Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020: Pastikan S'pura terus kekal 'luar biasa' di tengah-tengah COVID-19 dan kemelesetan ekonomi

Dunia kini menyaksikan peralihan struktur yang lebih meluas, ditambah pula dengan keprihatinan jangka pendek berhubung ketidakpastian ekonomi dan penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2020: Pastikan S'pura terus kekal 'luar biasa' di tengah-tengah COVID-19 dan kemelesetan ekonomi

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 18 Feb 2020 11:01PM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 11:08PM

SINGAPURA: Dunia kini menyaksikan peralihan struktur yang lebih meluas, ditambah pula dengan keprihatinan jangka pendek berhubung ketidakpastian ekonomi dan penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ketika membentangkan Belanjawan 2020 hari ini (18 Feb).

"Kesemua negara, kecil atau besar, akan melakar strategi dan menggerakkan penduduk mereka untuk mengharungi perubahan dan pergolakan sedemikian," kata Encik Heng.

Dengan latar belakang sedemikian, Encik Heng mendedahkan Belanjawan S$83.6 bilion dalam ucapannya yang paling panjang sebagai Menteri Kewangan, yang mengandungi sebuah pelan empat bahagian yang menurutnya, akan mengorak langkah yang mantap untuk Singapura mara sebagai sebuah negara yang bersatu di tengah-tengah situasi yang serba tidak menentu.

Perbelanjaan yang besar itu, iaitu kenaikan 7 peratus berbanding S$78.2 bilion bagi tahun kewangan (FY) 2019, dibentangkan sedang Singapura berdepan dengan penularan COVID-19 dan cabaran global jangka panjang seperti sokongan yang berkurangan terhadap globalisasi, penduduk yang semakin menua dan ekonomi yang semakin melemah. Ini merupakan peningkatan tertinggi dari tahun ke tahun sejak FY 2015.

Ekonomi Singapura berkembang pada rentak yang sederhana sebanyak 0.7 peratus pada 2019, pertumbuhan paling perlahan sejak krisis kewangan global pada 2008. Pemerintah juga menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2020 kepada -0.5 peratus hingga 1.5 peratus.

Namun, Encik Heng berkata Singapura boleh mengatasi cabaran sedemikian dengan berdiri teguh dan "bersatu padu".

Menurutnya, Pemerintah akan mengembangkan ekonomi dan melakukan transformasi terhadap perusahaan, menjaga rakyat Singapura di setiap peringkat usia, membangunkan Singapura yang mampan dan bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk membina negara dan kediaman milik kita bersama.

Sorotan utama Belanjawan tahun ini termasuk memperuntukkan S$800 juta bagi kementerian-kementerian menangani wabak COVID-19, satu pakej bernilai S$4 bilion untuk membantu para pekerja dan syarikat-syarikat mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam jangka pendek dan menangguhkan kenaikan cukai GST hingga selepas 2021.

Apabila GST akhirnya dinaikkan antara 2022 dengan 2025, Encik Heng mengatakan Pemerintah akan menyediakan Pakej Jaminan GST bagi mengurangkan kesan kenaikannya terhadap rakyat Singapura.

MEMERANGI WABAK COVID-19

Meskipun begitu, Encik Heng berkata keprihatinan utama adalah untuk melindungi keluarga-keluarga dan mengekang penularan virus tersebut.

Sebahagian besar daripada S$800 juta itu akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan (MOH), di samping "sumber yang besar" yang diperuntukkan setiap tahun kepada kesihatan awam.

Menjangkaui keprihatinan kesihatan, Encik Heng akur bahawa rakyat Singapura mempunyai kebimbangan yang munasabah berhubung kesannya terhadap perniagaan dan pekerjaan.

BANTUAN UNTUK SYARIKAT

Bagi membantu para pekerja supaya dapat terus bekerja, Pemerintah akan membiayai kos gaji mereka dengan menampung 8 peratus gaji bagi setiap pekerja tempatan yang bekerja sehingga had bulanan S$3,600 selama tiga bulan.

CABARAN GLOBAL

Encik Heng kemudian beralih kepada cabaran global termasuk sokongan yang berkurangan terhadap globalisasi, peralihan pada kuasa ekonomi global terhadap Asia, kemajuan teknologi yang pantas serta risiko pencabangan teknologi dan peralihan ke masyarakat yang semakin menua.

Encik Heng memberi amaran akan sentimen yang meningkat berhubung kegagalan globalisasi dan sistem berbilang pihak, yang menyebabkan dasar perlindungan dan semangat nasionalisme terus meningkat.

Pemerintah juga menghadapi kesukaran mengekalkan perbelanjaan jaringan keselamatan sosial dan program kebajikan, kata Encik Heng, sambil menarik perhatian ia berlaku semasa pertumbuhan ekonomi global semakin lemah.

Pergeseran dalam hubungan antara Amerika Syarikat dengan China merupakan punca utama berlaku tekanan dan ketidakpastian, katanya, sehingga menjejas pertumbuhan global.

Menurut Encik Heng, Belanjawan Singapura tahun ini adalah "rancangan kewangan strategik" untuk Singapura menangani cabaran itu dan merebut peluang baru.

MEMAJUKAN EKONOMI

Bahagian pertama pelan itu adalah memajukan ekonomi Singapura menerusi transformasi dan pertumbuhan.

Pemerintah akan memperuntukkan S$8.3 bilion sepanjang tiga tahun mendatang bagi membolehkan kerjasama yang lebih kukuh, mempertingkat keupayaan syarikat-syarikat dan memajukan rakyat.

Selain itu, Encik Heng mengatakan Pemerintah akan memperkenalkan program baru Pendedahan Kepada Asia untuk menyokong lawatan belia tempatan ke bandar-bandar di Asia Tenggara, China atau India dalam usaha memperkukuh keupayaan silang budaya.

Bagi mereka yang bekerja, Pemerintah akan melaburkan dalam Tahap SkillsFuture yang seterusnya.

Ini termasuk tokokan S$500 bagi Kredit SkillsFuture untuk setiap rakyat Singapura yang berusia 25 tahun ke atas.

MENGAMBIL BERAT DAN MEMBANTU RAKYAT SINGAPURA

Bahagian kedua pelan itu pula melibatkan bantuan bagi rakyat Singapura di setiap peringkat kehidupan mereka.

Ini termasuk meningkatkan jumlah dermasiswa tahunan bagi para pelajar prauniversiti daripada keluarga berpendapatan rendah dari S$900 kepada S$1,000.

Selain itu, Pemerintah juga akan menyediakan Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$1.6 bilion bagi membantu keluarga mengharungi "tempoh tidak menentu ini".

Bagi membolehkan rakyat Singapura mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan, Encik Heng berkata Pemerintah akan menaikkan Jumlah Asas Persaraan (BRS) sebanyak tiga peratus setiap tahun bagi dua kohort yang akan datang.

Ini memastikan bayaran cukup untuk menampung perbelanjaan asas persaraan.

BINA S'PURA YANG MAMPAN

Bahagian ketiga rancangan itu adalah untuk mengekalkan kejayaan Singapura bagi generasi-generasi akan datang, terutama sekali dalam menangani isu perubahan iklim.

Menurut Encik Heng, Pemerintah tahun ini akan mengemas kini komitmen terhadap Perjanjian Paris dan bergerak selangkah terhadap mencapai visi masa depan yang mampan dan rendah karbon.

Untuk mencapai visi itu, Pemerintah akan memperkenalkan Insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik, di mana mereka yang membeli teksi dan kereta elektrik sepenuhnya akan menerima rebat sehingga 45 peratus bagi Yuran Pendaftaran Tambahan (ARF).

Bagi usaha jangka masa panjang untuk menangani perubahan iklim, sebuah dana baru yang dinamakan 'Dana Perlindungan Kawasan Pantai dan Banjir' akan ditubuhkan.

Dana itu mendapat suntikan awal S$5 bilion bagi melindungi Singapura daripada paras air laut yang meningkat.

Sedang persekitaran meliputi sebahagian besar daripada kemampanan Singapura, Encik Heng berkata negara ini tidak boleh memandang remeh isu kedamaian dan kemantapan.

Menurutnya, Pemerintah akan memperuntukkan $1 bilion untuk membina keupayaan keselamatan data dan siber bagi melindungi data peribadi rakyat dan sistem infrastruktur maklumat sulit S'pura.

BEKERJASAMA DENGAN RAKYAT S'PURA

Bahagian keempat dan terakhir rancangan itu adalah bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk membina masa depan negara, khususnya menerusi Dana Singapura Kita (OSF) yang menyediakan dana bagi inisiatif akar umbi dalam sektor masyarakat.

SINGAPURA YANG "LUAR BIASA'

Mengakhiri ucapannya, Encik Heng berkata beliau yakin bahawa "secara bersama, kita boleh memastikan Singapura terus kekal luar biasa".

"Sebagai satu Singapura, kita akan memajukan ekonomi kita dan merubah perusahaan-perusahaan kita untuk mewujudkan peluang-peluang bagi rakyat Singapura," ujar beliau.

"Negara kita telah membangunkan modal - kewangan, tenaga kerja dan sosial - untuk maju dan berjaya sejauh ini. Semangat Singapura kuat dan kukuh. Secara bersama, kita akan maju sebagai Satu Singapura." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan