Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020: Makanan percuma bagi keluarga memerlukan, lebih bantuan diusulkan untuk golongan susah

Pemerintah akan menyediakan makanan dan minuman percuma untuk keluarga-keluarga yang memerlukan di kawasan-kawasan kejiranan sebagai sebahagian daripada inisiatif seluruh negara, kata Datuk Bandar CDC Barat Daya Low Yen Ling di Parlimen pada Khamis (27 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2020: Makanan percuma bagi keluarga memerlukan, lebih bantuan diusulkan untuk golongan susah

(Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 28 Feb 2020 09:14AM Dikemas Kini : 28 Feb 2020 09:21AM

SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan makanan dan minuman percuma untuk keluarga-keluarga yang memerlukan di kawasan-kawasan kejiranan sebagai sebahagian daripada inisiatif seluruh negara, kata Datuk Bandar CDC Barat Daya Low Yen Ling di Parlimen pada Khamis (27 Feb).

"Majlis-Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) telah bekerjasama untuk melancarkan inisiatif seluruh negara ini untuk menyediakan makanan di kawasan-kawasan kejiranan bagi keluarga-keluarga yang memerlukan," katanya dalam ucapan semasa membahaskan Belanjawan.

"Skim makanan dan minuman percuma ini boleh didapatkan di kedai kopi, pusat makanan dan kedai-kedai kejiranan yang mengambil bahagian. Butirannya sedang diperkemaskan dan akan dimaklumkan pada satu tarikh yang ditetapkan kelak. "

Inisiatif itu menyusuli pengumuman Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa membentangkan Belanjawan Negara pada 18 Feb yang mendedahkan bahawa CDC akan mendapat suntikan dana bernilai S$20 juta untuk melakukan lebih lagi bagi membantu masyarakat.

Suntikan dana itu adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$1.6 bilion untuk membantu rakyat Singapura menampung perbelanjaan keluarga di tengah-tengah kelembapan ekonomi dan penularan COVID-19.

Inisiatif baru itu akan melengkapi pakej tersebut dan merangsang perniagaan di kawasan-kawasan kejiranan yang dilanda kelembapan ekonomi, kata Cik Low, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Tenaga Manusia.

Cik Low menjangkakan inisiatif itu akan memanfaatkan sekitar 100,000 keluarga yang memerlukan dan setiap CDC akan mentadbir skim tersebut dengan sewajarnya bagi memenuhi keperluan penduduk.

LEBIH BANYAK BANTUAN UNTUK KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH

Cik Low berkata demikian selepas beberapa Anggota Parlimen (AP) menekankan betapa pentingnya untuk membantu masyarakat yang lemah.

Sebagai contoh, Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Lim Sun Sun menceritakan pengalaman bagaimana anak-anak daripada keluarga susah yang menerima beg habuan makanan bulanan mencatat gred yang lebih baik selepas ibu bapa menggunakan wang baki untuk pengangkutan ke sekolah.

Bagaimanapun selain langkah-langkah kewangan seperti GST dan baucar barangan dapur, Profesor Lim menggesa bimbingan yang lebih sistematik untuk kanak-kanak kurang bernasib baik supaya mereka dapat diberi perangsang oleh mereka yang berjaya mengatasi keadaan yang serupa.

"Oleh itu, kami perlu melabur secara strategik dalam lebih banyak program selepas sekolah, di mana pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dihulurkan sokongan akademik khas dan bimbingan kerjaya untuk merapatkan jurang ini," katanya.

Menyentuh tentang ketidaksamarataan, NMP Walter Theseira berkata, penularan COVID-19 berkemungkinan akan menjejas mata pencarian mereka yang selama ini sudah hidup "dalam keadaan kewangan yang tidak menentu".

Satu huraiannya menurut Prof Madya Theseira adalah lebih menghormati dan memberi gaji lebih baik kepada pekerja bergaji rendah.

SOKONGAN KEPADA GOLONGAN BERKEPERLUAN KHAS

Sementara itu, AP lain berkata lebih banyak juga boleh dilakukan untuk mereka yang mempunyai keperluan khas.

Ini walaupun skim Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya, juga diumumkan semasa Belanjawan, menawarkan bantuan gaji untuk firma-firma yang menggajikan pekerja kurang upaya.

Encik Heng berkata bahawa Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya akan menggantikan Kredit Pekerjaan Khas dan Kredit Pekerjaan Khas Tambahan, yang memberikan bantuan gaji kepada majikan yang menggajikan orang kurang upaya dengan gaji kurang S$4,000 sebulan.

AP GRC Ang Mo Kio Darryl David berkata "insentif secara langsung' bagi syarikat-syarikat seperti rebat cukai, boleh "memberi rangsangan kuat" untuk mereka "menawarkan peluang pekerjaan yang adil dan saksama" untuk semua.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan