Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2020: Belanjawan 'bercorak pengembangan' bakal cetus defisit terbesar sejak 2009

Defisit keseluruhan yang lebih besar bernilai S$10.9 bilion dijangkakan bagi Tahun Kewangan (FY) 2020, sedang Singapura merancang belanjawan yang "lebih bercorak pengembangan" bagi merangsang ekonominya, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2020: Belanjawan 'bercorak pengembangan' bakal cetus defisit terbesar sejak 2009

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Feb 2020 10:13PM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 10:18PM

SINGAPURA: Defisit keseluruhan yang lebih besar bernilai S$10.9 bilion dijangkakan bagi Tahun Kewangan (FY) 2020, sedang Singapura merancang belanjawan yang "lebih bercorak pengembangan" bagi merangsang ekonominya di tengah-tengah ketidaktentuan jangka pendek, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Selasa (18 Feb).

Defisit yang dianggarkan itu, yang membentuk 2.1 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), melebihi defisit yang diramalkan pada 2009 sebanyak S$8.7 bilion semasa ekonomi negara melalui masa sukar disebabkan krisis kewangan global. Ramalan 2009 itu kemudian disemak kepada defisit S$0.82 bilion.

"Pada tahun hadapan, ekonomi Singapura berdepan dengan ketidaktentuan yang agak besar disebabkan risiko-risiko yang meningkat terhadap ekonomi global dan wabak COVID-19 yang berubah dengan pantas," kata beliau semasa membentangkan Belanjawan tahun ini.

"Lantaran itu bagi FY2020, pendirian belanjawan kami akan lebih bercorak pengembangan."

Dengan Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai S$4 bilion, Encik Heng berkata ini bertindak sebagai "rangsangan fiskal yang besar" kepada ekonomi negara dalam menangani keprihatinan jangka pendek.

Beliau juga menarik perhatian kepada sikap berhemat pemerintah secara fiskal sejak awal penggalnya sudah membantu mengumpul lebihan fiskal yang mencukupi bagi menampung defisit keseluruhan pada FY2020.

"Simpanan terdahulu tidak akan digunakan," kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

Jumlah perbelanjaan oleh kementerian-kementerian pada FY2020 dijangka mencecah S$83.6 bilion, atau 16.1 peratus GDP - jumlah perbelanjaan terbesar setakat ini.

Ini menandakan satu peningkatan sebanyak S$5.4 bilion berbanding tahun sebelumnya, dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan lebih tinggi bagi jagaan kesihatan, pembangunan negara dan pengangkutan.

Sebagai contoh, jumlah perbelanjaan Kementerian Kesihatan (MOH) melonjak S$1.9 bilion kepada S$13.4 bilion, sekali gus menjadikannya kementerian dengan perbelanjaan kedua terbesar selepas pertahanan (S$15.1 bilion).

Peningkatan itu - yang tertinggi dalam kalangan semua kementerian - disebabkan subsidi lebih tinggi bagi institusi jagaan kesihatan awam dan institusi jagaan kesihatan privet bersubsidi, rancangan dan langkah-langkah bagi mengurangkan penularan COVID-19, serta pembangunan projek prasarana seperti Kampus Kesihatan Woodlands dan projek-projek IT yang lain.

Geran perumahan lebih tinggi yang diberikan dan lebih banyak pembiayaan bagi program-program naik taraf HDB juga akan meningkatkan perbelanjaan bagi Kementerian Pembangunan Negara (MND). Dalam kes ini, perbelanjaan kementerian dijangka naik dari S$3.6 bilion kepada S$4.5 bilion.

Kementerian Pengangkutan (MOT) juga akan meningkatkan perbelanjaan - kenaikan S$0.7 bilion kepada S$10.9 bilion - bagi projek-projek pembangunan MRT.

Ini akan diimbangi dengan mengurangkan perbelanjaan daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), jatuh kepada S$3.8 bilion dari S$4.3 bilion, disebabkan tuntutan lebih rendah bagi perbelanjaan pembangunan. Ini sebagai sokongan kepada syarikat-syarikat perusahaan dan para pekerja di bawah Pakej Penstabilan dan Bantuan dan kebanyakannya dihulurkan menerusi pemindahan khas.

Ini bermakna pemindahan khas termasuk tokokan kepada dana endowmen dan dana amanah akan meningkat kepada sekitar S$22 bilion bagi FY2020.

Hasil operasi dijangka naik S$1.3 bilion berbanding tahun lalu kepada S$76 bilion, atau 14.6 peratus GDP. Hasil lebih tinggi daripada bidang-bidang seperti sumbangan badan berkanun dan pengumpulan daripada cukai pendapatan korporat dan cukai peribadi, dijangka sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pada jumlah yang dikumpulkan bagi premium kuota kenderaan dan cukai kenderaan.

Ramalan pendapatan juga mengambil kira "persekitaran pertumbuhan ekonomi lebih lemah" disebabkan COVID-19. Sedang sebilangan pengumpulan hasil lebih lembap daripada pertumbuhan ekonomi, sebahagian kesannya akan dirasai pada FY2021, menurut dokumen-dokumen Kementerian Kewangan,

Sumbangan pulangan pelaburan bersih (NIRC) dijangka berjumlah S$18.6 bilion, naik S$1.6 bilion dari perangkaan yang disemak bagi FY2019.

DEFISIT BELANJAWAN LEBIH KECIL BAGI FY2019

Bagi tahun kewangan ini yang berakhir pada 31 Mac 2020, Singapura akan menyaksikan defisit belanjawan lebih kecil daripada yang dijangkakan disebabkan perbelanjaan yang lebih rendah.

Jumlah perbelanjaan bagi FY2019 mencecah S$78.2 bilion dan ia adalah 2.6 peratus lebih rendah daripada S$80.3 bilion yang diramalkan. Ini kerana beberapa kementerian, seperti pertahanan dan pengangkutan, membelanjakan lebih sedikit daripada yang dijangkakan sebelum ini disebabkan kelengahan projek dan tuntutan lebih rendah bagi komponen-komponen di bawah model kontrak bas.

Hasil operasi bagi tahun ini berjumlah S$74.7 bilion, sekitar 0.3 peratus di bawah ramalan S$74.9 bilion. Jumlah yang dikumpulkan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cukai kenderaan dan premium kuota kenderaan merosot, meskipun ia sebahagiannya diimbangi oleh pengumpulan lebih tinggi daripada yang dijangkakan dari sumbangan badan-badan berkanun, cukai pendapatan peribadi dan cukai setem.

Pemindahan khas dan tokokan kepada dana endowmen dan dana amanah, akan disuntik seperti yang dijangkakan, dengan masing-masing bernilai S$1.7 bilion dan S$13.6 bilion.

Sementara itu, NIRC pada sekitar S$17 bilion adalah sekitar S$0.1 bilion lebih rendah daripada jumlah yang dijangkakan.

Kesemua ini menyumbang kepada defisit keseluruhan belanjawan sebanyak S$1.7 bilion, atau 0.3 peratus GDP, bagi tahun kewangan ini, berbanding ramalan defisit S$3.5 bilion setahun lalu.

KEKAL MAMPAN SECARA FISKAL

Singapura mesti terus merancang kewangannya berdasarkan pemacu berstruktur jangka panjang, kata Encik Heng.

Beliau turut menyentuh tentang bagaimana sumbangan besar badan berkanun daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan kutipan cukai setem yang meningkat turut membantu aliran pendapatan semasa penggal pemerintah ini. Namun tidak boleh bergantung kepada kejutan hasil sedemikian, kata beliau.

Singapura juga mesti menjangkakan keperluan perbelanjaan jangka panjang dan berdisiplin bagi meningkatkan pendapatan seawal mungkin, sementara terus memikirkan ketidaktentuan pada hasilnya.

Selain memiliki strategi fiskal yang adil, termasuk berdisiplin dalam penggunaan rizabnya, negara ini juga mesti mengekalkan kedudukan fiskalnya dan "menyimpan secukupnya bagi menangani kejutan tidak dijangka dan cabaran jangka panjang".

Pemerintah perlu mengekalkan Belanjawan seimbang bagi setiap penggal. Sebarang lebihan tidak boleh dibawa ke penggal selanjutnya dan akan disimpan sebagai sebahagian daripada simpanan lalu.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan