Belanjawan 2020

Images
  • elderly (1)
    Gambar fail warga emas.

PPIS alu-alukan langkah sosial yang diperkenalkan Belanjawan 2020

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengalu-alukan langkah-langkah sosial yang diperkenalkan semasa Belanjawan 2020 pada Selasa (18 Feb), yang dijangka membantu wanita, keluarga dan kanak-kanak dalam membina keluarga penyayang dan inklusif.

"PPIS memuji Pakej Bantuan Keluarga yang bukan sahaja mengurangkan kos kehidupan yang tinggi, tetapi membantu mereka di tengah-tengah wabak COVID-19 yang berlaku sekarang ini.

"Ini akan memberi manfaat kepada lebih 600 keluarga di Pusat-Pusat Khidmat Keluarga kami tahun lalu," menurut badan tersebut dalam kenyataan media hari ini.

Pakej Bantuan Keluarga antara lain terdiri daripada bayaran tunai sekali sahaja, baucar Cukai Barangan dan Perkhidmaan (GST) U-Save dan baucar barangan dapur.

PPIS turut yakin kadar GST yang kekal 7 peratus pada 2021 juga akan memberi mereka masa yang 'cukup' untuk menyesuaikan diri dalam menghadapi kenaikan GST menjelang 2025.

Ini juga dengan mengambil kira Pakej Jaminan bernilai S$6 bilion dan skim tetap Baucar GST yang dipertingkat, yang dijangka mengimbangi lagi kos bagi keluarga yang mempunyai pesara dan golongan berpendapatan rendah.

"Kami juga akur tokokan Kredit SkillsFuture sebanyak S$500, yang akan memberi keluarga-keluarga kami dengan peluang untuk terus meningkatkan diri mereka dan mencari peluang lebih baik bagi meningkatkan mutu kehidupan mereka secara keseluruhannya.

"PPIS menggalak bukan sahaja pekerja kami, tetapi keluarga dan terutama sekali wanita untuk memanfaatkan inisiatif ini. Akhir sekali, kami yakin pelbagai manfaat pendidikan yang diumumkan akan membantu keluarga dengan kanak-kanak sekolah dari segi kewangan," jelas PPIS.

ALU-ALUKAN USAHA TINGKATKAN MUTU, KEMAMPUAN PRASEKOLAH

Sehubungan itu, PPIS juga mengalu-alukan langkah untuk mempertingkatkan kemampuan, akses dan mutu khidmat prasekolah di Singapura.

Ini termasuk meningkatkan had maksimum pendapatan bulanan keluarga bagi Skim Bantuan Subsidi Tambahan dan Yuran Tadika (KiFAS) serta menyediakan subsidi prasekolah lebih tinggi bagi semua peringkat pendapatan yang layak.

Dengan tujuh Pusat Pembangunan Kanak-Kanak yang menampung lebih 790 pelajar di seluruh negara, PPIS juga berhasrat mengekalkan yuran yang termampu bagi memastikan setiap kanak-kanak menerima permulaaan terbaik dalam kehidupan mereka.

PPIS juga berbesar hati pemerintah mengupayakan para pekerja pertengahan kerjaya melalui Pakej Bantuan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture.

"Insentif bagi majikan untuk mengambil, mengekalkan dan melatih semula pekerja sedemikian membolehkan wanita pertengahan kerjaya terus kekal dalam tenaga kerja, yang dapat memastikan mereka mampu berdikari," menurut pertubuhan itu.

Sejajar dengan sokongan pemerintah bagi pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas, PPIS juga sudahpun berkolaborasi dengan Akademi Kebangsaan bagi Warga Senja (NSA) bagi menawarkan bengkel-bengkel amali bagi warga emas berusia 50 tahun ke atas.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak maklumat tentang bagaimana langkah-langkah ini boleh membantu wanita, keluarga dan kanak-kanak.

"PPIS juga memastikan mereka menerima bimbingan sewajarnya dan memiliki akses kepada bantuan yang diperkenalkan pada Belanjawan 2020," menurutnya.

Pada masa yang sama, pertubuhan itu melahirkan penghargaan kepada para pekerja barisan hadapan dan usaha berterusan mereka di tengah-tengah wabak COVID-19. 

- BERITAmediacorp/im

Top