Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aplikasi lebih khusus, chatbot bantu failkan cukai antara inisiatif digital tahun ini

Sebuah aplikasi yang memudahkan ibu bapa untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka, membuat permohonan bagi Bonus Bayi dan menganggotai Lembaga Perpustakaan Negara akan diperluaskan tidak lama lagi bagi membolehkan para pengguna menguruskan cukai dan isu-isu berhubung Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Anggaran Waktu Membaca:
Aplikasi lebih khusus, chatbot bantu failkan cukai antara inisiatif digital tahun ini
Diterbitkan : 29 Feb 2020 11:04AM Dikemas Kini : 29 Feb 2020 01:17PM

SINGAPURA: Sebuah aplikasi yang memudahkan ibu bapa untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka, membuat permohonan bagi Bonus Bayi dan menganggotai Lembaga Perpustakaan Negara akan diperluaskan tidak lama lagi bagi membolehkan para pengguna menguruskan cukai dan isu-isu berhubung Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Ia adalah antara inisiatif digital yang boleh dijangkakan oleh orang ramai, menurut Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan (MOF) pada hari pertama Parlimen membahaskan peruntukan bagi Kementerian Kewangan pada Jumaat (28 Feb).

APLIKASI KHUSUS BAGI RAKYAT S'PURA

Aplikasi Moments of Life (MOL) akan dipertingkatkan dan disusun semula dengan matlamat untuk memberikan sentuhan peribadi kepada setiap rakyat Singapura, kata Dr Vivian Balakrishnan, menteri bertanggungjawab bagi inisiatif Negara Bijak.

Aplikasi itu pertama kali diperkenalkan bagi memberikan akses kepada para ibu bapa untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka, membuat permohonan bagi Bonus Bayi dan membuat pendaftaran bagi keahlian Lembaga Perpustakaan Negara.

Ia kemudian dipertingkatkan bagi merangkumi khidmat penuaan aktif.

Dr Vivian mengatakan rakyat Singapura tidak lama lagi dapat mengakses pelbagai khidmat pemerintah menerusi aplikasi MOL - iaitu dari menguruskan hal cukai dan CPF masing-masing kepada membuat tempahan acara.

Tidak lama kemudian, rakyat Singapura juga boleh melihat rangkaian khidmat dan maklumat paling relevan kepada keperluan mereka melalui laman utama aplikasi tersebut.

SIJIL PERUBATAN DIGITAL

Pemerintah Singapura juga merancang untuk melancarkan DigiMC, iaitu versi online sijil perubatan yang dicetak, untuk sektor jagaan kesihatan swasta menjelang separuh pertama tahun ini.

Raffles Medical dan Hospital Mount Alvernia adalah antara institusi jagaan kesihatan swasta yang pertama untuk melancarkan inisiatif itu, manakala para pengendali teleperubatan di bawah program perintis teleperubatan Kementerian Kesihatan juga sedang menimbangkan untuk menjalankan inisiatif yang sama.

DigiMC dirintis di Klinik Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pusat Jantung Nasional Singapura pada Jun 2018, disusuli dengan klinik pesakit Hospital Besar Singapura pada Mac 2019 dan kelompok SingHealth pada tahun lalu.

Sejauh ini, lebih 400,000 sijil perubatan digital sudah dikeluarkan.

Menurut kertas fakta oleh Negara Bijak Singapura, penggunaan sijil perubatan digital adalah proses tiga langkah.

Setelah doktor mengeluarkan MC dalam bentuk digital, pesakit akan menerima pesanan ringkas yang mengandungi pautan URL bagi sijil perubatan itu.

Pesakit perlu menaip tarikh lahir mereka untuk membuka pautan URL itu dan beliau boleh menghantar digital MC itu kepada majikannya.

KAEDAH SEMBANG CUKAI 'CHATBOT'

Menteri Kedua Kewangan Indranee Rajah mengatakan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) sedang bekerjasama dengan para pemandu teksi dan khidmat kereta sewa bagi memudahkan proses memfailkan cukai - iaitu menerusi 'chatbot' atau program perisian kecerdasan buatan untuk berinteraksi dan berbual dengan pengguna

"Menerusi kerjasama ini, Iras menghasilkan borang dalam bentuk perbualan santai bagi membantu para pemandu memahami maklumat yang perlu mereka laporkan," kata Cik Indranee.

Menurut beliau, penggunaan borang itu dirintis tahun lalu melibatkan lebih 600 pemandu yang mengatakan proses memfailkan cukai bukan saja lebih mudah, malah menjimatkan 30 peratus daripada masa yang diluangkan untuk berbuat demikian.

"Menyusuli kejayaannya, Iras sedang bekerjasama dengan GovTech untuk mencipta prototaip chatbot yang akan memanfaatkan sekitar 6,000 pemandu teksi dan kereta sewa semasa tempoh memfailkan cukai tahun ini."

TIANG LAMPU BIJAK PUNGGOL

Selain itu, menurut Dr Balakrishnan, Pemerintah sedang meluaskan program rintis tiang lampu "bijak" di Punggol.

Tiang-tiang lampu itu dilengkapi dengan alat-alat sensor dan kamera untuk mengumpul pelbagai data termasuk mutu pemantauan alam sekitar, kesesakan lalu lintas dan keselamatan orang ramai.

Penggunaan tiang-tiang lampu itu kini diuji di taman-taman perniagaan di Buona Vista dan Geylang.

Meskipun tiada garis masa diberikan, terdapat rancangan untuk memperkenalkan lagi 70 tiang lampu berkenaan di Punggol.

Dr Balakrishnan berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan ketua Parti Pekerja Pritam Singh, yang menanyakan tentang kemas kini mengenai percubaan tiang-tiang lampu bijak yang sedang dijalankan.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan