Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BELANJAWAN KECEKALAN: Lebih S$500 juta diperuntukkan bagi sokong peralihan perniagaan kepada digital

Lebih S$500 juta daripada Belanjawan Kecekalan akan diperuntukkan bagi menyokong peralihan  perniagaan kepada digital, termasuk sokongan bagi e-bayaran, mendakap huraian digital dan mendalami keupayaan digital, umum Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (26 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
BELANJAWAN KECEKALAN: Lebih S$500 juta diperuntukkan bagi sokong peralihan perniagaan kepada digital

Penggunaan khidmat PayNow. (Gambar" CNA/ Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 26 May 2020 07:32PM Dikemas Kini : 26 May 2020 07:34PM

SINGAPURA: Lebih S$500 juta daripada Belanjawan Kecekalan akan diperuntukkan bagi menyokong peralihan perniagaan kepada digital, termasuk sokongan bagi e-bayaran, mendakap huraian digital dan mendalami keupayaan digital, umum Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (26 Mei).

"Mereka yang mahu membuat peralihan tidak akan ketinggalan," kata Encik Heng semasa berucap di Parlimen pada Selasa.

Sambil menarik perhatian bahawa kadar penggunaan e-bayaran dalam kalangan perniagaan yang "meningkat dengan ketara", dengan lagi 50,000 perniagaan memanfaatkan PayNow Korporat sejak April, Encik Heng berkata Belanjawan kali ini akan menyokong mereka yang belum mula menggunakan peralatan digital.

"Kami akan membantu mereka memulakan peralihan digital," kata beliau.

Para pegerai di pusat penjaja makanan, pasar basah, kedai kopi dan kantin di kawasan perindustrian akan menerima bonus S$300 sebulan selama lima bulan bagi menggalak mereka menggunakan e-bayaran dan elak mengendalikan wang tunai, kata beliau.

"Mereka tidak harus ketinggalan sedang seluruh ekonomi berubah," tambah Encik Heng.

Bonus berkenaan akan diagihkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Perbadanan JTC, Lembaga Perumahan dan Pembangunan(HDB) serta Enterprise Singapore, jelas beliau.

BANTU PERNIAGAAN ALIH KEPADA DIGITAL

Perniagaan yang "bersedia beralih kepada digital bagi bayaran asas mereka dan sistem invois" juga akan menerima sokongan Belanjawan Kecekalan.

"Ini akan dibantu dengan sokongan bagi memastikan perniagaan terus beroperasi dan juga mendapatkan laluan hasil yang baru. Kami akan membantu perniagaan melaksanakan langkah-langkah pengurusan selamat dan strategi-strategi kesinambungan perniagaan bagi mendakap norma-norma baru selepas COVID-19," kata Encik Heng.

Sambil menarik perhatian lebih 10,000 khidmat makanan dan kedai runcit meraih manfaat daripada Pakej Penghantaran Makanan dan Pakej rangsangan e-niaga yang diumumkan awal tahun ini, Encik Heng mengumumkan Bonus Daya Tahan Digital akan diperkenalkan bagi "membantu membawa perniagaan ke arah pendigitalan selanjutnya, ".

Perniagaan yang layak akan menerima bayaran sehingga S$5,000 jika mereka mendakapi PayNow Korporat dan e-invois, serta huraian proses perniagaan atau e-niaga, tambah beliau.

"Kami akan memulakan dengan sektor F&B dan runcit, yang paling terjejas oleh peraturan jarak selamat sedang kita membuka semula ekonomi."

Perniagaan yang sudahpun mempunyai keupayaan digital asas "harus mendalami peralihan digital mereka", kata Encik Heng.

"Kami akan membantu mereka memanfaatkan peralatan digital lanjut dengan cara yang bersepadu," kata beliau.

Bonus Daya Tahan Digital mempunyai peringkat tambahan sebanyak S$5,000 bagi perniagaan F&B dan runcit yang juga menggunakan huraian lanjut, umum Encik Heng.

Lagi S$250 juta diperuntukkan bagi membantu perniagaan bergerak ke arah pendigitalan dengan kerjasama penyedia huraian platform digital dan penyokong industri, kata Encik Heng.

Ini termasuk membangunkan model perniagaan online bagi mendapat akses kepada pasaran domestik dan permintaan antarabangsa, sambil mengurangkan kesan COVID-19 terhadap pendapatan, tambahnya.

SEKOLAH HARUS MANFAATKAN SEPENUHNYA TEKNOLOGI DIGITAL

Selain perniagaan, sekolah dan Institut-Institut Pengajian Tinggi harus "memanfaatkan sepenuhnya" teknologi digital bagi pembelajaran, kata Encik Heng.

Ruang Pembelajaran Pelajar, iaitu platform bagi pembelajaran sendiri, setakat ini amat penting dalam menyokong para guru bagi pembelajaran di rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan ini, kata beliau.

"Pemerintah akan memanfaatkan bakat jurutera sofwe terbaik kami, pakar AI, saintis pembelajaran dan tenaga pendidik bagi membangunkan pedagogi relevan dan menyediakan platform-platform digital baru bagi pengajaran dan pembelajaran online, dan menyepadukan kemajuan terbaru dalam AI dan sains pembelajaran," kata Encik Heng.

Tambahnya, Yayasan Kajian Kebangsaan dan Kementerian Pendidikan akan menyediakan lebih banyak maklumat mengenainya pada satu tarikh kelak.

HURAIAN DIGITAL NORMA BARU

Sambil menarik perhatian bahawa huraian digital akan "berakar lebih mendalam lagi dalam kehidupan kita", Encik Heng menarik perhatian peraturan bekerja dari rumah, permintaan khidmat dan makanan online dan acara maya menjadi norma sekarang.

"COVID-19 telah melakukan apa yang ramai CEO dan CTO dapati sukar untuk dilakukan. Mmempercepatkan pendigitalan," tambahnya.

"Ia adalah perkara yang baik. Tetapi saya tahu banyak perniagaan bimbang akan ketinggalan di tengah-tengah arus pembaharuan pada masa depan. Perniagaan yang tidak terhubung secara digital teruk terjejas semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan."

Sambil menambah bahawa COVID-19 mengganggu rantaian bekalan, Encik Heng menekankan akan ada "ganjaran" kepada sikap daya tahan itu.

"Dalam dunia baru ini, kita harus terus membina reputasi kita sebagai pusat Global-Asia yang boleh dipercayai dan tidak berpihak kepada sesiapa."

Singapura, bersama 10 negara lain, menegaskan komitmennya untuk berpegang kepada ketersambungan rantaian bekalan dan daya ketahanan di tengah-tengah pandemik COVID-19, katanya.

"Hubungan ini akan menyokong perniagaan kita ke arah digital dan global. Dengan terus kekal berjaya, mereka akan mewujudkan pekerjaan baru bagi rakyat kita." 

Sumber : CNA/IM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan