Skip to main content

Iklan

Iklan

Respons terbaik kepada COVID-19 adalah daya bingkas ekonomi, masyarakat: DPM Heng

Singapura sedang mengalami kesan penuh daripada kerencatan ekonomi dan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19 di seluruh dunia dan dalam negeri. 

Anggaran Waktu Membaca:
Respons terbaik kepada COVID-19 adalah daya bingkas ekonomi, masyarakat: DPM Heng

DPM Heng Swee Keat semasa pembentangan Belanjawan Berdaya Tahan pada 26 Mac 2020

Diterbitkan : 07 Apr 2020 05:41PM Dikemas Kini : 07 Apr 2020 05:45PM

SINGAPURA: Singapura sedang mengalami kesan penuh daripada kerencatan ekonomi dan penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19 di seluruh dunia dan dalam negeri. Langkah-langkah lebih ketat yang dikuat kuasakan akan mempunyai kesan lebih besar terhadap ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hari ini (7 Apr).

Ekonomi Singapura sekarang "terjejas daripada pelbagai sudut oleh itu ia tidak mungkin kembali ke keadaan sedia kala begitu sahaja," kata Encik Heng semasa menggulung ucapannya di Parlimen.

Memandangkan status Singapura sebagai sebuah ekonomi terbuka, suntikan dana tidak akan dapat menangani gangguan bekalan dan permintaan global yang meluas, tambahnya.

Oleh itu, respons terbaik adalah untuk membina kebingkasan dalam ekonomi dan masyarakat, iaitu matlamat dua pakej sokongan tambahan - Belanjawan Berdaya Tahan S$48 bilion dan Belanjawan Kesepakatan S$5.1 bilion yang merupakan jumlah rekod.

Menurut Encik Heng: "Bagi ekonomi kita, kita bina daya bingkas dengan memastikan perniagaan yang berdaya maju tidak musnah tetapi sebaliknya, dapat mengekalkan keupayannya untuk pulih semula.

Menerusi dua pakej sokongan yang diumumkan berturut-turut dalam tempoh seminggu setengah yang lalu, perniagaan akan diberi bantuan dari segi kos, aliran tunai dan kredit.

Para pekerja yang terjejas juga akan menerima sokongan untuk bangkit semula dan memanfaatkan sebaik-baiknya tempoh sukar ini, katanya.

"Bagi masyarakat kita, kita menyokong rakyat kita dengan mengekalkan pekerjaan, menyediakan bantuan tunai dan meringankan beban keperluan aliran tunai," tambahnya.

BANTU FIRMA UNTUK BERDAYA BINGKAS BAGI MENYELAMATKAN PEKERJAAN

Firma-firma yang berdaya bingkas akan membantu mengekalkan lebih banyak pekerjaan, iaitu satu lagi keutamaan Pemerintah selain daripada menyelamatkan nyawa.

Bagi membantu syarikat-syarikat kekal berdaya maju, langkah sokongan seperti sokongan gaji lebih besar menerusi Skim Sokongan Pekerjaan (JSS), menghapuskan cukai hartanah bagi mereka yang bekerja di sektor-sektor yang lebih teruk terjejas, penangguhan sementara bayaran cukai pendapatan korporat dan pelbagai skim pembiayaan yang dipertingkat telah diumumkan.

Encik Heng menggesa syarikat-syarikat untuk memanfaatkan langkah-langkah bantuan itu untuk meneruskan perniagaan sedang mereka memantau perkembangan dan melakukan penyesuaian bagi menghadapi kemungkinan satu kemerosotan berpanjangan di masa hadapan.

Perniagaan-perniagaan juga harus memanfaatkan sokongan itu - banyak daripadanya disediakan dengan cara yang luas - "dengan bijak dan bertanggungjawab", katanya.

Menjawab soalan daripada Anggota-Anggota Parlimen (AP) tentang apa yang dilakukan untuk memastikan para majikan yang menerima sokongan gaji terus menggajikan para pekerja, beliau berkata mengikut skim itu, para majikan yang mengurangkan gaji atau memberikan cuti tanpa gaji kepada para pekerja mereka semasa tempoh ini, secara berpadanan akan mendapat bayaran yang kurang.

"Selagi anda membayar gaji para pekerja dan membuat sumbangan perlu CPF, anda akan menerima bayaran JSS yang sepadan bagi bulan-bulan berkenaan," katanya.

Perkhidmatan Awam juga sedang berusaha mempercepatkan bayaran kepada perniagaan yang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada Pemerintah.

Ia telah pun mempercepatkan tarikh akhir yang dijadualkan bagi lebih 1,000 baucar bayaran selama purata 11 hari. Secara keseluruhan, ini berjumlah lebih S$600 juta dan memanfaatkan hampir 300 perniagaan, yang sebilangan besar adalah syarikat kecil dan sederhana (SME), kata Encik Heng.

Berhubung topik rebat sewa, Pemerintah akan mewajibkan pemilik hartanah untuk "tanpa syarat memindahkan" keseluruhan rebat cukai hartanah kepada para penyewa, di tengah-tengah maklum balas oleh beberapa penyewa bahawa pemilik hartanah mereka belum lagi berbuat demikian.

Beberapa pemilik hartanah menyatakan bahawa undang-undang sedemikian menghukum mereka, tetapi Encik Heng berkata langkah itu tidak merugikan para pemilik hartanah. "Sebenarnya, ia mengelakkan pembatalan sewa dan memastikan premis mereka tetap disewa," tambah beliau.

Dengan rebat-rebat itu, para pemilik hartanah akan membayar kurang atau langsung tiada cukai hartanah tahun ini. Maka itu, Encik Heng sekali lagi menggesa para pemilik hartanah untuk memindahkan penjimatan cukai itu sepenuhnya kepada para penyewa mereka kerana rebat cukai hartanah itu bertujuan memanfaatkan mereka.

Bagi para pekerja, Encik Heng mengatakan bentuk sokongan yang terbaik adalah pengambilan pekerja yang berterusan, kedua-dua dalam tempoh jangka pendek dan panjang. Bantuan juga disediakan bagi mereka yang terjejas mata pencarian di tengah-tengah penularan virus itu.

Sokongan juga dipertingkatkan bagi golongan bekerja sendiri menerusi bantuan wang tunai secara langsung di bawah Skim Bantuan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri (SIRS) baru.

Encik Heng berkata tujuan Pemerintah adalah "sokongan menyeluruh, bersepadu" bagi ekonomi sedang ia memantau perkembangan jangka panjang.

"Selain daripada memberikan subsidi gaji, kami memberikan syarikat-syarikat sumber untuk mengatur semula operasi perniagaan mereka, melakukan pendigitalan, melatih semula pekerja dan mengerahkan semula pekerja buat sementara semasa tempoh sukar ini," katanya.

"Ini supaya mereka tampil lebih utuh selepas ekonomi pulih kembali."

MENGUKUHKAN RANTAIAN BEKALAN DAN MASYARAKAT

Meningkatkan daya bingkas dalam rantaian bekalan Singapura juga merupakan satu keutamaan memandangkan penularan COVID-19 telah menggariskan kepentingkan mengukuhkan lagi daya bingkas rantaian bekalan dan jaminan makanan.

"Mereka telah menggesa kami untuk terus berusaha, termasuk cita-cita "30 kali 30" kami untuk menghasilkan keupayaan pengeluaran makanan sendiri," katanya.

Satu strategi berbilang cabang bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan yang stabil telah dilaksanakan selama bertahun-tahun dan Pemerintah akan meneruskan usaha itu, kata Encik Heng sambil menambah Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli akan memberikan perincian lanjut minggu ini.

Menyentuh tentang sokongan bagi keluarga dan isi rumah di tengah-tengah pnularan COVID-19, Encik Heng mengumumkan semua Penduduk Tetap dewasa dengan ibu bapa, pasangan atau anak-anak rakyat Singapura boleh memohon bagi Bayaran Kesepakatan sekali sahaja bernilai S$300.

"Dengan skim-skim demikian, kami mengimbangi antara menyasarkan sokongan terhadap mereka yang lebih memerlukannya dan menyalurkan sokongan lebih cepat bagi kumpulan lebih besar," katanya.

"Ia bukan keseimbangan yang mudah dan kami akan melakukan yang terbaik untuk megimbanginya."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan