Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2020 bersifat jangka panjang, kata Zaqy dan Amrin

Belanjawan tahun ini walaupun menangani kesulitan ekonomi sekarang sebenarnya lebih bersifat jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Belanjawan tahun ini walaupun menangani kesulitan ekonomi sekarang sebenarnya lebih bersifat jangka panjang.

Lantaran itu, masyarakat perlu memanfaatkan skim-skim yang ditawarkan selain terus meningkatkan kemahiran agar berada dalam kedudukan lebih baik apabila ekonomi pulih nanti.

Demikian seruan Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara Zaqy Mohamad dan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin semasa sesi dialog pasca Belanjawan anjuran M³ di Kelab Masyarakat Keat Hong pada Khamis (27 Feb).

Selama lebih dua jam, sekitar 200 peserta sesi dialog itu membincangkan skim-skim sokongan yang disediakan pemerintah melalui Belanjawan Negara.

Mereka juga berkongsi keprihatinan mereka kepada para anggota parlimen Zaqy Mohamad dan Amrin Amin berhubung cabaran yang dihadapi seperti kehilangan pendapatan semasa tempoh penularan COVID-19, selain kos perbelanjaan harian, persaraan dan landskap ekonomi yang tidak menentu.

Encik Amrin menjelaskan, walaupun semua keprihatinan itu ditangani dalam Belanjawan tahun ini, pemerintah terus memandang ke hadapan.

"Walaupun kita ada dalam situasi yang kurang menentu, kita tetap tumpukan perhatian kepada asas tentang keperluan-keperluan masyarakat dan negara supaya negara dapat terus membangun dan terus maju apabila situasi pulih. Saya rasa ini satu perkara yang penting yang mana kita tidak terlalu tertarik kepada isu-isu pada jangka masa pendek," kata Encik Amrin.

Selain itu, beberapa peserta turut berharap agar golongan berkeperluan khas dan golongan muda tidak diketepikan memandangkan ia kurang diberikan tumpuan dalam Belanjawan kali ini.

"Saya merasakan bahawa ramai orang seperti saya yang baru mencari kerja selepas universiti merasa sukar untuk mencari pekerjaan dan ini bukan saja di sekolah saya tetapi juga di NUS, NTU dan SMU. Belanjawan ini kebanyakannya menumpukan terhadap warga tua.

"Memikirkan tentang masa depan penting kerana jikalau kita tidak berfikiran jauh, kita mungkin tidak akan menjangka cabaran-cabaran yang bakal terjadi pada lima hingga 10 tahun akan datang," kata anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Keat Hong, Cik Ghina Natahsa Abdul Talip.

Menjawab keprihatinan dikongsikan Cik Ghina, Encik Zaqy berkata anak-anak muda atau para pelajar kini punya peluang lebih luas termasuk program latihan amali di syarikat-syarikat yang memberi kemahiran yang relevan.

"Apabila mereka keluar bekerja, mereka mempunyai kemahiran yang relevan kepada industri dan di sini saya rasa pemerintah memberi peluang kepada mereka. Mungkin hari ini ada yang prihatin kerana syarikat-syarikat mungkin tidak mengambil pekerja baru oleh kerana situasi hari ini tetapi kita terus memberi pertolongan kepada mereka melalui inisiatif Suai Maju dan di sekolah-sekolah mereka.

"Mereka juga mempunyai Kaunselor Bimbingan Pendidikan yang mana mereka diberi pemadanan kepada pekerjaan atau peluang," kata Encik Zaqy Mohamad.

Lantaran itu, Encik Zaqy dan Encik Amrin berharap, masyarakat merebut peluang untuk terus memajukan diri.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan