Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 40,000 pekerjaan diwujudkan sebagai sebahagian pakej latihan, pekerjaan S$2 bilion

Lebih 40,000 pekerjaan akan diwujudkan sebagai sebahagian daripada sebuah pakej bernilai S$2 bilion yang bertujuan membantu pasaran pekerjaan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi disebabkan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 May 2020 08:35PM Dikemas Kini : 28 May 2020 05:19PM

SINGAPURA: Lebih 40,000 pekerjaan akan diwujudkan sebagai sebahagian daripada sebuah pakej bernilai S$2 bilion yang bertujuan membantu pasaran pekerjaan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi disebabkan COVID-19.

Semasa membentangkan Belanjawan keempat di Parlimen hari ini (26 Mei), Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan Pakej Pekerjaan dan Kemahiran
SGUnited yang akan mewujudkan hampir 100,000 peluang baru untuk membantu memenuhi keperluan segera para pekerja serta meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Ia termasuk 25,000 tempat untuk program pelatih dan 30,000 tempat bagi program penempatan latihan.

Bagi 40,000 pekerjaan, sektor awam akan mempercepat jadual pengambilan pekerja untuk memenuhi keperluan jangka panjang dalam bidang-bidang seperti pendidikan awal kanak-kanak, jagaan kesihatan dan jagaan jangka panjang.

Bersama pekerjaan untuk memenuhi keperluan jangka pendek berkaitan operasi memerangi COVID-19, seperti kakitangan yang menjalankan ujian COVID-19, sektor awam akan mewujudkan 15,000 pekerjaan keseluruhannya, kata Encik Heng.

Baki 25,000 pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor perniagaan. Encik Heng berkata agensi-agensi Pemerintah akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat untuk menawarkan pekerjaan menerusi usaha seperti memperluas program-program Suai-Maju.

Bagi memastikan orang ramai mempunyai kemahiran untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan ini pula, Pemerintah akan meningkatkan keupayaan program-program pertukaran kerjaya, seperti program pertukaran Penempatan dan Latihan, serta inisiatif diterajui Penguasa Pembangunan Infokom Media.

LATIHAN & PROGRAM PELATIH

Untuk mendedahkan para individu kepada pengalaman luas dalam industri berkaitan, sekitar 25,000 tempat bagi program pelatih akan disediakan tahun ini, termasuk 4,000 tempat bagi golongan pertengahan kerjaya yang sedang mencari pekerjaan.

"Kami faham ramai bimbang tentang prospek pekerjaan mereka," jelas Encik Heng. "Skim ini khusus untuk memenuhi keperluan individu-individu seperti ini, untuk menimba kemahiran baru dan memulakan kerjaya baru."

Pemerintah juga akan menambah jumlah pelatih daripada 8,000 orang kepada 21,000 orang pada tahun ini, dikhususkan bagi para lulusan universiti yang pertama kali sedang mencari kerja.

Program-program pelatih ini, yang mana elaun latihan dibiayai secara bersama oleh Workforce Singapore selama sehingga 12 bulan, akan merangkumi bidang-bidang berkaitan teknologi yang sedang pesat berkembang atau mempunyai permintaan tinggi, kata Encik Heng.

Lebih seribu syarikat sudah melahirkan minat dalam program tersebut sejauh ini, jelas beliau sambil menambah, sektor awam juga akan menawarkan program pelatih.

Encik Heng selanjutnya berkata orang ramai berpeluang digajikan syarikat yang menganjurkan program pelatih. Jika tidak, sekurang-kurangnya mereka boleh menerapkan kemahiran mereka dalam pekerjaan selanjutnya.

Demi menggalak individu untuk meningkatkan kemahiran mereka, pencari kerja yang menjalani program latihan akan menerima elaun S$1,200 sebulan sepanjang mengikuti program tersebut.

Ini bertujuan untuk membantu mereka menumpukan perhatian kepada usaha mencari kerja dan menimba ilmu baru, kata Encik Heng.

Bermula Julai, program Kemahiran SGUnited akan menawarkan 30,000 tempat latihan bagi individu untuk mengambil kursus sepenuh masa bersubsidi selama enam hingga 12 bulan yang ditawarkan syarikat-syarikat dan pusat-pusat latihan seperti di universiti.

LEBIH BANYAK SUBSIDI GAJI BAGI MAJIKAN

Bagi menggalak majikan terus mengambil pekerja meski ekonomi kelihatan suram, Pemerintah akan meningkatkan jumlah yang diberikan di bawah Pakej Sokongan Pertengahan-Kerjaya SkillsFuture, tambah Encik Heng.

Bagi pekerja berusia 40 tahun dan ke atas yang digajikan menerusi program 'reskilling', ia akan menampung 40 peratus gaji pekerja selama enam bulan, dihadkan kepada S$12,000 keseluruhannya.

Sementara itu, bagi pekerja yang layak dan berusia bawah 40 tahun, Pemerintah akan membiayai secara bersama 20 peratus gaji bulanan pekerja selama enam bulan, dihadkan kepada S$6,000 keseluruhannya.

Dan untuk membantu membentuk landskap pekerjaan, Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, yang juga merupakan menteri penyelaras bagi dasar-dasar sosial, akan mempengerusikan Majlis Pekerjaan Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan pekerjaan dan membina kemahiran lebih mendalam, umum Encik Heng.

Majlis berkenaan akan "disepadukan" dengan kerja-kerja Majlis Ekonomi Masa Depan dalam urusan peningkatan menyeluruh ekonomi kita, tambah Encik Heng.

Lebih banyak butiran lanjut akan diumumkan kelak.

"Dengan cara ini, kita boleh memanfaatkan pengalaman dan kepakaran untuk mengurus perubahan-perubahan besar yang bakal kita tempuhi." 

Sumber : CNA/AQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan