi) sebagai Khidmat yang memberi syarikat-syarikat akses kepada syarikat rundingcara profesional IT dan Program Pemimpin Digital bagi membantu syarikat-syarikat menggajikan pasukan utama digital.

Skim pelaburan yang disasarkan kepada perusahaan-perusahaan besar tempatan juga diumumkan Encik Heng. Di bawah skim tersebut, Pemerintah akan memperuntukkan S$500 juta bagi platform pendanaan yang diuruskan secara komersil dengan Temasek, yang akan memadankan pelaburan itu. Ini bermakna akan ada sejumlah S$1 bilion bagi pengurus dana melabur ke dalam ekuiti bukan kawalan dan hutang mezzanine perusahaan besar tempatan.

Skim tersebut diumumkan sedang syarikat-syarikat besar mendapati sukar untuk menarik ekuiti privet, kata beliau. "Ini mungkin bermakna peluang-peluang yang terlepas bagi syarikat dengan asas kukuh untuk memasuki bidang-bidang baru, disebabkan rantaian bekalan yang perlu diubah suai."

Sebahagian daripada S$24 bilion itu juga akan diperuntukkan bagi program-program berterusan yang membantu pemohon kerja seperti Pekerjaan SGUnited dan Pakej Kemahiran serta meningkatkan gaji pekerja jagaan kesihatan.

TEBAR SAYAP KE LUAR NEGARA

Pandemik COVID-19 juga menekankan pentingnya mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai "pusat global-Asia" untuk terus kekal berdaya saing, jelas Encik Heng. Satu cara ialah untuk merubah sektor penerbangan apabila perjalanan fizikal dimulakan semula, tetapi satu lagi cara adalah untuk mempercepatkan proses pendigitalan dan "bekerjasama pada skala global".

Pemerintah akan melancarkan inisiatif Pencetus Usaha Inovasi Korporat thun ini, yang akan menyediakan pendanaan bersama kepada syarikat untuk membangunkan perniagaan baru melalui studio urus niaga yang berkelayakan.

Bagi tujuan itu, platform-platform kerjasama sedia ada akan juga dinaik taraf.

Platform Inovasi Terbuka, yang memadankan masalah yang dihadapi syarikat dan agensi awam dengan penyedia huraian, akan dipertingkat bagi merangkumi ciri-ciri baru seperti 'Digital Bench' bagi mempercepatkan prototaip dan ujian secara maya. Para peserta program Perikatan Inovasi Global, yang betujuan membangunkan perkongsian rentas negara, kini akan dapat memanfaatkan subsidi sehingga 70 peratus.

Satu rangka kerja harta intelek yang baru dipanggil Strategi Harta Intelek Singapura 2030 juga akan diperkenalkan tahun ini, kata Encik Heng. Ia bagi membantu perniagaan menghargai harta intelek mereka dan melatih karyawan dalam bidang tersebut. Butiran akan diumumkan pada Hari IP Sedunia pada bulan April.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan