Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2021: S$11 bilion diperuntuk bagi Pakej Daya Tahan COVID-19

Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), yang membantu mengekalkan pekerjaan dengan memberi subsidi gaji pekerja, akan diperluas bagi sektor yang terus terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (16 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2021: S$11 bilion diperuntuk bagi Pakej Daya Tahan COVID-19

Merlion Park pada 26 Mac 2020. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 04:16PM Dikemas Kini : 18 Feb 2021 03:30PM

SINGAPURA: Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), yang membantu mengekalkan pekerjaan dengan memberi subsidi gaji pekerja, akan dilanjutkan bagi sektor yang terus terjejas teruk oleh pandemik COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (16 Feb).

Ia membentuk sebahagian daripada Pakej Daya Tahan COVID-19 berjumlah S$11 bilion yang bertujuan untuk menangani "tugas segera" memerangi pandemik tersebut, kata Encik Heng.

Pakej itu akan memberi tumpuan pada tiga bidang: Terus menyokong pekerja dan perniagaan, melindungi kesihatan awam dan memberi bantuan yang disasarkan kepada sektor yang masih tertekan.

Encik Heng berkata langkah-langkah Belanjawan yang diumumkan tahun lalu membantu mencegah "kesan ekonomi secara mendalam dan berkekalan" terhadap ekonomi Singapura, khususnya JSS yang bertujuan melindungi pekerjaan dan menolong syarikat mengekalkan pekerja tempatan.

JSS, yang pertama kali diperkenalkan dalam kenyataan Belanjawan 2020 Februari lalu, memberi sokongan gaji bagi membantu majikan membayar antara 25 dengan 75 peratus gaji bulanan pekerja.

Ini adalah kali keempat skim tersebut dilanjutkan, dan akan menelan belanja S$700 juta.

“Sejauh ini, kami memperuntuk lebih S$25 bilion kepada JSS, dan menyokong lebih daripada 150,000 majikan sehingga 17 bulan. Jumlah sekarang akan terus membantu membiayai gaji pekerja di kebanyakan sektor sehingga Mac 2021,” kata Encik Heng.

Bagaimanapun, beliau menekankan meskipun ekonomi sedang pulih, pemulihan itu dijangka tidak seimbang dengan beberapa sektor tetap mengalami tekanan. Maka itu, Pemerintah akan "menyesuaikan bantuan untuk mengekalkan daya tahan dan menyokong bidang-bidang yang mencatat pertumbuhan".

Sebagai permulaan, firma di sektor Tahap 1 - penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan - akan mendapat lanjutan bantuan JSS selama enam bulan. Syarikat-syarikat ini akan mendapat bantuan gaji sebanyak 30 peratus yang dibayar dari April hingga Jun tahun ini, dan bantuan gaji sebanyak 10 peratus sokongan dari bulan Julai hingga September.

Firma di sektor Tahap 2 - seperti runcit, perkhidmatan makanan, seni dan budaya, serta marin dan lepas pantai - akan menerima sokongan gaji 10 peratus selama tiga bulan lagi, meliputi gaji yang dibayar hingga bulan Jun.

Encik Heng berkata, tidak akan ada perubahan bagi firma di sektor Tahap 3A, yang pada umumnya sedang pulih. JSS akan menampung 10 peratus gaji sehingga Mac bagi syarikat dalam sektor ini, seperti yang diumumkan sebelumnya.

Encik Heng menambah meskipun tempat-tempat hiburan malam belum dibenarkan dibuka semula, mereka dapat memohon geran untuk berubah kepada kegiatan lain atau tutup kedai, katanya.

Skim-skim tertentu dalam Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited juga akan diperluas, termasuk Insentif Pertumbuhan Pekerjaan serta peluang latihan dan pekerjaan, kata Encik Heng.

Pakej Daya Tahan COVID-19 juga akan membiayai Geran Pemulihan COVID-19, yang membantu pekerja yang hilang pekerjaan atau mengalami "kehilangan pendapatan yang besar".

Permohonan dibuka pada 18 Januari tahun ini dan sehingga 15 Februari, lebih daripada 5,000 permohonan telah diluluskan, kata Encik Heng.

MELINDUNGI KESIHATAN AWAM

Sekitar S$4.8 bilion daripada Pakej Daya Tahan COVID-19 juga akan digunakan untuk melindungi kesihatan awam dan memastikan pembukaan semula ekonomi Singapura secara selamat.

"Kuncinya ialah dengan memberi suntikan vaksin kepada penduduk kita," kata Encik Heng. Beliau menarik perhatian, sehingga 14 Februari tahun ini, hampir 250,000 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 mereka. Dari jumlah tersebut, kira-kira 55,000 telah menerima dos kedua.

"Pada masa yang sama, kita harus terus membendung penularan virus, dengan mengekalkan langkah berjaga-jaga dan sistem pertahanan kita seperti menjejak kontak, menjalankan ujian, dan amalan jarak selamat," katanya.  

Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan