Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 perkara anda perlu tahu tentang Belanjawan 2020

Apakah makna di sebalik langkah-langkah yang diumumkan kepada rakyat dan perniagaan Singapura hari ini (18 Feb)?

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Feb 2020 08:39PM Dikemas Kini : 18 Feb 2020 10:24PM

SINGAPURA: Dengan penularan virus korona COVID-19 di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu, tahun 2020 sudah mula memperlihatkan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi - dan kita baru sahaja melangkahkan kaki masuk ke bulan kedua tahun ini.

Sedang Singapura menyambut dekad baru dengan "banyak ketidaktentuan", Menteri Kewangan Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan Negara yang disasarkan untuk membantu keluarga-keluarga, pekerja dan perniagaan tempatan mengharungi cabaran-cabaran ini.

Apakah makna di sebalik langkah-langkah yang diumumkan kepada rakyat dan perniagaan Singapura hari ini (18 Feb)?

Ini kesimpulannya:

1. KITA MENJANGKAKAN DEFISIT YANG BESAR

Pertama, iaitu perkara-perkara asas. Singapura merancang "pengembangan Belanjawan yang lebih meluas" untuk merangsang ekonomi, dengan defisit menyeluruh bagi Tahun Kewangan (FY) 2020 dijangkakan - Pemerintah menjangkakan baki keseluruhan belanjawan mengalami defisit S$10.9 bilion (atau 2.1 peratus daripada GDP).

Ekonomi Singapura berdepan "keadaan agak tidak menentu" pada tahun-tahun mendatang, kata Encik Heng, merujuk kepada risiko yang kian tinggi terhadap ekonomi global dan penularan COVID-19 sebagai contoh.

Semalam (17 Feb), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan hasil dalam negeri kasar (GDP) di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

2. LEBIH BANYAK DANA DIPERUNTUKKAN BAGI TANGANI PENULARAN COVID-19

Seperti yang dijangkakan, penularan virus korona baru itu menjadi antara fokus utama dalam pembentangan Belanjawan Encik Heng.

Penularan itu "pasti" akan menjejas ekonomi kita, kata Encik Heng, di samping menjejas industri-industri dan mengganggu rangkaian bekalan.

Oleh itu, tambahan dana sebanyak S$800 juta akan diperuntukkan dalam Belanjawan kali ini untuk menyokong agensi-agensi barisan hadapan memerangi dan menangani penularan itu.

Bantuan juga akan dihulurkan kepada sektor-sektor tertentu khususnya yang terjejas dengan virus tersebut, seperti penerbangan, runcit, khidmat makanan dan pengangkutan ulang-alik.

3. BANTUAN UNTUK PEKERJA

Dengan keadaan serba tidak menentu, pakej bernilai S$4 bilion diumumkan untuk membantu para pekerja tempatan terus kekal bekerja dan menyokong syarikat-syarikat perusahaan.

Sebagai sebahagian daripada Pakej Penstabilan dan Bantuan, satu Skim Bantuan Pekerjaan akan diperkenalkan untuk membantu firma-firma mengekalkan tenaga pekerja tempatan.

Ini dilakukan dalam bentuk pengurangan kesan pada gaji - bagi rakyat Singapura atau Penduduk Tetap (PR) yang bekerja, pihak berkuasa akan mengimbangi lapan peratus daripada gaji mereka, sehingga had bulanan S$3,600 selama tiga bulan.

Sekitar 1.9 juta pekerja tempatan akan meraih manfaat daripadanya.

Syarikat-syarikat juga akan menerima bantuan aliran tunai, dalam bentuk rebat cukai pendapatan korporat serta pelbagai peningkatan bagi urusan cukai di bawah sistem cukai korporat.

4. KENAIKAN GST DITUNDA

Masih ingat lagi kenaikan GST yang diumumkan kira-kira dua tahun lalu?

Ia kini ditangguhkan setelah menimbangkan keadaan ekonomi sekarang.

Kenaikan GST sebanyak dua peratus kepada sembilan peratus itu pada awalnya dijadualkan antara tahun 2021 dengan 2025.

Perancangan itu sudah diubah, kata Encik Heng dan kenaikan kadar GST tidak akan dikuatkuasakan pada 2021 - bermakna GST akan kekal pada tujuh peratus tahun depan.

Sungguhpun demikian, kenaikan itu masih dalam perancangan. Encik Heng menambah ia tetap perlu dilaksanakan menjelang 2025 dan pihak berkuasa akan "menilai dengan teliti" tempoh yang sesuai untuk menguatkuasakannya.

Apabila ia dilaksanakan kelak, akan ada pakej bernilai S$6 bilion untuk membantu rakyat Singapura mengharungi perubahan itu.

Di bawah Pakej Jaminan GST, setiap rakyat dewasa Singapura akan menerima bayaran tunai antara S$700 hingga S$1,600 sepanjang tempoh lima tahun.

5. LEBIH BANYAK BANTUAN $$$, KHUSUSNYA BUAT MEREKA YANG MENJAGA ANAK, ORANG TUA

Encik Heng turut mendedahkan perincian mengenai pakej kos sara hidup yang disebutkannya pada hujung minggu lalu.

Di bawah Pakej Bantuan Keluarga bernilai S$1.6 bilion, semua rakyat Singapura boleh menjangkakan akan menerima wang tunai untuk membantu mereka.

Ini bermakna, bagi mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas:

Bayaran tunai sekali sahaja sebanyak S$300, S$200 atau S$100, bergantung kepada pendapatan dan/atau hartanah yang dimiliki.

Bagi mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang berusia 20 tahun dan ke bawah:

Mereka akan menerima tambahan bayaran tunai sebanyak S$100.

Bagi yang berusia 50 tahun dan ke atas:

Mereka akan mendapat tokokan S$100 pada Kad PAssion.

Kad ini boleh diperolehi secara percuma, jika anda masih belum memilikinya.

Terdapat juga sokongan-sokongan lain, termasuk baucar barangan dapur bernilai S$100 setahun pada 2020 dan 2021 bagi rakyat Singapura yang layak, serta Baucar GST yang dipertingkat dan rebat U-Save.

6. BANTUAN UNTUK PELAJAR

Salah satu perkara yang diberi tumpuan dalam Belanjawan tahun ini adalah pentingnya kemajuan diri sendiri.

Ini termasuk pelajar tempatan, yang akan menerima sokongan tambahan untuk belajar daripada negara-negara lain di rantau ini.

Pihak berkuasa sudah menetapkan sasaran 70 peratus lulusan Institusi Pengajian Tinggi untuk mendapatkan pendedahan di luar negara dan 70 peratus daripada mereka menimba pengalaman di negara-negara ASEAN, China dan India.

Untuk mencapai sasaran ini, Program Pendedahan kepada Asia akan diadakan untuk menyokong lawatan-lawatan yang akan dilakukan oleh anak-anak muda ke bandar-bandar di ASEAN, China dan India.

Sokongan bagi latihan amali juga akan dipertingkat di bawah program sedia ada.

7. JANGAN LUPA PERTINGKAT DIRI...

Paling penting, pembelajaran tidak semestinya berhenti di bangku sekolah sahaja.

Terdapat sokongan tambahan bagi mereka yang mahu menimba kemahiran-kemahiran baru sedang mereka membina kerjaya masing-masing.

Ini dilakukan menerusi pelaburan tambahan dalam program SkillsFuture.

Pertama, tokokan tambahan sekali sahaja sebanyak S$500 akan dibuat ke dalam Kredit SkillsFuture bagi setiap rakyat Singapura yang berusia 25 tahun dan ke atas mulai 1 Oktober ini.

Namun, tidak seperti kredit S$500 sebelum ini, anda perlu menggunakan kredit tokokan itu menjelang tahun 2025, iaitu tarikh tamat tempoh penggunaannya.

Jika anda merupakan individu pertengahan kerjaya, iaitu yang berusia antara 40 dengan 50 tahun, anda akan menerima kredit tambahan S$500 bagi setiap rakyat Singapura yang berusia antara 40 dengan 60 tahun. Kredit ini akan tamat tempoh dalam lima tahun.

Pihak berkuasa juga akan memperkenalkan langkah-langkah tambahan untuk membantu para pekerja ini, termasuk insentif sokongan gaji bagi majikan yang menggajikan pekerja berusia 40 tahun dan ke atas.

8. ANDA PEKERJA SENJA?

Terdapat juga banyak sokongan buat para pekerja lanjut usia yang mahu terus bekerja. Ini dalam bentuk Pakej Bantuan Pekerja Lanjut Usia.

Sebagai sebahagian daripada langkah itu, Kredit Pekerjaan Warga Emas akan mengimbangi kos gaji terhadap para majikan apabila mereka menggajikan pekerja rakyat Singapura yang berusia 55 tahun dan ke atas.

Ini menggantikan Kredit Pekerjaan Khas dan Kredit Pekerjaan Khas Tambahan yang akan tamat tempoh hujung tahun ini.

Langkah-langkah lain termasuk wang yang diberikan kepada para majikan untuk mengimbangi kadar sumbangan CPF bagi para pekerja yang berusia antara 55 dengan 70 tahun, selepas kadar sumbangan itu naik pada tahun depan.

9. BANTU WARGA TUA MENABUNG

Bantuan akan diberikan untuk menyokong rakyat Singapura yang berusia antara 55 dengan 70 tahun dari pendapatan rendah hingga
pertengahan, yang mungkin tidak dapat menampung keperluan persaraan mereka.

Mereka yang tidak dapat menyimpan Jumlah Asas Persaraan akan menerima sokongan tambahan di bawah skim baru simpanan persaraan.

Menerusi skim itu, pemerintah akan memadankan setiap dolar tokokan wang tunai yang disalurkan ke dalam Akaun Persaraan CPF mereka, dan ini dihadkan kepada S$600 setahun.

Sebilangan kecil warga tua juga akan menerima bayaran tunai yang dipertingkatkan di bawah Skim Ihsan Senja sedia ada.

10. MAHU TUKAR KENDERAAN ANDA?

Satu lagi topik utama dalam pembentangan Belanjawan tahun ini adalah perubahan iklim.

Tahun lalu, cukai karbon diperkenalkan.

Untuk terus memupuk budaya mesra alam sekitar, pemerintah kini menyasarkan sektor pengangkutan domestik, khususnya, kenderaan dengan enjin-enjin yang menggunakan minyak petrol atau disel.

Kenderaan-kenderaan itu menyumbang kepada pencemaran udara dan secara tidak langsung menjejas kesihatan masyarakat dan mutu kehidupan, kata Encik Heng.

Lantaran itu, matlamatnya adalah untuk mengurangkan jumlahnya secara bertahap-tahap dan mengeluarkan kenderaan-kenderaan yang menggunakan tenaga bersih menjelang 2040.

Terdapat beberapa langkah yang diambil untuk memastikan ini dapat dilakukan.

Misalnya, insentif penggunaan awal kenderaan elektrik akan diperkenalkan sebagai ganjaran kepada mereka yang membeli kenderaan atau teksi elektrik.

Pihak berkuasa juga merancang untuk mengadakan lebih banyak lokasi-lokasi mengecas kenderaan elektrik, dengan sasaran 28,000 alat pengecas di tempat-tempat letak kereta awam di merata negara menjelang 2030. Buat masa ini hanya terdapat 1,600 alat pengecas. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan