Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pakej kedua mungkin perlu guna jumlah besar rizab S'pura, kata ahli ekonomi

Pakej kedua rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan pada Khamis (26 Mac) bagi membendung kesan wabak COVID-19 dijangka menjangkaui pakej-pakej khas dalam Belanjawan 2020 dan mungkin lebih besar daripada pakej bernilai S$20.5 bilion yang membantu Singapura mengharungi krisis ekonomi global pada 2009.

Anggaran Waktu Membaca:
Pakej kedua mungkin perlu guna jumlah besar rizab S'pura, kata ahli ekonomi

Para ahli ekonomi menganggarkan sebanyak S$14 bilion hingga S$33 bilion mungkin diperuntukkan bagi pakej rangsangan ekonomi yang kedua.

Diterbitkan : 25 Mar 2020 10:52AM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 10:57AM

SINGAPURA: Pakej kedua rangsangan ekonomi yang bakal diumumkan pada Khamis (26 Mac) bagi membendung kesan wabak COVID-19 dijangka menjangkaui pakej-pakej khas dalam Belanjawan 2020 dan mungkin lebih besar daripada pakej bernilai S$20.5 bilion yang membantu Singapura mengharungi krisis ekonomi global pada 2009.

Jika demikian, jumlah seumpama itu mungkin memerlukan rizab lalu Singapura digunakan, menurut ahli ekonomi kepada Mediacorp menjelang penyampaian kenyataan menteri oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berhubung satu belanjawan tambahan.

Jika Presiden meluluskannya, ia akan menjadi kali kedua dalam sejarah Singapura di mana Pemerintah menggunakan rizab negara - kali pertama pada 2009.

Apabila ditanya mengenai ramalan mereka, para ahli ekonomi berkata mereka menganggarkan antara S$14 bilion dengan S$33 bilion mungkin diperuntukkan untuk menampung pakej rangsangan ekonomi yang kedua.

Belanjawan tambahan sebanyak itu akan memerlukan dana yang lebih besar dikeluarkan daripada rizab negara berbanding pada 2009, apabila S$4 bilion dikeluarkan daripada simpanan negara yang lalu. Pemerintah sekarang berjaya menjana lebihan S$7.7 bilion selepas mengambil kira defisit yang dianggarkan S$10.95 bilion daripada keseluruhan perbelanjaan Pemerintah dalam Belanjawan 2020.

Semasa membentangkan Kenyataan Belanjawan bulan lalu, Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan dua pakej khas untuk mengimbangi kesan wabak COVID-19:  Pakej Penstabilan danBantuan bagi pekerja dan perusahaan, dan Pakej Bantuan Keluarga bagi isi rumah, bernilai S$5.6 bilion dolar kesemuanya.

Namun sejak itu, krisis COVID-19 bertambah teruk di merata dunia dan sebilangan industri utama yang bergantung kepada pergerakan bebas manusia - pelancongan, penerbangan dan perniagaan domestik - berisiko mengalami kemelesetan yang gawat.

Awal bulan ini, Encik Heng berkata serupa dengan langkah-langkah dalam Belanjawan 2020, iaitu membantu golongan pekerja terus bekerja dan mengekalkan pekerjaan masing-masing, tetap akan menjadi aspek utama pakej sokongan kedua itu. Encik Heng menambah bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan menggunakan dana daripada rizab negara.

Singapura, serta sebahagian besar dunia dilihat menuju ke arah kemelesetan ekonomi, kata para ahli ekonomi.

"Kesan kejutan pada sistem yang dialami sekarang dengan penutupan sempadan yang tidak diketahui berapa lama akan dikuatkuasakan di merata dunia, jauh menjangkaui apa yang diramalkan dua bulan lalu," kata Encik Christopher Gee, yang menerajui jabatan tadbir urus dan ekonomi di Institut Pengajian Dasar (IPS).

Ahli Ekonomi Kanan DBS Irvin Seah minggu lalu menulis dalam satu nota kajian berhubung pakej rangsangan: "Secara dasarnya, tumpuan sudah beralih dari membendung kesan penularan COVID-19 kepada mengimbangi ekonomi daripada kemelesetan yang jelas akan berlaku."

Singapura mungkin perlu mengetepikan sedikit simpanan tersebut kerana ada kemungkinan akan ada pakej rangsangan ketiga, untuk diusulkan sebagai dana luar jangka jika keadaan semakin bertambah teruk, kata beliau.

Pengarah Eksekutif Kajian Pasaran Baru, Ekonomi dan Dasar JP Morgan, Ong Sin Beng juga berkata pakej-pakej tambahan mungkin diusulkan, sambil menarik perhatian betapa bergantungnya ekonomi Singapura kepada perdagangan dan khidmat berkaitan pelancongan.

"Memandangkan langkah pembendungan sudah diperketatkan secara bertahap-tahap, ia juga menyarankan respons kewangan yang dinamik disesuaikan dengan langkah-langkah untuk terus membendung penularan. Justeru, belanjawan tambahan pada Mac 26 mungkin bukan yang terakhir," kata Encik Ong dalam catatan penyelidikannya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberi amaran bahawa kesan ekonomi akibat COVID-19 mungkin lebih dahsyat daripada krisis kewangan global.


APA YANG MUNGKIN DILIPUTI PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI KEDUA: AHLI EKONOMI


Berdasarkan ciri-ciri Belanjawan 2009 dan 2020, para ahli ekonomi meramalkan Pemerintah mungkin akan mengambil langkah-langkah serupa untuk melindungi dan mewujudkan pekerjaan dengan menyokong perusahaan-perusahaan mengharungi masa sukar, dengan matlamat untuk mengekalkan kadar pengangguran pada paras yang rendah.


LEBIH BANYAK PEKERJAAN, SOKONGAN PENGAMBILAN PEKERJA


Untuk membantu perusahaan-perusahaan mengekalkan tenaga kerja masing-masing, beberapa ahli ekonomi menyarankan pembiayaan kos gaji dengan mempertingkatkan Skim Bantuan Pekerjaan yang diumumkan semasa Belanjawan 2020, yang mengimbangi 8 peratus gaji setiap pekerja tempatan untuk tempoh selama tiga bulan.

Kadar itu boleh dinaikkan kepada 12 peratus - serupa langkah yang diambil bagi Pakej Daya Tahan 2009 - dan dipertingkatkan untuk menampung gaji selama setahun, kata Penasihat Ekonomi UOB Barnabas Gan.

TERUS REKRUT PEKERJA

Ketua Penyelidikan Perbendaharaan dan Strategi Bank OCBC, Selena Ling berkata Pemerintah boleh mewujudkan pekerjaan dengan mengambil lebih ramai pekerja seperti untuk khidmat jagaan kesihatan serta membiayai buat sementara pengambilan graduan yang baru tamat pengajian.

Encik Gan berkata ia serupa dengan Pakej Daya Tahan yang menyasarkan untuk mewujudkan 18,000 pekerjaan tambahan.


SOKONGAN BAGI KELUARGA, PENGANGGUR


Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$1.6 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2020, yang bertujuan membantu rakyat Singapura menampung perbelanjaan keluarga, boleh diperluaskan. Ini akan membantu rakyat Singapura untuk mengharungi krisis itu untuk jangka yang lebih panjang, kata Encik Gee.

Cik Ling daripada OCBC berkata memberikan lebih banyak bantuan tunai, terutamanya kepada keluarga berpendapatan rendah, selain S$100 hingga S$300 yang diagihkan sebelum ini, juga boleh dipertimbangkan.

Beliau menarik perhatian bahawa beberapa pihak berkuasa seperti Hong Kong, Amerika Syarikat dan Jepun sudahpun mempertimbangkan langkah itu dalam usaha menangani "permintaan mengejut" yang ketara ekoran penularan COVID-19.


MEMBINA KEUPAYAAN S'PURA


Pemerintah juga boleh mengambil langkah-langkah untuk menggalak syarikat-syarikat menyusun semula dan melatih para pekerja semasa ekonomi sedang merudum ini untuk bersiap sedia apabila ekonomi bangkit semula, kata para pakar.

Encik Gee berkata: " Ini selaras dengan tematransformasi dan pertumbuhan yang digembar-gemburkan dalam Belanjawan 2020, menawarkan orang ramai dan perusahaan-perusahaan keupayaan untuk meraih manfaat daripada krisis ini untuk menyusun semula dan meningkatkan kemahiran."

Akhir sekali, Cik Ling berkata langkah-langkah baru boleh merangkumi subsidi tambahan bagi latihan pekerja.

Sumber : Today/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan