Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020: GST kekal pada 7% pada 2021; pakej $6 bilion bagi bantu tangani kenaikan

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan kepada 9 peratus tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2020 hari ini (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2020 04:55PM Dikemas Kini : 20 Feb 2020 05:16PM

SINGAPURA: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan kepada 9 peratus tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2020 hari ini (18 Feb).

Ini bermakna cukai GST akan kekal pada 7 peratus tahun depan.

Dalam ucapan Belanjawannya pada 2018, Encik Heng menyatakan GST akan dinaikkan kepada 9 peratus antara 2021 dengan 2025 bagi menampung perbelanjaan pemerintah yang semakin bertambah, terutama dalam jagaan kesihatan.

Keputusan untuk tidak menaikkan cukai GST dibuat setelah semakan dilakukan ke atas pendapatan semasa negara serta ramalan perbelanjaan pemerintah dan prestasi ekonomi Singapura sekarang, jelas Encik Heng.

Encik Heng bagaimanapun menegaskan Pemerintah tidak akan dapat menangguhkan kenaikan GST, buat tempoh yang terbuka.

Malah, beliau mengatakan wabak COVID-19 mengukuhkan lagi peri pentingnya pelaburan berterusan dalam sistem jagaan kesihatan Singapura, termasuk keupayaan menangani penularan tersebut.

Menurut Encik Heng lagi, Pemerintah juga masih memerlukan sumber-sumber pendapatan yang berterusan untuk membiayai keperluan dalam jangka masa pertengahan.

Lantas, kenaikan cukai GST masih perlu dilaksanakan menjelang 2025.

Menurut beliau, Pemerintah akan menilai secara teliti masa yang sesuai bagi kenaikan GST itu.

Namun beliau menerima jaminan, Pemerintah akan memberikan warga Singapura masa yang mencukupi sebelum melaksanakan kenaikan GST iut.

PAKEJ JAMINAN GST

Apabila cukai GST dinaikkan, satu pakej bantuan GST bernilai S$6 bilion akan diperkenalkan bagi mengurangkan kesan kenaikannya, kata Encik Heng.

Ini sama seperti apa yang dilakukan Pemerintah pada 2007, ketika cukai GST dinaikkan dari 5 peratus kepada 7 peratus pada 2007.

Ketika itu satu pakej bernilai S$4 bilion dilancarkan bagi bantu rakyat menampung kenaikan GST.

Sebahagian besar keluarga Singapura akan menerima bantuan untuk mengimbangi kesan kos tambahan selama sekurang-kurangnya lima tahun akibat cukai GST lebih tinggi.

Keluarga berpendapatan rendah akan menerima lebih banyak bantuan, kata Encik Heng.

Sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan GST, kesemua rakyat Singapura dewasa akan menerima bayaran tunai antara S$700 dengan S$1,600 sepanjang lima tahun.

Skim baucar GST - yang membantu mengimbangi kos cukai untuk rakyat berpendapatan rendah hingga pertengahan juga akan ditingkatkan apabila kadar GST dinaikkan, kata Encik Heng.

"Inilah cara Pemerintah memastikan sistem cukai dan pemindahan dana tetap progresif dan menyokong rakyat Singapura melalui perubahan itu, sambil membolehkan kita membiayai keperluan masa depan dengan cara yang mampan," ujar Encik Heng.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan