Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan Kesepakatan: S'pura peruntuk lagi S$5.1b; selamatkan pekerjaan, mata pencarian di tengah COVID-19

Lagi S$5.1 bilion diperuntukkan bagi membantu Singapura menangani krisis COVID-19 dalam belanjawan tambahan kedua yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (6 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Apr 2020 07:11PM Dikemas Kini : 06 Apr 2020 09:12PM

SINGAPURA: Lagi S$5.1 bilion diperuntukkan bagi membantu Singapura menangani krisis COVID-19 dalam belanjawan tambahan kedua yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (6 Apr).

Diberi nama Belanjawan Kesepakatan, ia bertujuan menyelamatkan pekerjaan dan melindungi mata pencarian sepanjang tempoh empat minggu apabila sekolah dan perusahaan tidak penting perlu ditutup sebagai sebahagian daripada langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang akan berkuat kuasa mulai Selasa (7 Apr).

"Sokongan tambahan akan diperlukan untuk menyelamatkan pekerjaan, mengekalkan keupayaan serta menyediakan bantuan langsung serta-merta kepada rakyat Singapura untuk membantu mereka mengharungi tempoh luar biasa dan sukar ini," kata Encik Heng semasa berucap di Parlimen.

Ini adalah kali pertama Pemerintah Singapura mengeluarkan tiga Belanjawan dalam masa kurang dari tiga bulan, menyusuli Belanjawan Perpaduan bernilai S$6.4 bilion pada Februari dan Belanjawa Berdaya Tahan memecah rekod bernilai S$48 bilion pada 26 Mac.

Untuk membiayai suntikan bantuan ketiga ini, Pemerintah meminta keizinan daripada Presiden Halimah Yacob untuk menggunakan lagi S$4 bilion daripada rizab lalu, di samping S$17 bilion yang dimanfaatkan bagi Belanjawan Berdaya Tahan.

Secara prinsip, Presiden Halimah sudahpun memberikan sokongannya.

Keseluruhannya, Singapura akan membelanjakan S$59.9 bilion, atau sekitar 12 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), dalam perjuangan menentang pandemik COVID-19.

KES PANDEMIK COVID-19 MELUAP SEJAK BEBERAPA HARI LALU

Semasa membuka ucapannya pada Isnin, Encik Heng berkata pandemik COVID-19 "meluap" dalam masa 11 hari lalu sejak beliau mengumumkan Belanjawan Berdaya Tahan pada 26 Mac.

Singapura sudah menggandakan langkah-langkahnya secara "berperingkat-peringkat" tetapi sedang jumlah jangkitan - terutamanya kes penularan setempat - terus melonjak saban hari, Pemerintah memutuskan untuk melancarkan langkah-langkah luar biasa bagi memutuskan rantaian jangkitan bagi membendung penularan selanjutnya.

"Pemutus rantaian jangkitan penting tetapi kami menyedari ia akan menyakitkan. Ini akan mengganggu perniagaan dan menjejas pekerja dengan teruk," katanya sambil menambah bahawa ini adalah "keputusan sukar" yang perlu dibuat untuk melindungi nyawa rakyat.

Sedang virus korona itu terus merebak di seluruh dunia, keseluruhan GDP Singapura dijangka "terjejas lagi", dengan sekatan-sekatan yang dikenakan oleh rakan-rakan niaga yang berkemungkinan akan terus mengurangkan permintaan bagi eksport.

"Kami juga akan membantu perniagaan memelihara kapasiti dan keupayaan mereka untuk meneruskan semula kegiatan apabila pemutus rantaian jangkitan ditarik balik."

Keluarga juga akan menerima pembayaran wang tunai untuk membantu mereka mengharungi tempoh mencabar ini, kata beliau.

"Kita semua akan terjejas oleh langkah pemutus rantaian jangkitan yang diperlukan ini - ada di antara kita lebih teruk berbanding yang lain. Untuk menjangkaui seberapa banyak yang kami boleh, secepat mungkin, langkah-langkah yang dipertingkatkan dalam Belanjawan Kesepakatan adalah lebih luas."

BANTUAN S$4 BILION BAGI PERNIAGAAN

Sekitar S$4 bilion akan diperuntukkan bagi menyokong perniagaan untuk membantu ia mengekalkan pekerjanya dan kekal berdaya maju.

Pertama, Skim Bantuan Pekerjaan akan terus dipertingkatkan supaya semua syarikat akan mendapat sokongan gaji sebanyak 75 peratus bagi pekerja tempatan pada April, naik daripada 25 peratus yang diumumkan sebelumnya.

Selain itu, pembayaran pertama di bawah skim tersebut akan dipercepatkan kepada April dengan beberapa syarikat akan menerima agihan pertama minggu depan.

Bagi meringankan kos menggajikan pekerja asing, Encik Heng mengumumkan Pemerintah akan mengecualikan levi pekerja asing bulanan pada April.

Ia juga akan menyediakan majikan dengan rebat levi pekerja asing sebanyak S$750 untuk setiap permit kerja atau pemegang pas S, berdasarkan levi sebelumnya yang dibayar pada 2020. Majikan akan menerima rebat itu seawal 21 April.

Berkenaan kos sewa, rang undang-undang akan diperkenalkan pada Selasa untuk membenarkan perniagaan dan inidividu mengelak sesetengah kewajipan kontrak seperti membayar sewa "buat satu tempoh waktu".

Ia juga akan memastikan tuan tanah akan menyalurkan rebat cukai hartanah "sepenuhnya" kepada penyewa, kata Encik Heng.

Pemerintah juga akan terus menerajui usaha itu dengan meningkatkan pengecualian sewa bagi penyewa bangunan perindustrian, pejabat dan pertanian agensi-agensi pemerintah kepada satu bulan, naik daripada pelepasan sewa setengah bulan yang diumumkan semasa Belanjawan Berdaya Tahan.

Encik Heng mengumumkan akan terdapat juga bantuan kewangan tambahan bagi perniagaan.

Pemerintah akan menanggung bahagian lebih besar daripada risiko pinjaman yang dibuat di bawah Program Pinjaman Sementara, Skim Pembiayaan Perusahaan - Pinjaman Modal Kerja SME, dan Skim Pembiayaan Perusahaan - Pinjaman Perdagangan dari 80 peratus hingga 90 peratus untuk pinjaman yang dilakukan dari 8 April hingga 31 Mac.

Pemerintah juga akan meluaskan bantuan bagi golongan individu yang bekerja sendiri.

Ia akan melakukan sedemkian dengan melanjutkan Skim Pelepasan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri (SIRS) untuk secara automatik merangkumi individu bekerja sendiri yang juga meraih pendapatan kecil daripada pekerjaan.

Ia juga akan meningkatkan ambang nilai semasa dari sehingga S$13,000 kepada tidak melebihi S$21,000, untuk merangkumi beberapa individu yang tinggal di kondominium serta hartanah privet lain.

Kriteria lain kekal tidak berubah.

PEMBAYARAN WANG TUNAI S$1.1 BILION UNTUK RAKYAT S'PURA

Bagi keluarga pula, semua rakyat dewasa Singapura yang berusia 21 tahun ke atas akan menerima Bayaran Kesepakatan sekali saja bernilai S$600 dalam bentuk wang tunai - dibentuk daripada S$300 yang pertama kali diumumkan dalam Pakej Bantuan Keluarga pada Februari dan tambahan lagi S$300.

Secara keseluruhannya, Bayaran Kesepakan akan bernilai sehingga S$1.1 bilion, kata Encik Heng.

Bagi kebanyakan warga Singapura yang sudah menyediakan butiran akaun bank mereka kepada Pemerintah, Bayaran Kesepakatan akan dimasukkan ke dalam akaun bank mereka pada 14 April ini.

Bakinya akan menerima pembayaran menerusi cek, yang akan diagihkan secara bertahap-tahap mulai 30 April.

Agihan tunai lain di bawah Pakej Bantuan Keluarga, yang diumumkan sebelum ini, akan dibahagikan lebih awal mulai Jun tahun ini dan bukan Ogos.

“KRISIS GENERASI TANPA DULUAN”

Pengeluaran tambahan S$4 bilion daripada rizab lalu akan digunakan untuk membiayai Skim Bantuan Pekerjaan, Program Pinjaman Sementara yang dipertingkat, Skim Kewangan Perusahaan dan Bayaran Kesepakatan kepada warga Singapura.

Baki S$1.1 bilion akan dibiayai daripada ruang fiskal bagi tempoh Pemerintah ini, kata Encik Heng.

Dengan bahagian ketiga langkah-langkah sokongan itu, jumlah keseluruhan defisit belanjawan bagi tahun kewangan 2020 akan naik kepada S$44.3 bilion atau 8.9 peratus daripada GDP.

Encik Heng menekankan dengan keadaan terus berubah-ubah, Pemerintah bersedia untuk menghulurkan lagi sokongan sekiranya ia diperlukan.

"Ini adalah krisis generasi yang tiada duluannya," kata beliau.

Beliau menambah: "Kita ada rancangan dengan sumber kewangan untuk melaksanakan rancangan itu tanpa membebankan generasi akan datang dengan bayarannya.

"Keutamaannya sekarang adalah bagaimana kita menempuhinya, dalam kesepakatan sebagai sebuah negara untuk melaksanakan rancangan-rancangan ini dan membuat penyesuaian sedang keadaan terus berubah." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan