Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan Kecekalan: Pemerintah tangguh kenaikan kadar sumbangan CPF bagi pekerja warga emas

Pemerintah akan menangguh rancangan untuk menaikkan kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja warga emas selama setahun, kata Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat di Parlimen pada petang Selasa (26 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan Kecekalan: Pemerintah tangguh kenaikan kadar sumbangan CPF bagi pekerja warga emas

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 26 May 2020 09:35PM Dikemas Kini : 26 May 2020 10:00PM

SINGAPURA: Pemerintah akan menangguh rancangan untuk menaikkan kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja warga emas selama setahun, kata Timbalan Perdana Menteri Encik Heng Swee Keat di Parlimen pada petang Selasa (26 Mei).

Semasa membentangkan belanjawan keempat tahun ini yang dipanggil Belanjawan Kecekalan, Encik Heng berkata langkah itu yang bermula dari 1 Jan tahun depan hingga 1 Jan 2022, akan "membantu perniagaan menguruskan kos dalam masa-masa mencabar sekarang".

Beliau menambah skim Peralihan Ofset CPF juga akan ditangguhkan sehingga selepas kadar sumbangan yang lebih tinggi berkuatkuasa.

Ia antara langkah-langkah yang diumumkan Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan sebagai sebahagian daripada belanjawan tambahan bernilai S$33 bilion bagi Singapura menangani COVID-19.

Encik Heng juga berkata pengecualian dan rebat Levi Pekerja Asing akan dilanjutkan sehingga dua bulan untuk perniagaan yang tidak dibenar beroperasi semula sebaik sahaja tamat tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 1 Jun.

"Ini termasuk semua perniagaan dalam sektor binaan, marin dan lepas pantai, serta sektor memprosesan,"katanya.

Syarikat-syarikat ini akan menerima pengecualian penuh pada bulan Jun dan 50 peratus pada bulan Julai.

Sementara itu mereka akan mendapat rebat sebanyak S$750 pada bulan Jun dan S$375 pada bulan Julai.

BANTUAN SEWA

Encik Heng berkata meskipun perniagaan memberikan maklum balas bahawa Skim Bantuan Pekerjaan Pemerintah telah membantu menampung kos gaji pekerja, mereka masih menghadapi kesulitan dari segi kos sewa, kata Encik Heng.

Bagi mengatasi hal ini, beliau berkata Pemerintah akan "secara signifikan menambah" sokongan bagi kos sewa yang diberikan melalui rebat cukai hartanah tahun ini dalam Belanjawan Perpaduan dan Belanjawan Berdaya Tahan sebelumnya, yang masing-masing diumumkan pada bulan Februari dan Mac.

Rebat cukai hartanah berkenaan memberikan rebat hingga 100 peratus bagi hartanah bukan kediaman berjumlah lebih dari satu bulan sewa. Ia diberikan kepada pemilik hartanah berkenaan.

Pertama, Pemerintah akan memberikan geran tunai, berjumlah S$2 bilion, untuk mengimbangi kos sewa SME, yang akan dibahagikan melalui pemilik hartanah. Ia akan dikeluarkan secara automatik kepada pemilik hartanah mulai akhir bulan Julai.

"Bersama dengan Rebat Cukai Harta, Pemerintah, pada hakikatnya, memberi sekitar dua bulan rebat sewa kepada penyewa SME yang layak bagi hartanah komersil, dan sekitar satu bulan untuk penyewa SME yang layak di hartanah perusahaan dan pejabat," kata Encik Heng.

Satu Rang undang-undang baru akan dibentangkan di Parlimen minggu depan untuk memberi mandat bahawa pemilik hartanah memberikan pengecualian sewa kepada penyewa SME yang pendapatannya terjejas teruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Rang itu juga mengandungi peruntukan mengenai pelepasan sementara dari syarat kontrak seperti faedah bayaran lewat berlebihan dan membolehkan penyewa membayar tunggakan secara ansuran, kata Encik Heng.

Jika diluluskan, Encik Heng berkata bahawa SME di hartanah komersil tersebut akan mendapat pelepasan sewa selama empat bulan, yang dikongsi sama antara Pemerintah dan pemilik hartanah.

BANTUAN SEWA BAGI PENYEWA PEMERINTAH

Encik Heng juga mengumumkan bahawa Pemerintah akan memberi dua bulan lagi pengecualian sewa untuk penyewa komersil dan penjaja.

Ini bermakna penyewa komersil akan menikmati empat bulan pengecualian sewa, kata Encik Heng, sementara pegerai di pusat penjaja dan pasar yang diuruskan oleh agensi Pemerintah tidak perlu membayar sewa selama lima bulan.

Penyewa kawasan perusahaan, pejabat, dan pertanian agensi Pemerintah, pula tidak perlu membayar sewa selama dua bulan, satu tambahan sebulan lagi.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan