Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020: Pemerintah umum pakej sokongan $4 bilion; bagi sektor terjejas langsung COVID-19

Singapura akan membelanjakan S$4 bilion disediakan bagi membantu syarikat-syarikat dan para pekerja mengharungi keadaan-keadaan yang tidak menentu dalam jangka masa terdekat di tengah-tengah kelembapan ekonomi yang diburukkan lagi oleh penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2020 04:27PM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 09:55PM

SINGAPURA: Singapura akan membelanjakan S$4 bilion disediakan bagi membantu syarikat-syarikat dan para pekerja mengharungi keadaan-keadaan yang tidak menentu dalam jangka masa terdekat di tengah-tengah kelembapan ekonomi yang diburukkan lagi oleh penularan COVID-19, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa membentangkan Belanjawan hari ini (18 Feb).

Pakej Penstabilan dan Bantuan yang bernilai S$4 bilion akan bantu para pekerja dapat terus bekerja dan membantu syarikat-syarikyat menangani masalah aliran tunai.

Sektor-sektor yang paling teruk terjejas oleh penularan COVID-19 seperti pelancongan, penerbangan, jualan runcit dan perkhidmatan makanan juga akan mendapat sokongan tambahan.

BANTU PARA PEKERJA DAPAT TERUS BEKERJA

Mempertimbangkan keprihatinan terhadap pekerjaan di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu, Encik Heng mengatakan Pemerintah ingin bantu para pekerja dapat terus bekerja dan akan melakukan demikian dengan membantu menampung kos gaji syarikat-syarikat menerusi dua cara.

Pertama ialah menerusi Skim Bantuan Pekerjaan bernilai S$1.3 bilion. Tujuannya adalah untuk bantu syarikat-syarikat mengekalkan para pekerja tempatan - iaitu lebih daripada 1.9 juta rakyat Singapura dan Penduduk Tetap semasa tempoh yang tidak menentu sekarang.

Para majikan akan menerima geran tunai 8 peratus gaji bagi setiap pekerja tempatan yang bekerja sehingga had bulanan S$3,600 selama tiga bulan.

Kedua, Skim Kredit Gaji akan dipertingkatkan bagi menyokong kenaikan gaji bagi para pekerja rakyat tempatan.

Had gaji bulanan akan dinaikkan daripada S$4,000 kepada S$5,000 bagi syarat kelayakan kenaikan gaji yang diberikan pada tahun lalu dan tahun ini.

Pemerintah akan juga membiayai bersama lebih banyak kenaikan gaji.

Langkah itu melibatkan belanja S$1.1 bilion dan memberi faedah kepada lebih 700,000 pekerja rakyat tempatan yang digajikan 70,000 syarikat.

BANTUAN ALIRAN TUNAI SYARIKAT-SYARIKAT

Selain itu, ada sokongan merangkumi pelbagai sektor ekonomi bagi membantu aliran tunai syarikat-syarikat.

Salah satunya, semua firma yang membayar cukai akan mendapat Rebat Cukai Pendapatan Korporat bagi tahun 2020 pada kadar 25 peratus cukai yang dibayar, sehingga mencapai jumlah S$15,000 bagi setiap firma.

Langkah itu yang akan memanfaatkan semua firma yang membayar cukai, akan melibatkan belanja Pemerintah sebanyak kira-kira S$400 juta.

Bagi membantu syarikat-syarikat mendapat modal kerja dengan lebih mudah, Pinjaman Modal Kerja di bawah Skim Pembiayaan Perusahaan akan dipertingkatkan selama setahun.

Jumlah pinjaman maksimumnya digandakan.

Pemerintah juga akan menaikkan perkongsian risiko kepada 80 peratus bagi menggalakkan institusi-institusi kewangan memberi pinjaman itu.

Para penyewa hartanah-hartanah pemerintah seperti Perbadananan Pembangunan Sentosa, Lembaga Pelancongan Singapura dan JTC boleh mendapat bayaran sewa lebih fleksibel.

BANTUAN TAMBAHAN BAGI SEKTOR TERJEJAS SECARA LANGSUNG OLEH COVID-19

Sektor-sektor yang terjejas secara langsung oleh penularan COVID-19 akan mendapat sokongan tambahan.

Lima sektor itu ialah pelancongan, penerbangan, jualan runcit, perkhidmatan makanan dan khidmat pengangkutan langsung dari satu tempat ke satu tempat.

Bagi membantu para majikan lima sektor itu mengekalkan dan melatih para pekerja masing-masing, tempoh pembiayaan bagi program-program penempatan semula akan digandakan kepada enam bulan.

"Bersama-sama dengan Skim Sokongan Pekerjaan, kami akan menyokong para majikan dalam sektor-sektor ini untuk melatih semula dan melatih lebih 330,000 pekerja tempatan.

"Para pekerja itu boleh menggunakan sepenuhnya masa lengang sekarang bagi menjalani latihan dan meningkatkan kemahiran sebagai persiapan apabila keadaan pulih semula," kata Encik Heng.

Bagi sektor pelancongan, rebat cukai hartanah sebanyak 30 peratus bagi tahun ini akan diberikan bagi komponen bilik penginapan dan dewan acara, hotel-hotel dan apartmen yang lengkap denagn perkhidmatan serta tempat-tempat tertentu Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) seperti Pusat Pameran dan Konvensyen Suntec Singapore, Singapore Expo dan Pusat Pameran Changi.

Rebat 15 peratus pula akan diberikan bagi terminal-terminal kapal pesiaran antarabangsa serta feri serantau.

Resort Bersepadu pula akan diberikan rebat sebanyak 10 peratus.

Selain itu, firma-firma dalam sektor pelancongan boleh menjangkakan Program Pinjaman Penghubung Sementara selama setahun.

Di bawah program itu, firma-firma yang layak boleh mendapatkan pinjaman maksimum sebanyak S$1 juta dengan kadar faedah tidak melebihi 5 peratus.

Pemerintah akan menanggung risiko pinjaman itu sebanyak 80 peratus.

Bagi sektor penerbangan, Pemerintah akan memberikan rebat cukai hartanah 15 peratus bagi Lapangan Terbang Changi, di samping pelbagai langkah-langkah termasuk rebat bagi bayaran-bayaran pesawat mendarat, bantuan bagi ejen-ejen pengendalian di darat dan rebat sewa bagi ejen-ejen kargo dan kedai-kedai di Lapangan Terbang Changi.

BANTUAN BAGI FIRMA SEKTOR MAKANAN DAN RUNCIT

Bagi menyokong firma-firma dalam sektor perkhidmatan makanan dan perniagaan runcit, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memberikan pengecualian sewa untuk satu bulan kepada pemilik gerai di pusat-pusat penjaja dan pasar kendalian NEA.

Sebahagian hartanah komersil juga akan mendapat rebat cukai hartanah 15 peratus dan Pemerintah menggesa para pemilik hartanah-hartanah tersebut supaya memanfaat rebat itu dengan menurunkan kadar sewa masing-masing.

Akhirnya, bagi sektor pengangkutan, pemerintah sudah pun mengumumkan Pakej Bantuan bagi Penyedia bagi Khidmat Teksi dan Kereta Sewa Privet pada minggu lalu.

Pemerintah akan menyumbang S$45 juta kepada pakej itu, dengan bakinya disediakan oleh syarikat pengendali teksi dan kereta sewa. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan