Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Esa Han Hsien Masood

Ini wajah baru dalam landskap kepimpinan masyarakat muslim tempatan Singapura, yang patut anda beri perhatian. Wajah baru ini memegang salah satu jawatan paling berpengaruh dalam ehwal keislaman dan kemasyarakatan di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Esa Han Hsien Masood

Encik Esa Han Hsien Masood. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Ini wajah baru dalam landskap kepimpinan masyarakat muslim tempatan Singapura, yang patut anda beri perhatian. Wajah baru ini memegang salah satu jawatan paling berpengaruh dalam ehwal keislaman dan kemasyarakatan di negara ini.

Beliau ialah Encik Esa Han Hsien Masood, yang boleh dikatakan 'baru' dilantik menjadi Timbalan Ketua Eksekutif (CE) Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Walaupun memegang jawatan berprofil tinggi itu pada usia yang boleh dikatakan muda - iaitu 39 tahun - Encik Esa sebenarnya menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pemalu dan “lebih selesa bekerja di belakang meja”.

Malah sepanjang wawancara BERITAMediacorp dengan beliau di ibu pejabat MUIS di Braddell Road, Encik Esa memang kelihatan kekok berdepan dengan lensa kamera.

Yang pasti Encik Esa merupakan satu bakat yang akan mewarnai landskap kepimpinan Islam buat beberapa ketika dari sekarang, kerana beliau ditugaskan
menyelia sektor madrasah dan masjid setempat yang merangkumi enam madrasah sepenuh masa dan 70 masjid di merata Singapura. Beliau sebelum ini adalah Pengarah di Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).

Namun bila ditanya sahaja soalan-soalan di luar jangkaan beliau - termasuk ramalannya tentang siapakah Ketua Eksekutif MUIS seterusnya - lidah beliau menjadi kelu. Tapi jelas, setiap perkataan yang diluahkan dipilih dengan teliti semasa menjawab pertanyaan BERITAMediacorp itu.

Pelantikan Encik Esa ke jawatan kedua tertinggi di MUIS juga cukup menarik lebih-lebih lagi memandangkan, bapa dua anak itu datang dari latar belakang keluarga kacukan Melayu/Cina. Lantaran itulah nama penuhnya adalah 'Esa Han Hsien Masood'.

Dalam “5 Soalan Bersama…” kali ini, wartawan Nashita Kamir cuba mengupas sisi lebih peribadi beliau dan membawa anda mengenali dengan lebih dekat lagi lulusan Institut Teknologi Massachusettes itu yang disebut-sebut sebagai antara pemimpin pelapis Islam di Singapura. 

NASHITA: Secara ringkas, boleh anda ceritakan sedikit tentang diri anda?

ESA: Saya rasa saya seseorang yang cuba memberikan yang terbaik dalam apa jua peranan yang diberikan. Jadi sama ada di tempat kerja, mahupun semasa saya bersama keluarga. 

Sejak muda lagi, saya seorang yang pendiam. Apabila saya masih di sekolah, jika anda suruh saya bekerja di makmal penyelidikan, saya lebih rela bekerja di belakang meja. Tetapi selepas bekerja dalam perkhidmatan awam selama bertahun-tahun, saya mula tertarik untuk bekerja dalam satu pasukan, dengan rakan-rakan kerja lain dan juga dengan masyarakat. Jadi lama kelamaan, saya menjadi lebih terbiasa dan lebih terbuka dan peramah. 

NASHITA: Apa yang anda suka lakukan di waktu lapang?

ESA: Saya banyak meluangkan masa lapang saya bersama keluarga, untuk mengukuhkan silaturrahim dan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak dan keluarga saya. Kami suka melakukan pelbagai jenis kegiatan, sama ada mengembara atau mengajar anak-anak saya kemahiran baru seperti berbasikal atau bermain "roller blade". Keluarga saya amat penting bagi saya. 

NASHITA: Melihat pada pengalaman kerja anda sebelum ini, agak sukar untuk percaya anda sebenarnya mempunyai ijazah sarjana dalam kejuruteraan elektrik. Mengapa anda memilih untuk bertukar bidang?

ESA: Saya sangat beruntung kerana menerima biasiswa daripada pemerintah dan ia membantu dalam pengajian tinggi saya. Ketika itu, bidang kejuruteraan merupakan pilihan yang paling lazim di kalangan para penjawat awam. Tetapi kami tahu bahawa kami akan bertugas dalam bidang penggubalan dasar.

Jadi walaupun kemahiran kejuruteraan itu tidak dapat saya gunakan dalam kerja seharian saya, beberapa perkara daripada jurusan tersebut amat bermanfaat dalam membentuk cara pemikiran supaya lebih sistematik dan logik. Jadi ia amat relevan dengan bagaimana kami membentuk dasar untuk membantu masyarakat umum. 

ESA: Saya rasa pengalaman yang terbaru saya di Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA). Dalam masa yang singkat, disebabkan ia merupakan sebuah agensi baru, jadi ia menerima banyak sokongan daripada kementerian-kementerian lain untuk meningkatkan mutu prasekolahnya. Saya dapati pengalaman saya di sana amat bermakna dan memberi impak kerana dalam tempoh masa yang singkat, kami dapat memulakan beberapa inisiatif untuk menyokong sektor pra sekolah.

Saya rasa kesan transformasi itu sudah boleh dilihat dalam bagaimana kita menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak dari usia awal, tanpa mengira latar belakang mereka, anda boleh mendapatkan pendidikan prasekolah yang baik dan saya rasa itu adalah kemajuan baik buat Singapura.

Timbalan Ketua Eksekutif MUIS Encik Esa Han Masood. 

NASHITA: Kini anda berpindah pula ke MUIS dan isu-isu yang perlu ditangani semuanya berkaitan dengan masyarakat Islam di Singapura. Mengapa anda menerima tawaran ini dan bagaimana anda mempersiapkan diri anda?

ESA: Bagi saya, ada sahaja perkara baru yang boleh saya pelajari dalam setiap pekerjaan baru yang dilakukan dan saya melihatnya sebagai satu cabaran. Saya juga lihat terdapat bidang-bidang yang amat dekat di hati saya yang boleh saya teruskan (di MUIS). Jadi bidang seperti pendidikan, institusi keluarga, menyokong golongan memerlukan yang sebelum ini saya pernah dampingi ketika bertugas di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga atau Kementerian Pendidikan.

Itu juga merupakan bidang-bidang yang saya boleh terus usahakan di MUIS dan pada masa yang sama, sebagai seorang Muslim di Singapura, ia memberi peluang untuk saya mengusahakan secara langsung isu-isu yang dekat di hati saya sebagai seorang muslim.

Melihat kejadian-kejadian yang berlaku di seluruh dunia, saya juga ingin menjadi sebahagian daripada pasukan yang menunjukkan bahawa Islam itu satu agama yang menyebarkan keamanan dan umat Islam boleh memberi dan membawa rahmah dan menjadi rakyat yang menyumbang dan menyokong semua segmen masyarakat.

NASHITA: Akhir sekali - sesi soal jawab pantas. Anda perlu sebutkan dalam beberapa perkataan sahaja, perkara yang pertama terlintas di fikiran anda apabila saya sebutkan perkataan berikut:

(1) Orang Islam di Singapura adalah...

ESA: Peran contoh yang baik bagi masyarakat-masyarakat lain di dunia.

NASHITA: (2) MUIS...

ESA: Pemaju masyarakat

Nashita: (3) Moto hidup...

ESA: Menjadi yang terbaik dalam apa jua yang anda lakukan.

NASHITA: (4) Idola anda...

ESA: Saya ada banyak idola. Nabi Muhammad s.a.w merupakan seseorang yang boleh kita jadikan rujukan. Bagi kehidupan seharian saya, saya banyak mencontohi bapa saya dan juga orang-orang di sekeliling saya. Saya ambil sedikit contoh-contoh baik yang ada di luar sana.

NASHITA: (5) Esa Han Hsien Masood...

ESA: Saya seorang rakyat Singapura. Saya seorang Muslim. Saya harap dapat menjadi seorang yang boleh membantu dalam apa cara pun bagi memperbaiki kehidupan ramai dan menyumbang kembali dalam apa cara yang termampu.

NASHITA: (5) Ketua Eksekutif MUIS seterusnya...

ESA: (tergamam lalu ketawa) Akan diumumkan nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan