Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bantu pekerja dan perniagaan buat penyesuaian, berinovasi dan berkembang keutamaan Belanjawan 2021: Heng Swee Keat

Membantu para pekerja dan perniagaan untuk membuat penyesuaian, berinovasi dan berkembang akan terus menjadi keutamaan penting dalam Belanjawan tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (5 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Feb 2021 08:18PM Dikemas Kini : 06 Feb 2021 12:06AM

SINGAPURA: Membantu para pekerja dan perniagaan untuk membuat penyesuaian, berinovasi dan berkembang akan terus menjadi keutamaan penting dalam Belanjawan tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Jumaat (5 Feb).

Meskipun Pemerintah telah melakukan yang terbaik untuk mengekalkan pekerjaan, menyokong syarikat yang berdaya maju dan membantu pekerja yang terjejas akibat COVID-19, proses pemulihan ekonomi tetap "tidak menentu dan tidak sama rata", kata Encik Heng.

"Kami akan terus menyokong golongan pekerja dan syarikat kami, terutama yang berada dalam sektor yang terjejas teruk. Namun kita juga perlu meneruskan transformasi ekonomi, yang kita mulakan lima tahun lalu," tambahnya.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan kenyataan Belanjawan 2021 Singapura pada 16 Februari di Parlimen.

Sedang Singapura menangani keadaan masa kini, negara ini juga harus mempersiapkan pekerja bagi dunia yang berbeza pasca koronavirus, tekan beliau.

"COVID-19 telah mempercepatkan daya inovasi, meletakkan nilai tinggi pada daya tahan, dan lebih memberi keutamaan pada kemampanan. Kita tidak akan kembali ke masa lalu," kata Encik Heng.

Menurutnya Pemerintah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu pekerja dan perniagaan sepanjang tahun lalu.

Ini termasuk membantu perusahaan kecil dan sederhana serta penjaja mendakap huraian digital, selain memberi sokongan kepada syarikat pemula dan pengusaha yang berpotensi.

Beliau juga menarik perhatian kepada 100,000 peluang pekerjaan yang dijana melalui Program Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited, dan S$25 bilion yang diperuntukkan bagi penyelidikan, inovasi dan perusahaan sepanjang lima tahun akan datang.

Encik Heng berkata demikian semasa lawatannya ke makmal R&D Durapower, sebuah syarikat yang menyediakan huraian penyimpanan tenaga yang boleh diperbaharui.

Kata Encik Heng, Durapower adalah satu contoh syarikat yang terus berinovasi dan berkembang, dan siap meraih manfaat daripada pertumbuhan inisiatif menghijau sedunia. Ini sekaligus akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang baik untuk pekerja, tambahnya.

"Banyak syarikat lain juga membuat penyesuaian dan berinovasi untuk mencari peluang baru semasa krisis ini. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi kita harus bertahan," kata Encik Heng.

"Saya kekal komited penuh untuk membantu syarikat-syarikat ini, dalam perjalanan transformasi dan inovasi mereka. Bersama-sama, kita dapat bangkit lebih kukuh sebagai sebuah ekonomi; bersama-sama, kita dapat mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk pekerja kita."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan