Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan Kesepakatan bernilai S$5.1 bilion; lagi S$4 bilion diperlukan daripada rizab

Bahagian ketiga langkah-langkah sokongan COVID-19 yang termasuk pembayaran wang tunai dan bantuan tambahan bagi pekerjaan akan menelan belanja S$5.1 bilion, dengan S$4 bilion diambil daripada rizab Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan Kesepakatan bernilai S$5.1 bilion; lagi S$4 bilion diperlukan daripada rizab

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berucap di Parlimen semasa Belanjawan Kesepakatan pada 6 Apr 2020.

Diterbitkan : 06 Apr 2020 04:08PM Dikemas Kini : 06 Apr 2020 04:10PM

SINGAPURA: Bahagian ketiga langkah-langkah sokongan COVID-19 yang termasuk pembayaran wang tunai dan bantuan tambahan bagi pekerjaan akan menelan belanja S$5.1 bilion, dengan S$4 bilion diambil daripada rizab Singapura.

Langkah-langkah tambahan - termasuk subsidi gaji bagi setiap pekerja tempatan, pembayaran wang tunai untuk semua rakyat dewasa dan lebih banyak bantuan buat mereka yang bekerja sendiri - akan menjadikan nilai gabungan pakej sokongan COVID-19 yang disediakan Pemerintah kepada S$59.9 bilion. Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Isnin (6 Apr) ketika beliau mengumumkan Belanjawan Kesepakatan. Jumlah tersebut membentuk kira-kira 12 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Singapura.

Sebanyak S$4 bilion daripada pakej baru itu akan diperuntukkan untuk membantu perniagaan dan pekerja manakala S$1.1 bilion kepada Pembayaran Kesepakatan - pembayaran S$600 bagi setiap rakyat dewasa Singapura.

Jumlah itu satu tambahan kepada Belanjawan Berdaya Tahan bernilai S$48.4 yang didedahkan pada 26 Mac serta Belanjawan Perpaduan bernilai S$6.4 bilion yang diumumkan dalam Februari.

Defisit belanjawan bagi Tahun Kewangan 2020 akan meningkat kepada S$44.3 bilion atau 8.9 peratus GDP Singapura, kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Presiden Halimah Yacob sudah memberi sokongan beliau secara prinsip kepada Pemerintah untuk mengeluarkan sehingga S$17 bilion daripada rizab negara bagi membiayai beberapa langkah dalam Belanjawan Berdaya Tahan.

"Dengan langkah-langkah lebih ketat yang tidak pernah dilakukan sebelum ini untuk melindungi warga Singapura dan keluarga kita, kini perlu bagi kita mengusulkan penggunaan lebih banyak rizab masa lalu," kata Encik Heng.

Beliau berkata Presiden sudahpun memberikan sokongan secara prinsip untuk mengeluarkan tambahan lagi S$4 bilion daripada rizab negara.

"Khususnya, jumlah ini akan digunakan untuk membiayai Skim Bantuan Pekerjaan, Program Pinjaman Sementara yang dipertingkat, Skim Kewangan Perusahaan dan Pembayaran Kesepakatan kepada warga Singapura," kata beliau.

"Ini adalah belanjawan yang belum pernah dilakukan bagi masa-masa luar biasa. Keadaan terus berubah-ubah dan tidak menentu. Pemerintah bersedia untuk menghulurkan lagi sokongan tambahan sekiranya ia diperlukan," tambah Encik Heng.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan