Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pemerintah akan terus berusaha rapatkan jurang digital, kata Iswaran

Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada Selasa (26 Mei) menggesa Pemerintah supaya menjadikan khidmat Internet lebih bercorak universal serupa perbekalan kuasa elektrik dan air dan bukan setakat khidmat yang dibekalkan secara privet.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan terus berusaha rapatkan jurang digital, kata Iswaran

Gambar fail. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 27 May 2020 10:00AM Dikemas Kini : 27 May 2020 10:04AM

SINGAPURA: Dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada Selasa (26 Mei) menggesa Pemerintah supaya menjadikan khidmat Internet lebih bercorak universal serupa perbekalan kuasa elektrik dan air dan bukan setakat khidmat yang dibekalkan secara privet. Menurut mereka, penularan COVID-19 mendedahkan "jurang digital" di Singapura.

Dalam usul untuk penangguhan di Parlimen pada Selasa (26 Mei), AP Dilantik Anthea Ong membayangkan bahawa ramai orang menjadi "orang terpinggir digital" dan bukan "warga digital" semasa pandemik COVID-19, disebabkan oleh kurang akses kepada Internet dan peranti komputer. Mereka juga kurang mahir menggunakan komputer, katanya.

"Hari ini, ketersambungan Internet dan komputer peribadi menjadi keperluan asas tetapi harganya masih di luar kemampuan golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat kita. Jurang ini memburukkan ketidaksamarataan," katanya.

Dengan kelas-kelas diadakan melalui pembelajaran di rumah, misalnya, tempoh 'circuit breaker' mendedahkan realiti-realiti yang memprihatinkan, kata Cik Ong.

Tinjauan terkini Pemerintah mengenai perbelanjaan keluarga yang diterbitkan tahun lalu mendapati sekurang-kurangnya satu daripada setiap 10 keluarga di Singapura tidak mempunyai akses digital, menurutnya NMP itu.

Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa 81 peratus keluarga yang menetap di Singapura mempunyai sebuah komputer peribadi dan 87 peratus mempunyai akses Internet.

Turut membahaskan keprihatinan itu ialah NMP Lim Sun Sun yang menerajui program kemanusiaan, seni dan sains kemasyarakatan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), yang berhujah bahawa pelbagai segmen dalam masyarakat menunjukkan akses digital yang tidak sama semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-10.

Menurut Profesor Lim: "Ada yang tidak mempunyai sebarang peranti, ada yang mempunyai pelbagai jenis peranti yang salah di mana kebanyakannya berfungsi dengan perlahan atau rosak. Dan ada juga yang tidak mempunyai ketersambungan Internet dan ramai juga yang agak terbatas dari segi kemahiran digital.

"Keluarga-keluarga di sebelah kanan jurang digital ini (sebaliknya) gembira dengan ketersambungan Internet yang hebat, peranti yang diyakini dan kecekapan digital yang dapat memenuhi keperluan online mereka bagi pembelajaran, pekerjaan dan urus niaga."

SARANAN BAGI RAPATKAN JURANG DIGITAL

Kedua-dua NMP itu turut mengusulkan saranan-saranan mengenai bagaimana Pemerintah boleh menangani jurang digital dengan memastikan akses Internet disediakan, peranti digital serta kemahiran yang diperlukan untuk membolehkan orang ramai meraih manfaat daripada dunia digital.

1. AKSES INTERNET SEBAGAI SUMBER AWAM

Melalui usaha bersama syarikat-syarikat telekomunikasi, khidmat internet tanpa wayar secara percuma seperti Wireless@SG boleh diperluaskan ke kawasan-kawasan kediaman, saran kedua-dua NMP itu.

Ini terutama sekali bagi keluarga-keluarga berpendapatan rendah, dengan Cik Ong dan Prof Lim menyarankan agar khidmat Wireless@SG disediakan kepada semua flat sewa di Singapura.

Cik Ong turut menggesa Pemerintah supaya memperbaiki metrik Pemerintah dengan mengukur "paras ketersambungan", memandangkan statistik tidak menunjukkan sama ada perkakas atau khidmat Internet disediakan kepada semua orang.

"Setakat memiliki sebuah komputer peribadi dan mempunyai ketersambungan Internet bukan huraiannya. Ketersambungan Internet yang lemah atau perkakas yang tidak beroperasi pada tahap yang memuaskan boleh menimbulkan lebih banyak lagi cabaran," kata Cik Ong.

2. AKSES SAMA RATA KEPADA KOMPUTER PERIBADI

Prof Lim berkata akses kepada peranti komputer boleh dicapai dengan mengautomasikan subsidi komputer bagi keluarga berpendapatan rendah, sama seperti cara Skim Bonus Bayi dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja ditadbir.

Cik Ong mencadangkan supaya Program NEU PC Plus oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) yang menawarkan subsidi bagi pembelian komputer untuk keluarga berpendapatan rendah di mana terdapat pelajar atau individu kurang upaya dipertingkatkan.

Lebih separuh mereka daripada mereka yang tinggal di flat sewa satu dan dua bilik tidak mempunyai akses Internet atau sebuah komputer peribadi, katanya.

Beliau juga menarik perhatian bahawa skim itu agak terhad disebabkan oleh proses permohonan yang rumit, yang membataskan sesetengah murid prasekolah, pelajar yang belajar di rumah dan sebilangan mahasiswa, dan memberikan subsidi lebih rendah berbanding para pelajar dan golongan kurang upaya.

Pada mulanya, skim itu menetapkan satu komputer riba bagi setiap keluarga yang layak, yang kemudian dinaikkan kepada dua komputer riba semasa tempoh pemutus jangkitan antara April hingga Jun, katanya.

Golongan dewasa tidak mempunyai pilihan untuk memohon bagi komputer peribadi, sebaliknya hanya untuk tablet atau telefon bijak di bawah Program Akses Dari Rumah IMDA, katanya. Skim itu membolehkan para individu yang layak memohon ketersambungan jalur lebar gentian dan sebuah tablet pada harga yang diberikan subsidi.

Menurut Cik Ong: "Seorang kanak-kanak yang perlu menulis karangan menggunakan telefon bijak atau tablet tidak sama dengan kanak-kanak yang memiliki sebuah komputer riba. Meskipun begitu, sesetengah keluarga berpendapatan rendah melaporkan bahawa anak-anak mereka diberitahu supaya menjalani pembelajaran di rumah menggunakan telefon bimbit mereka."

Beliau juga mengusulkan idea "baucar pemerkasaan digital", serupa dengan baucar pengangkutan awam sedia ada untuk keluarga-keluarga membeli alat-alat peranti daripada syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura.

3. PERBAIKI KECEKAPAN DAN KESEDIAAN DIGITAL

Prof Lim mendapati bahawa sebilangan penderma komputer dan akses Internet bagi keluarga berpendapatan rendah agak keberatan untuk menyediakan akses sedemikian kerana mereka khuatir golongan tersebut terdedah kepada lebih banyak risiko online seperti bahan-bahan lucah dan perjudian online.

"Biasanya, ibu bapa yang lebih berpendidikan akan lebih celik IT dan dapat membimbing akses digital untuk anak-anak mereka," kata Prof Lim mengenai perbezaan antara golongan yang berlainan pendapatan dan profil demografik dari segi penggunaan teknologi.

Beliau juga mengatakan bahawa program celik digital di sekolah harus dipertingkatkan bagi "membantu golongan pelajar ini mengatasi kekurangan sumber di rumah." Dalam konteks ini, "sumber" membawa maksud sokongan keluarga di rumah, sebagai contoh.

"Tidak celik digital tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk tidak menyediakan akses sumber penting kepada keluarga berpendapatan rendah yang sebaliknya dimanfaatkan oleh para anggota masyarakat yang lain," kata Prof Lim.

Cik Ong turut menyarankan penubuhan "rangka kerja digital".

Ia boleh digunakan untuk menentukan jenis dan jumlah peranti komputer peribadi dalam setiap keluarga, tahap kelajuan Internet, fungsi Internet dan kecekapan digital yang diperlukan bagi membolehkan setiap orang memanfaatkannya.

RESPONS PEMERINTAH

Memberikan respons kepada ucapan kedua-dua NMP itu, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran bersetuju bahawa penggunaan teknologi digital tidak sama rata bagi seluruh ekonomi dan masyarakat, meskipun terdapat usaha Pemerintah untuk merangkumkan semua orang dalam usaha pendigitalan nasional.

"COVID-19 menyampaikan mesej itu dengan lebih jelas, sambil menarik perhatian kepada semua akan nilai dan juga betapa pentingnya huraian digital pada masa di mana kita semua perlu belajar dan bekerja dari rumah dan berinteraksi dan menjalankan urus niaga online," katanya.

Ini adalah peluang untuk memberikan pendigitalan "dorongan yang diperbaharui", katanya sambil menarik perhatian bahawa pendigitalan adalah teras utama dalam kenyataan menteri Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa membentangkan Belanjawan Kecekalan pada Selasa (26 Mei).

Namun, Encik Iswaran menegaskan bahawa tahap kesediaan digital Singapura tidak suram seperti yang digambarkan oleh Cik Ong, sambil menarik perhatian kepada tinjauan IMDA baru-baru ini yang mendapati bahawa secara purata ramai yang mempunyai akses Internet atau komputer peribadi, termasuk dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan kelaurga yang lazimnya mempunyai kanak-kanak yang masih bersekolah.

Berhubung kritikan Cik Ong terhadap program IMDA yang mendakwa bahawa kriteria kelayakan hanya dinaikkan semasa tempoh pemutus jangkitan, misalnya, Encik Iswaran menggesa Dewan supaya "menilainya dari sudut keperluan program-program itu".

"Soalan yang ditanya: Mengapa hanya satu peranti bagi setiap keluarga di bawah program NEU PC Plus? Kita kini membincangkan tentang persekitaran sebelum berlaku penularan COVID-19, dan saya rasa para anggota akan bersetuju bahawa dua bulan sebelum ini sudah merubah dunia.

"Saya rasa kita berhasil mencapai kemajuan, tetapi pada masa yang sama, kita dengan rendah diri harus menerima hakikat bahawa banyak lagi yang boleh kita lakukan," katanya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan